Adakah Kapur Barus Selamat Untuk Digunakan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jika kita menyebut perkataan kapur barus, antara perkara pertama yang terlintas di fikiran kita adalah pengurusan mayat. Ya, sepertimana penggunaan kemenyan, kapur barus juga sinonim dikaitkan dengan pengurusan jenazah memandangkan ia sering digunakan sebagai salah satu bahan dalam proses memandikan mayat bagi orang Islam. Bagaimana pula dengan champor? Adakah anda pernah atau biasa menemui perkataan tersebut? Mungkin anda sering menemukan tulisan champor pada senarai bahan-bahan sesuatu produk seperti ubat-ubatan. Tetapi percayakah anda bahawa champor dan kapur barus adalah dua benda yang sama? Sekiranya anda baru mengetahuinya, teruskan pembacaan anda kerana terdapat beberapa maklumat menarik mengenai kapur barus yang mungkin anda ingin tahu.

Apakah itu kapur barus?

Kapur barus adalah sejenis bahan pepejal berwarna putih yang diperoleh daripada dua jenis pokok iaitu Cinnamomum camphora dan Dryobalanops aromatica. Ia juga bersifat mudah terbakar selain mempunyai aroma yang kuat. Disebabkan oleh aroma yang kuat ini, ia turut digunakan dalam pelbagai produk dan tujuan seperti ubat gegat untuk menghalau serangga dan turut digunakan dalam pembuatan bunga api atau senjata api. Champor telah menjadi salah satu bahan yang telah lama diperdagangkan sejak dahulu dan tahukah anda bahawa perkataan barus itu sendiri mendapat namanya daripada sebuah pelabuhan lama yang kini terletak di Sibolga, Sumatera, Indonesia. Pelabuhan tersebut terkenal sebagai pusat perdagangan kapur barus pada suatu ketika dahulu. 

Fungsi kapur barus dalam produk ubat-ubatan

Bahan ini banyak terdapat dalam produk seperti krim, losyen dan salap. Produk ubat-ubatan yang mengandungi bahan ini sering digunakan untuk beberapa fungsi kelegaan seperti berikut:

Melegakan kesakitan

Penggunaan bahan ini pada permukaan kulit membantu memberikan kelegaan terhadap kesakitan dan keradangan yang dialami. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2015 telah mendapati bahawa semburan yang mengandungi kandungan bahan semula jadi seperti champor, menthol dan minyak pati cengkih dan Eucalyptus berkesan memberikan kelegaan bagi kesakitan kecil dan sederhana. Semburan tersebut telah digunakan di bahagian sendi, bahu, dan belakang badan untuk tempoh selama 14 hari. 

Merawat kesan terbakar

Salap dan krim yang mempunyai kandungan kapur barus turut digunakan untuk merawat luka kesan terbakar. Satu kajian terhadap haiwan yang dijalankan pada tahun 2018 telah menemui bahawa salap yang mengandungi kapur barus, minyak bijan dan madu berkemampuan untuk mempercepatkan proses penyembuhan untuk luka terbakar peringkat kedua dan ia lebih berkesan berbanding penggunaan Vaseline. 

Bertindak sebagai antispasmodik

Produk yang mengandungi bahan ini turut membantu memberikan kelegaan terhadap kekejangan dan kekakuan otot. Kajian yang dilaksanakan pada tahun 2014 telah menunjukkan bahawa kapur barus mempunyai ciri antispasmodik dan pelega yang memberi kelegaan terhadap kekejangan otot yang berlaku terhadap seseorang individu.

Adakah kapur barus selamat digunakan?

Ya, secara umumnya ia sememangnya selamat digunakan untuk individu dewasa. Walau bagaimanapun, seperti mana bahan-bahan lain, penggunaan secara berlebihan atau salah mempunyai beberapa kesan sampingan tersendiri. Terdapat beberapa keadaan dan kaedah tertentu untuk memastikan anda menggunakannya dengan cara yang betul dan teratur untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan.

  • Jangan sesekali menggunakan kapur barus yang tidak dilarutkan terlebih dahulu atau menggunakan produk dengan kandungan bahan ini yang melebihi 11%.
  • Produk yang mengandungi bahan ini tidak sepatutnya digunakan keatas kulit yang mengalami kecederaan atau luka memandangkan tubuh badan boleh menyerapnya secara mudah dan menyebabkan ketoksikan.
  • Jangan memakan kapur barus untuk tujuan rawatan masalah dalaman kerana ia akan menyebabkan kesan sampingan yang amat serius sehingga boleh menyebabkan kematian. Ia boleh menyebabkan kerosakan pada hati anda jika ditelan.
  • Anda juga tidak disarankan untuk menggunakan produk berasaskan champor jika mempunyai masalah kesihatan berkaitan hati, asma dan epilepsi atau sawan.
  • Ibu mengandung atau yang sedang menyusukan anak turut tidak digalakkan untuk menggunakan produk kapur barus kerana berpotensi menyebabkan kecacatan kelahiran.

Bagi golongan kanak-kanak terutama mereka yang berumur bawah daripada dua tahun, penggunaan produk yang mempunyai kandungan champor adalah dilarang sama sekali tanpa mengira ia digunakan secara sapuan kulit, dihidu apatah lagi ditelan. Kanak-kanak adalah golongan yang lebih sensitif terhadap kesan sampingan penggunaan bahan ini. Pastikan anda sentiasa menjauhkan produk-produk yang mengandungi champor daripada capaian kanak-kanak.

Sekarang anda pasti sudah mengetahui fungsi dan kesan sampingan penggunaan kapur barus. Pastikan anda lebih berhati-hati selepas ini dalam menggunakan sebarang produk yang mengandungi champor untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan yang berpotensi untuk terjadi. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut