backup og meta

Kaposi's Sarcoma: Kenali Jenis-Jenisnya

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 10/07/2020

    Kaposi's Sarcoma: Kenali Jenis-Jenisnya

    Kaposi’s sarcoma (KS) adalah salah satu daripada keadaan-keadaan yang mentakrifkan AIDS (AIDS defining conditions) – penyakit atau keadaan yang berlaku akibat sistem imun menjadi terlalu lemah hasil jangkitan HIV. Kaposi’s sarcoma wujud dalam 4 bentuk berdasarkan epidemiologinya namun apa yang konsisten, jangkitan virus Herpes Manusia 8 (HHV 8) dikatakan memainkan peranan penting dalam keterjadian penyakit ini. Mula diperincikan oleh Moritz Kaposi pada lewat abad ke-18, ianya adalah sejenis neoplasma (kanser) salur darah yang berupaya untuk membabitkan kulit, mukosa dan juga organ dalaman.

    4 bentuk epidemiologi Kaposi’s Sarcoma adalah seperti berikut:

    Kaposi’s Sarcoma yang berkait dengan AIDS – KS dalam kes ini merujuk kepada neoplasma (kanser) salur darah yang tampak pada lebih daripada satu titik di permukaan kulit dan juga berupaya untuk merebak ke organ dalaman. Dalam kumpulan epidemiologi ini, kebanyakan pesakit turut mengalami jangkitan oportunistik yang lain seperti jangkitan paru paru Pneumocystis carinii. Ketika ianya mula difahami, 95% daripada kes-kes ini berlaku dalam kalangan lelaki homoseksual dan berbanding bentuk-bentuk epidemiologi yang lain, Kaposi’s sarcoma yang berkait dengan AIDS merebak dengan lebih agresif, lazimnya melibatkan organ dalaman yang membawa kepada kegagalan organ dan maut. Selepas berlakunya revolusi dalam rawatan HIV, menggunakan lebih daripada satu ubat antiretroviral, berlakunya penurunan insidens Kaposi’s sarcoma yang signifikan – pada kemuncak epidemik AIDS sekitar tahun 1991, insidens kes adalah 33.3 kes per 100 000 penduduk dan ianya menurun kepada 2.8 kes per 100 000 penduduk pada tahun 1998 (selepas pengenalan rawatan intensif antiretroviral).

    Bentuk Klasik Kaposi’s Sarcoma – Pada tahun 1872, Mortiz Kaposi mula memperincikan bentuk penyakit ini yang dikatakan sebagai bentuk klasik Kaposi’s sarcoma, yang lazimnya dilihat dalam kalangan lelaki tua daripada keturunan Eropah timur dan Mediterranean. Lesi (luka) dalam jenis ini biasanya terhad kepada bahagian hujung kaki dan ianya berlaku jauh lebih lazim dalam lelaki berbanding wanita, dengan nisbah perbezaan 15:1. Insidens Kaposi’s sarcoma dalam kalangan warga Mediterranean juga jauh lebih tinggi berbanding di Eropah dan Amerika Syarikat. Contohnya, sebelum epidemik AIDS, prevalens penyakit ini dalam kalangan penduduk Itali adalah 2 hingga 3 kali ganda lebih tinggi berbanding di Amerika, dan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding di England.

    Bentuk Endemik Kaposi’s Sarcoma – Pada tahun 1950, bentuk endemik penyakit ini telah dilaporkan dan ianya adalah salah satu daripada neoplasma (barah) yang paling kerap diperhatikan di Afrika tengah, mempengaruhi lelaki, wanita dan kanak-kanak. Selepas epidemik AIDS, insidens penyakit ini di kawasan tersebut meningkat dengan drastiknya, dengan Kaposi’s Sarcoma mewakili 48.6% daripada keseluruhan kanser dalam kalangan pesakit kanser lelaki dan prevalens dalam kalangan wanita meningkat kepada 17.9%.

    Bentuk Iatrogenik Kaposi’s sarcoma – Pada tahun 70-an, bentuk Iatrogenik KS telah ditemui dan ianya melibatkan penyebaran penyakit ini kepada mereka yang menerima transplantasi organ dan juga dalam kalangan pesakit yang menjalani rawatan imunosupresif untuk penyakit-penyakit lain. Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan laporan insidens KS Iatrogenik dalam kalangan mereka yang menjalani rawatan immunospresif dan juga rawatan menggunakan ejen biologik seperti rituximab dan infliximab. Namun yang demikian, kejadian KS dalam pesakit-pesakit ini kerapnya akan sembuh sendiri apabila rawatan imunosupresif tersebut dihentikan. Fokus baru kini diberikan kepada insidens Kaposi’s sarcoma dalam pesakit yang mempunyai sistem imun yang sangat lemah selepas prosedur transplantasi organ, melihat kepada insidens yang 400 hingga 500 kali ganda lebih tinggi dalam golongan ini berbanding populasi umum.

    Sekiranya anda khuatir akan risiko anda untuk menghidap penyakit ini, berjumpalah dengan doktor anda untuk bertanyakan risiko dan tanda-tanda penyakit ini khususnya jika anda tergolong dalam golongan yang berisiko tinggi untuk menghidap Kaposi’s sarcoma.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 10/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan