Hari Hepatitis Sedunia: Rakyat Malaysia Disarankan untuk Jalani Saringan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apa itu Hepatitis?

Keradangan hati atau lebih dikenali sebagai Hepatitis merupakan sejenis penyakit kronik hati yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus. Dua virus yang cukup tersohor dalam mengakibatkan keadaan ini adalah virus Hepatitis B dan juga C. Kedua-dua virus ini merupakan penyumbang utama kepada kanser hati di seluruh dunia. Dianggarkan 1.34 juta manusia meninggal dunia setiap tahun akibat daripada jangkitan virus-virus ini. Angka yang menggerunkan ini melangkaui jumlah kematian tahunan yang disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti HIV/AIDS dan juga Malaria. Apa yang lebih menyedihkan adalah kematian 4000 orang setiap hari oleh virus-virus ini adalah sesuatu yang boleh dicegah. Ini kerana terdapat rawatan yang berkesan dan juga vaksin untuk mencegah jangkitan virus-virus ini.

Punca utama yang menyebabkan ramai orang menemui ajal akibat jangkitan virus-virus ini adalah kerana mereka tidak tahu bahawa virus-virus tersebut berada di dalam diri mereka. Untuk jangkitan Hepatitis C misalnya, jangkitan peringkat akut selalunya tidak menghasilkan sebarang simptom atau tanda, menyebabkan seseorang itu tidak terdorong untuk mendapatkan perhatian daripada doktor dan rawatan susulan. Tambahan lagi, masyarakat umum juga kurang cakna tentang kaedah virus-virus ini disebarkan dan apakah tindakan yang menyebabkan mereka berisiko untuk menghidapnya. Oleh yang demikian, sekitar 290 juta orang di seluruh dunia kini sedang menghidap jangkitan virus Hepatitis tanpa mereka sedari. 

Bagaimana Anda Boleh Dijangkiti?

Anda boleh dijangkiti melalui pelbagai cara namun cara utama jangkitan virus ini tersebar dalam negara membangun adalah melalui perkongsian jarum hasil daripada pengambilan atau penyalahgunaan dadah intravena. Dalam negara kurang membangun pula, kaedah penyebaran utama adalah melalui transfusi darah dan prosedur kesihatan yang tidak bersih atau selamat. Berikut merupakan senarai kaedah penyebaran jangkitan virus-virus ini:

  1. Berkongsi Jarum Dalam Penyalahgunaan Dadah Intravena
  2. Pendedahan Akibat Prosedur Kesihatan
  3. Hubungan Seks
  4. Modifikasi Badan
  5. Berkongsi Alat Kebersihan Diri
  6. Transmisi Daripada Ibu Kepada Anak

Hari Hepatitis Sedunia 2019

Hari Hepatitis Sedunia disambut setiap tahun pada tanggal 28 Julai bagi meraikan kemajuan yang telah dicapai dalam usaha untuk membasmi jangkitan berbahaya ini dan juga sebagai peluang untuk setiap ahli masyarakat menambah pengetahuan mereka tentang penyakit ini dan perubahan yang boleh dilakukan untuk kebaikan sejagat. Tarikh keramat 28 Julai ini dipilih bersempena dengan hari lahir pemenang anugerah Nobel, Dr Baruch Blumberg, yang menemui virus Hepatitis B dan juga telah membangunkan ujian diagnostik dan vaksin untuk virus tersebut. 

Pada tahun 2016, setiap negara telah menyertai usaha untuk membasmi hepatitis menjelang tahun 2030. Namun yang demikian, hanya 12 negara sahaja yang telah dikenal pasti sebagai berada pada landasan yang tepat untuk mencapai misi tersebut. Justeru, inisiatif sambutan seperti ini adalah perlu bagi memupuk kesedaran umum untuk mencapai matlamat yang ingin dikecapi. Dengan tema ‘Finding the missing millions’, Hari Hepatitis Sedunia 2019 menyeru dan mengajak kepada lebih ramai orang, khususnya yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, bagi mendapatkan ujian saringan dan rawatan susulan. 

Usaha Malaysia dalam melawan Hepatitis C

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, terdapat sekitar 450,000 rakyat Malaysia yang kini dijangkiti oleh virus ini, dan ia merupakan beban yang besar kepada sektor kesihatan awam. Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan untuk menggunakan lesen kegunaan kerajaan ke atas sejenis ubat yang merupakan rawatan kepada jangkitan tersebut iaitu ubat ‘Sofosbuvir’. Ubat Sofosbuvir adalah ubat yang didapati paling berkesan dalam merawat jangkitan virus ini, dan (dengan gabungan rawatan yang sedia ada) ia mampu untuk menghasilkan kadar kesembuhan setinggi 95%. Penggunaan lesen kegunaan kerajaan ini akan menyebabkan Malaysia mampu untuk menawarkan rawatan yang terbaik kepada rakyatnya pada harga yang jauh lebih rendah. Sebagai perbandingan, syarikat Gilead yang memegang paten penghasilan ubat ini dikatakan menjual ubat Sofosbuvir ini pada harga RM4,000 untuk satu pil (USD1,000), dan untuk tempoh rawatan selama 12 minggu bersama ubat lain, kos keseluruhan mampu mencapai nilai RM336,000 (USD84,000). Sekiranya kerajaan Malaysia berjaya untuk membolehkan syarikat penghasil ubatan generik dari Mesir atau India untuk menghasilkan ‘sofosbuvir’ yang generik, kos rawatan untuk 12 minggu boleh dikurangkan kepada serendah RM480 sahaja (USD120).

Namun yang demikian, tindakan yang mulia daripada KKM ini bukanlah tanpa tentangannya – sebagai tindak balas, Badan Kajian Farmaseutikal dan Penghasilan Amerika (PhRMA) telah menghantar surat kepada Badan Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) untuk meletakkan Malaysia dalam laporan 301 sebagai Negara Asing Keutamaan (Priority Foreign Country). Laporan 301 adalah laporan yang menyemak sebarang bentuk halangan ke atas hak milik intelek, hak cipta terpelihara, paten dan tanda dagangan (Trademarks) syarikat-syarikat kapitalis Amerika dalam memperdagangkan produk mereka ke negara luar. Senarai Negara-Negara Asing Keutamaan adalah pengkelasan terburuk untuk negara-negara yang gagal memberikan perlindungan yang cukup dan efektif ke atas hak cipta terpelihara dan harta intelek dan sekiranya Malaysia tersenarai dalam senarai ini, Malaysia berdepan kemungkinan sekatan ekonomi daripada Amerika Syarikat yang akan menjejaskan lebih banyak aspek perdagangan dan diplomatik antara dua negara ini. 

Kempen Pemeriksaan dan rawat sempena Hari Hepatitis Sedunia 2019

Pada tanggal 15 Julai sehingga 21 Julai yang lepas, KKM telah menganjurkan saringan ‘pemeriksaan-dan-rawat’ bagi semua rakyat Malaysia untuk Hepatitis C secara percuma. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat lebih 100 tempat saringan di hospital dan pusat penjagaan kesihatan yang utama di seluruh Malaysia yang disediakan untuk orang awam mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Inisiatif ini adalah acara saringan terbesar pernah diadakan oleh kerajaan dan akan memainkan peranan signifikan dalam pembasmian Hepatitis C menjelang 2030. Kempen ini juga akan membantu menyokong dan meningkatkan aktiviti penambahbaikan saringan Hepatitis C di negara ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kempen berkenaan juga adalah sebahagian daripada persediaan Hari Hepatitis Sedunia, yang akan disambut di seluruh dunia pada 28 Julai. Kempen ini turut mendapat sokongan padu daripada inisiatif Ubat Untuk Penyakit Terabai (DNDi) dan Yayasan Inovatif Diagostik Baru (FIND).

Sekiranya anda tidak pasti akan status anda atau pernah terdedah kepada mana-mana kaedah transmisi jangkitan virus ini, segeralah berjumpa dengan doktor di klinik-klinik kesihatan berdekatan anda. Di Malaysia, kita beruntung kerana mempunyai sistem saringan yang murah, mudah dan disambungkan terus dengan rawatan yang efektif dan mampu milik. Ini adalah servis yang tidak dinikmati di kebanyakan negara, justeru manfaatkanlah kelebihan ini demi kesihatan kita dan orang yang kita sayangi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut