‘Hippocratic’ sebuah naskah tulen mengangkat suara pesakit di hujung nyawa

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Minggu lepas, ketika berlangsungnya Kongres Kanser Dunia di Kuala Lumpur, para delegasi disajikan dengan tayangan filem dokumentari ‘Hippocratic: 18 Experiments in Gently Shaking the World’ yang mengisahkan mengenai cabaran dan halangan calon Hadiah Nobel Keamanan dari India, Dr. M.R. Rajagopal yang disebut sebagai Bapa Penjagaan Paliatif untuk merintis kaedah rawatan tersebut di negaranya.

Selama lebih 20 tahun, Dr Rajagopal bergelumang dengan keadaan pesakit yang merana akibat pelbagai penyakit terutamanya kanser dalam mendapatkan penjagaan paliatif. Walaupun India merupakan pengeluar utama opium, morfin dan ubat tahan sakit berbentuk opiod secara sah di sisi undang-undang, namun terdapat kekangan capaian kepada penawar tersebut untuk pesakit yang menderita akibat kanser dan penyakit kronik lain di negara tersebut.

Kekangan capaian kepada ubat tahan sakit

Dr. Rajagopal menyatakan Akta Narkotik 1987 telah menyebabkan kemerosotan preskripsi ubat tahan sakit berbentuk opiod kepada 94 peratus dalam masa 12 tahun. Di bawah akta tersebut, jika berlaku sedikit kesilapan dalam memberi preskrispsi terhadap ubat tersebut boleh mengakibatkan seseorang doktor didakwa dan dipenjara selama 10 tahun.

“Jika anda menyeksa seseorang atas sebab-sebab politik, mereka boleh menandatangani perjanjian damai dan melarikan diri. Di sini (pesakit yang sedang menderita) tidak mempunyai pilihan tersebut… mereka perlu lawan dan bangkit semula. Ini merupakan perang hanya di sebelah pihak,” kata Dr. Rajagopal.

Industri perubatan dan aktiviti mengaut untung

Dalam ‘Hippocratic’, Dr. Rajagopal menegaskan bahawa industri perubatan dan aktiviti menjana keuntungan telah mengakibatkan kurangnya kaedah pengurusan kesakitan secara berkesan. Lebih kurang 80 peratus industri penjagaan kesihatan awam di India adalah diswastakan, dan apabila doktor memberi preskripsi ubat tahan sakit berbentuk opiod, selalunya para doktor akan memberikan ubat yang berjenama dan mahal apabila terdapatnya pilihan ubat generik yang sama kesannya namun lebih murah kosnya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai keuntungan industri perubatan yang tidak dikawalselia dan berjanji ingin membawa perubahan kepada penjagaan kesihatan awam di negaranya dan di peringkat antarabangsa.

Pesakit juga manusia, bukannya sekujur tubuh dengan penyakit

Filem selama 88 minit tersebut menitipkan momen-momen penuh emosi dan bermain dengan persoalan bagaimana dengan belas ehsan dan empati mampu memberi lebih makna kepada rawatan perubatan.

Dalam filem tersebut juga terdapat satu momen di mana seorang kanak-kanak menghidap kanser yang tidak mampu menanggung kesakitannya dengan menjerit dan menghempas badannya ke atas katil, namun apabila diberi ubat tahan sakit berbentuk morfin, emosi kanak-kanak terus berubah menjadi ceria, lalu memeluk Dr. Rajagopal dan mencium dahinya kerana ingin mengucapkan terima kasih.

Momen-momen kecil namun sangat berharga, membuatkan Dr. Rajagopal tekad untuk terus memperjuangkan rawatan yang lebih bersifat holistik seperti penjagaan Paliatif bukan sekadar merawat sesuatu penyakit atau keadaan kesihatan. Dr. Rajagopal berkata sudah tiba masanya kita mengubah perspektif dalam rawatan perubatan, pesakit harus diberi capaian kepada bentuk pengurusan kesakitan biarpun pesakit tersebut hanya menunggu ajal kerana kanser.

Bagi pesakit yang tidak mempunyai peluang untuk hidup, bukan bermakna kita menidakkan hak mereka dalam mendapat penjagaan kesihatan sewajarnya. Motivasinya di sini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit, memastikan mereka menerima sokongan emosi yang sewajarnya daripada pengamal perubatan dan ahli keluarga mereka. Tambah Dr. Rajagopal lagi, sekurangnya-kurangnya biarlah mereka meninggal dunia dalam keadaan bermaruah dan tenang.

Kesakitan adalah satu perjalanan yang sunyi

Dr. Rajagopal turut memberi pendapat bahawa kemajuan teknologi telah membuat diagnosis dan rawatan pelbagai penyakit menjadi lebih tepat dan berkesan namun hanya sekadar agresif melawan penyakit dan sangat jarang merawat kesakitan akibat merana kerana penyakit.

“Apabila saya pergi ke hospis, saya temui ramai pesakit yang kesunyian. Juga terdapat pesakit lanjut usia yang kesunyian dalam masyarakat kita di luar sana,” kata Dr. Rajagopal

Dr. Rajagopal juga menyifatkan penjagaan kesihatan dan rawatan haruslah mempunyai pendekatan perkongsian di antara doktor dan masyarakat secara umumnya.

“Kerja yang kami lakukan adalah berpaksikan masyarakat dan masyarakat juga perlu turut serta dalam kerja-kerja kami,” tambahnya lagi.

“Dalam sesebuah masyarakat, terdapatnya individu-individu yang mulia hatinya, sanggup membantu orang lain, jika kita memberi masyarakat kita dengan latihan asas dalam penjagaan kesihatan dan menggalakkan mereka untuk tampil ke hadapan dan seterusnya memberi perhatian kepada pesakit terutamanya golongan tua yang sangat-sangat memerlukan sokongan moral dan emosi.”

Pada tahun 2014, Dr. Rajagopal menerima anugerah bagi kecemerlangan kerja-kerja aktivisme untuk ‘Human Rights Watch’, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang menjalankan kerja-kerja advokasi mengenai pencabulan hak asasi dan penderitaan yang dialami oleh pesakit penjagaan paliatif di seluruh dunia.

Bagi memahami ‘Hippocratic’ mengikut isu-isu yang diperjuangkan, berikut merupakan petikan-petikan signifikan daripada filem tersebut:

1. Bukan kanser yang membunuh pesakit, tetapi kemiskinan yang membunuh rakyat yang tidak mampu mendapat rawatan dan penjagaan kesihatan sewajarnya.

2. Aktiviti kaut keuntungan melampau oleh industri perubatan telah menghancurkan harapan pesakit dan keluarga mereka yang sehabis baik berikhtiar untuk mendapatkan penawar penyakit.

3. Perlunya perubahan pemikiran yang sterotaip ke atas morfin dalam kaedah pengurusan kesakitan dalam penjagaan paliatif. Jika kanser tidk boleh dirawat, sekurang-kurangnya pesakit mampu jalani kehidupan dengan lebih selesa tanpa kesakitan jika diberi ubat tahan sakit seperti morfin.

4. Beban kesakitan yang ditanggung kerana akta dan polisi kerajaan yang menekan dan tidak memihak kepada rakyat yang tidak berupaya (vulnerables).

5. Jika pesakit terus dibiarkan menderita menanggung sakit tanpa diberi ubat tahan sakit atau kaedah pegurusan kesakitan, itu adalah penyiksaan. Dan sangat zalim.

6. Penjagaan paliatif bukan bererti berdepan dengan kemuraman tiada sinar harapan dalam hidup, tapi mengajar kita makna kehidupan dan menghargainya sebaik mungkin.

Sesungguhnya filem dokumentari ini benar-benar membuka mata kami di Hello Doktor tentang bagaimana kita harus mengubah pemahaman dan pendekatan kita mengenai penjagaan kesihatan awam dan dan rawatan perubatan. Kita harus mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan terutamanya perasaan empati kepada pesakit yang menderita, kerana pesakit juga manusia punya perasaan dan harga diri bukan hanya sekujur tubuh dengan penyakit semata-mata.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan

Baca juga:

Rujukan