Kaitan Usus-Otak Bantu Jelaskan Bagaimana Corak Diet Menyebabkan Obesiti

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Baru-baru ini, satu kajian yang telah diterbitkan dalam Jurnal Kajian Klinikal telah menemukan kaitan antara usus dan otak yang membawa kepada terjadinya keadaan obesiti. 

Sebelum ini, para pengkaji dan juga komuniti sains amnya mengetahui bahawa leptin, hormon yang dihasilkan oleh sel lemak dalam badan, memainkan peranan yang penting dalam kawalan berat badan. Secara khususnya, hormon leptin bertindak dengan menghasilkan sensasi kenyang kepada otak dan mendorong seseorang itu untuk berhenti makan. Apabila seseorang itu tidak berupaya untuk merasa kenyang, mereka akan terdorong untuk terus makan, terus menambah kalori ke dalam badan mereka dan akhinya menyebabkan berlakunya penambahan berat badan. Ini merupakan salah satu daripada mekanisma yang mendorong kepada terjadinya keadaan berat badan berlebihan. Namun yang demikian, kerintangan terhadap tindakan leptin dan rasa kenyang yang dihasilkannya adalah sesuatu yang misteri dan belum dikenal pasti sehinggalah baru-baru ini.

Para pengkaji daripada Pusat Kajian Nutrisi Kanak-Kanak USDA/ARS di Baylor dan Hospital Kanak-Kanak Texas telah berjaya merungkai penemuan yang mengaitkan peranan usus dan otak dalam keterjadian masalah berat badan berlebihan. Khususnya, peranan hormon GIP yang dihasilkan oleh usus dalam mempengaruhi isyarat otak. Kajian tersebut membabitkan pemberian diet yang tinggi dalam kandungan lemak kepada tikus-tikus kajian. Mereka mendapati diet yang tinggi lemak ini menyebabkan peningkatan dalam paras hormon GIP dalam darah. Hormon GIP adalah sejenis hormon incretin yang dihasilkan oleh usus dan ia adalah salah satu hormon penting yang terlibat dalam kawalan tenaga badan. 

Setelah menggunakan kultur hirisan otak tikus dan menyaring faktor kitaran dalam darah tikus-tikus tersebut, mereka mendapati peningkatan paras hormon GIP ini membawa kepada penghalangan keupayaan leptin untuk menghantar isyarat kenyang kepada otak. Ini bermakna diet yang tinggi lemak seperti yang berlaku dalam kalangan golongan obes dan berat badan berlebihan, akan menyebabkan kerintangan terhadap isyarat kenyang daripada hormon leptin sekaligus mendorong mereka untuk terus makan dan terus bertambah gemuk.

Untuk memastikan kaitan ini, mereka kemudiannya bertindak menghalang reseptor GIP dengan cara menyuntik antibodi monoklonal terus ke otak tikus-tikus kajian. Apa yang berlaku seterusnya mengesahkan keraguan mereka – tindakan ini membawa kepada kesan akhir penurunan berat badan dalam tikus obes yang diberikan diet yang tinggi lemak. Ini kerana tindakan menghalang reseptor GIP tersebut menyebabkan tikus-tikus obes makan pada kekerapan dan kadar yang lagi sedikit. Hasil daripada perubahan pola pemakanan mereka ini, jisim lemak dan paras gula dalam darah mereka menurun yang akhirnya menyebabkan berat badan mereka susut. Apa yang lebih menarik adalah eksperimen lanjutan mendapati kesan ini  adalah khusus kepada obesiti yang dirangsang oleh diet. Dalam tikus tidak obes yang diberikan pemakanan yang biasa, mereka tidak menunjukkan sebarang penurunan dalam pengambilan makanan, berat badan mahupun jisim lemak setelah menerima suntikan antibodi monoklonal. Mereka merumuskan bahawa pengambilan diet yang seimbang tidak mendorong kepada peningkatan dalam kadar GIP. Ini membolehkan hormon leptin bertindak seperti biasa dalam menghasilkan isyarat kenyang kepada otak. 

Kesimpulannya, kaitan usus-otak ini membantu komuniti sains dan pengamal perubatan untuk lebih memahami bagaimana seseorang yang obes itu boleh terperangkap dalam kitaran makan berlebihan dan terus menambah berat badan. Apabila diberikan diet yang tinggi dalam kandungan lemak dan menjadi obes, paras hormon GIP dalam darah meningkat. Di dalam struktur hipotalamus di otak, GIP menghalang tindakan hormon leptin, menyebabkan tikus kajian itu tidak merasa kenyang dan terdorong untuk terus makan dan terus menambah berat badan. Menghalang interaksi antara hormon GIP dan hipotalamus mengembalikan semula keupayaan leptin untuk memberi isyarat kenyang kepada otak. 

Walaupun lebih banyak kajian yang diperlukan untuk mengukuhkan dapatan ini, penemuan kaitan usus-otak dalam menyebabkan obesiti ini berpotensi untuk membuka lembaran baru dalam strategi mengatasi masalah obesiti.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut