Kebersamaan Masyarakat Antarabangsa Melawan Wabak Melalui CEPI dan Vaksin

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Sebelum kewujudan vaksin, hampir kesemua individu di Amerika Syarikat menghidap measles atau dikenali sebagai demam campak dan ratusan individu meninggal dunia setiap tahun akibat wabak measles.

Pada tahun 1921, lebih daripada 15,000 rakyat Amerika Syarikat meninggal dunia akibat diphtheria sebelum kehadiran vaksin dan kini, hanya dua kes diphtheria direkodkan oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC) diantara tahun 2004 sehingga 2014.

Dalam kejadian lain iaitu diantara tahun 1964 hingga 1965, wabak rubella atau dikenali juga sebagai German measles telah menyerang lebih daripada 12 juta rakyat Amerika Syarikat dan meragut nyawa 2000 bayi selain menyebabkan 11,000 kes keguguran.

Namun sejak penggunaan vaksin, hanya 15 kes rubella dicatatkan oleh CDC sejak tahun 2012. Wabak penyakit seperti polio, measles, Haemophilus influenzae telah meragut banyak nyawa tanpa mengira peringkat umur samada bayi, kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Apabila vaksin dibangunkan oleh saintis dalam bidang perubatan, banyak nyawa dapat diselamatkan dan peratusan individu yang terkena wabak berkaitan menurun dengan drastik dan sesetengah wabak direkodkan berjaya dihapuskan secara total di sesetengah negara.

Penemuan vaksin

Pada tahun 1796, Edward Jenner, seorang doktor perubatan dan saintis telah menghasilkan vaksin cacar, vaksin pertama di dunia.

Pada tahun 1798, beliau telah menerbitkan kajiannya berkenaan perkembangan penggunaan vaksin hasil daripada pengujian teori beliau pada tahun 1796 dengan memasukkan cecair cowpox pustule kedalam tubuh James Phipps yang berusia lapan tahun yang diperoleh dari tangan seorang gadis pemerah susu yang bernama Sarah Nelmes.

Edward Jenner dikenali sebagai ‘Bapa Imunologi’ dan hasil kerjanya telah menjadi asas kepada penghasilan vaksin-vaksin lain untuk mencegah wabak penyakit.

Pada tahun-tahun berikutnya, pembangunan vaksin semakin berkembang; Emil Von Behring telah membangunkan serum terapeutik pertama yang berkesan melawan diphtheria pada tahun 1888.

Pada tahun 1896, vaksin bagi penyakit typhoid dan kolera pula telah berjaya dihasilkan buat pertama kali.

Realiti semasa wabak di Malaysia

Berpandukan data yang dikeluarkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar kes akibat measles atau demam campak semakin meningkat di negara ini dengan 195 kes pada tahun 2013 kepada 1,934 pada tahun 2018.

Peningkatan kes demam campak ini meningkat sebanyak 891.8 peratus. Hampir kesemua kes yang berlaku adalah akibat tidak mengambil sebarang imunisasi vaksin, dengan 125 kes tiada imunisasi bagi 195 kes pada tahun 2013 dan 1,467 kes tiada imunisasi bagi 1,934 kes pada 2018.

Data tersebut juga menyatakan kadar kematian di Malaysia pada 2018 akibat tiada imunisasi dengan 6 kematian berkaitan demam campak, 4 kematian berkaitan diphtheria dan 19 kes kematian disebabkan oleh batuk kokol.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa terdapat kumpulan atau individu anti-vaksin yang giat memberikan maklumat yang salah dan tidak berasas dengan mempengaruhi masyarakat untuk menolak suntikan vaksin.

Beliau turut menambah bahawa mereka yang menolak suntikan vaksin ini adalah mereka yang membuat dakwaan bahawa vaksinasi dan Program Imunisasi Kebangsaan tidak memberikan sebarang manfaat dan banyak memberikan kesan yang buruk kepada mereka.

Kepentingan vaksin kepada diri dan komuniti

Apakah kepentingan vaksin dan kesannya kepada komuniti? Untuk pengetahuan, kebanyakan penyakit atau wabak yang boleh dicegah melalui penggunaan vaksin akan merebak dan menjangkiti daripada seseorang individu kepada individu yang lain.

Jika seseorang individu yang tidak divaksin mendapat sebarang penyakit berjangkit, individu terbabit boleh menyebarkan penyakit tersebut kepada sesiapa yang tidak imun.

Jika hanya sesetengah individu mendapat vaksin dan majoriti yang lain tidak divaksin dalam sesebuah komuniti, wabak penyakit akan merebak dan begitu juga sebaliknya.

Sekiranya kadar pemvaksinan menurun di peringkat nasional, wabak penyakit akan mula menyerang setiap individu lain dengan mudah dan cepat di seluruh negara

Faktor keengganan ibu bapa terhadap penerimaan vaksin

Berdasarkan kajian ‘Exploring the Reasons Behind Parental Refusal of Vaccines’ yang diterbitkan dalam The Journal of Pediatric Pharmacology and Therapeutics pada 2016, keengganan ibu bapa untuk membenarkan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka terbahagi kepada empat kategori utama iaitu sebab keagamaan, sebab dan kepercayaan tersendiri, kebimbangan mengenai keselamatan vaksin dan keinginan untuk mendapatkan lebih maklumat berkenaan vaksin daripada penyedia penjagaan kesihatan.

Sebab keagamaan pada kebiasaannya berkisar berkenaan kebimbangan ibu bapa terhadap bahan yang terkandung di dalam vaksin seperti gelatin daripada sumber haiwan.

Bagi kategori sebab dan kepercayaan tersendiri, terdapat ibu bapa yang lebih meyakini bahawa imuniti semula jadi adalah lebih baik berbanding imuniti yang diperoleh melalui vaksinasi. Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang percaya bahawa anak mereka berisiko rendah untuk mendapat penyakit selain kepercayaan bahawa kesan buruk vaksin lebih banyak berbanding manfaatnya.

Bagi kategori kebimbangan mengenai keselamatan vaksin, isu ini berkait rapat dengan penularan maklumat yang salah dan palsu di media sosial dan individu yang tidak bertanggungjawab yang menyatakan antara lain bahawa vaksin akan menyebabkan autism, kerosakan pada otak dan menyebabkan masalah atau gangguan tingkah laku.

Bagi kategori keinginan untuk mendapatkan lebih maklumat berkenaan vaksin, terdapat ibu bapa yang tidak mendapat maklumat yang mencukupi berkenaan suntikan vaksin, manfaat serta kesan sampingannya

Kerelevanan Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI)

Pada bulan Januari 2017, Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI) telah dilancarkan semasa mesyuarat tahunan World Economic Forum di Davos, Switzerland.

Pelancaran CEPI adalah hasil pengajaran setelah tercetusnya wabak Ebola dan Zika ketika mana dunia tidak bersedia dengan sebarang vaksin untuk melawan wabak yang tercetus atau mana-mana penyakit yang tidak diambil peduli sebelum ini.

CEPI bekerjasama dengan sektor akademik, awam dan juga swasta untuk membiayai penemuan dan pembangunan vaksin baharu untuk digunakan ketika kecemasan akibat wabak yang melanda.

CEPI juga memfokuskan kepada serangan virus yang akan berlaku pada masa akan datang sebagai langkah berjaga-jaga dengan pembangunan vaksin baharu bagi tujuan persediaan.

CEPI telah mengenalpasti virus Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV), Lassa dan Nipah sebagai patogen yang diberikan keutamaan bagi pembangunan vaksin baharu. Ini kerana buat masa sekarang, tiada lagi vaksin yang dilesenkan untuk melawan virus-virus ini yang memungkinkan komplikasi serangan yang serius yang boleh mengorbankan banyak nyawa lain pada masa akan datang.

CEPI telah menerima dana daripada negara Norway, Jerman, Jepun, Belgium, Australia, Kanada, Bill & Melinda Gates Foundation dan Wellcome bagi tujuan pembangunan vaksin dan dana semasa tersebut telah melebihi 740 juta Dolar Amerika Syarikat daripada sasarannya yang berjumlah 1 billion Dolar Amerika Syarikat.

Sokongan antarabangsa terhadap usaha CEPI

Pelbagai pihak di peringkat antarabangsa menyokong dan membantu dalam usaha persediaan menghadapi sebarang kemungkinan cetusan wabak berbahaya pada masa akan datang dan berusaha untuk menamatkan ancaman berbahaya tersebut.

Pada September 2018, Johnson & Johnson telah bersetuju untuk bersama-sama dengan CEPI dan The Jenner Institute, University of Oxford bagi mengahasilkan vaksin untuk melawan MERS-CoV dan mengkaji vaksin baharu untuk menangani virus Lassa dan Nipah.

CEPI juga telah menerima dana tambahan sebanyak 3.2 juta Dolar Amerika Syarikat daripada Kerajaan Australia bagi kajian secara bersama dengan University of Queensland, Australia untuk membangunkan platform vaksin “molecular clamp”, teknologi transformatif yang membolehkan pengeluaran vaksin sasaran terhadap pelbagai patogen virus yang sebelum ini bernilai 10.6 juta Dolar Amerika Syarikat.

Pada sidang media World Economic Forum 2019 bertarikh 22 Januari 2019, kerajaan UK juga telah bersetuju menambahkan 10 juta Paun Sterling bagi pembangunan vaksin sebagai sokongan terhadap komitmen CEPI.

Sejak pelancaran CEPI pada 2017, CEPI telah mengumumkan tiga cadangan utama iaitu pembangunan vaksin bagi melawan virus MERS-CoV, Nipah dan Lassa; cadangan kedua bagi membangunkan platform yang boleh digunakan untuk pembangunan vaksin secara pantas bagi melawan sebarang patogen yang tidak diketahui dan yang ketiga; pembangunan vaksin bagi melawan Rift Valley fever dan virus Chikungunya.

CEPI adalah satu lambang usaha bersama masyarakat dunia untuk melawan dan mencegah sebarang kemungkinan ancaman daripada patogen yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia secara global.

Kebersamaan masyarakat antarabangsa melalui CEPI boleh membantu menamatkan sebarang epidemik semasa dan akan datang dengan lebih pantas dan berkesan.

Fungsi vaksin dalam mengawal wabak daripada tercetus

Umumnya kita mengetahui bahawa, wabak yang boleh dikawal atau sedang dikawal boleh kembali tercetus dan merebak bergantung kepada keadaan imuniti kelompok masyarakat serta ketersediaan dan pengambilan vaksin.

Kita boleh melihat contoh epidemik yang pernah melanda negara Jepun pada tahun 70 an. Pada tahun 1974, sekitar 80% kanak-kanak di Jepun mendapat suntikan vaksin bagi melawan batuk kokol.

Pada tahun tersebut, hanya terdapat 393 kes batuk kokol di seluruh negara Jepun dengan tiada rekod kematian akibat penyakit tersebut.

Kemudian kadar imunisasi menurun dengan mendadak sehingga hanya sekitar 10% kanak-kanak yang telah divaksin.

Kes batuk kokol kembali merebak pada 1979 dengan lebih 13,000 individu mendapat batuk kokol dan 41 meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Apabila vaksinasi kembali mengambil tempat, kes batuk kokol di negara Jepun kembali menurun.

Kesedaran dalam menentukan nasib diri dan komuniti

Risiko untuk kita atau ahli keluarga kita untuk mendapat demam campak, diphtheria, batuk kokol atau penyakit yang lain mungkin rendah, tetapi ingatlah bahawa dengan mengambil suntikan vaksin, kita bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah kita melindungi nyawa orang sekeliling terutama ahli keluarga terdekat dan komuniti setempat.

Keengganan kita akibat kekurangan ilmu dan maklumat yang berkaitan imunasisi vaksin akan mengancam orang lain serta mengundang kembali wabak yang sepatutnya boleh dikawal melalui pengambilan suntikan vaksin.

Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai ilmu, pengetahuan dan berkredibiliti berkenaan bidang sains perubatan bagi mendapatkan maklumat yang sahih, dan elakkan mengambil sebarang maklumat daripada mereka yang tidak mempunyai kepakaran dan tidak diiktiraf dalam bidang sains perubatan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut