Awas, Jangan Mudah Percaya Dengan Nasihat Influencer Di Media Sosial!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Media sosial memainkan peranan penting dalam hidup kita kini. Tanpanya, mungkin kita akan terasing dari dunia luar macam katak bawah tempurung. Dengannya, pelbagai informasi semasa boleh kita boleh dapat. Akan tetapi, ia juga sebenarnya boleh mengelirukan kita dengan maklumat yang kadang kala tidak tepat. Serba salah pula dibuatnya, kan?

Hakikatnya, tidak semua yang kita baca di platform media sosial adalah benar. Terutamanya jika ia ditulis oleh individu yang tidak mempunyai tauliah atau pengiktirafan yang sepatutnya. Oleh itu, kita semua perlu lebih berhati-hati dalam membaca dan menyebar apa-apa yang dibaca. Jadi, sila semak sebelum percaya!

Kajian di Amerika

Menurut soal selidik yang dijalankan oleh Cleveland Clinic and Parade, hampir 44% rakyat Amerika sangat gemar membaca dan mengambil nasihat terutamanya yang berkaitan kesihatan, kecergasan dan pemakanan daripada influencer yang popular di media sosial.

Menurut soal selidik itu lagi, rakyat Amerika akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 2 jam 30 minit untuk melayari internet dalam masa sehari. Apa yang membimbangkan adalah informasi yang dibaca oleh mereka kadang kala adalah tidak benar dan mengelirukan.

Menurut Dr Mark Hyman, Pengarah Cleveland Clinic, sangat banyak nasihat yang ditulis di media sosial terutamanya yang berkaitan kesihatan, adalah salah. Sebagai contoh, pernah berlaku satu trend di Twitter di mana ramai influencer yang menolak vaksinasi terhadap kanak-kanak. 

Trend ini secara tidak langsung menyebabkan ramai ibu bapa di Amerika yang membaca ciapan tersebut lalu mempercayainya. Kesannya, jumlah kanak-kanak yang tidak menerima vaksin meningkat, begitu juga dengan kadar peratusan demam campak di negara itu.

Jadi, anda masih percaya dengan ‘nasihat’ para influencer ini?

Bagaimana pula di negara kita?

Sebenarnya, perkara sebegini tidak hanya berlaku di Amerika sahaja bahkan di seluruh dunia. Negara kita juga tidak pernah terkecuali daripadanya. Antara kes informasi palsu berprofil tinggi yang pernah terjadi di Malaysia adalah kes penyebaran maklumat salah berkenaan vaksinasi oleh bekas penyanyi kumpulan nasyid yang juga merupakan seorang influencer media sosial iaitu Suhaimi Saad.

Kenyataannya yang mengatakan vaksin itu tidak penting malah berbahaya telah menyebabkan ramai ibu bapa mula menghalang anak mereka daripada mengambil suntikan vaksin. Dalam pada itu, persepsinya turut menjadi titik tolak gerakan anti-vaksin di negara kita!

Trend pendakap gigi palsu

Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi kes yang melibatkan influencer di negara kita ini. Antara yang paling membimbangkan adalah berkenaan penipuan penjualan dan pemasangan pendakap gigi palsu yang sering terjadi dalam kalangan remaja di negara kita.

Dulu, perbuatan memakai braces ini adalah untuk membetulkan struktur gigi yang tidak teratur. Namun kini, ia sudah menjadi satu trend remaja. Disebabkan itu, ramai influencer mengambil peluang ini dengan menawarkan khidmat pemasangan pendakap gigi palsu.

Menurut Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Keishatan Malaysia iaitu Dr Doreyat Jemun, jumlah pengguna pendakap gigi tiruan yang datang ke Klinik Kesihatan Pergigian Awan (KKPA) di seluruh negara semakin meningkat.

Ini kerana mereka yang terpedaya telah mengalami pelbagai implikasi daripada kesan penggunaan braces palsu yang banyak dijual oleh influencer media sosial. Mungkin mereka menggunakan perkhidmatan haram itu kerana ia lebih mudah dan murah tanpa memikirkan risikonya.

Jadi, jangan mudah percaya dan terpedaya dengan setiap ‘nasihat’ daripada influencer yang kita sendiri tidak tahu latar belakang ini, ya?

Konklusi

Kesimpulannya, influencer media sosial memang wujud di mana-mana. Tidak salah untuk anda membaca setiap nasihat yang diberikan oleh mereka berkaitan apa-apa juga perkara termasuklah kesihatan. Akan tetapi, jangan mudah percaya! Sebaiknya, anda berjumpa dengan doktor yang bertauliah untuk mendapatkan apa-apa khidmat nasihat dan rawatan berkaitan kesihatan anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut