Hari Buah Pinggang Sedunia: Akses Kesihatan Untuk Semua, Di Mana Sahaja

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

14 Mac diraikan sebagai Hari Buah Pinggang Sedunia pada setiap tahun sebagai memberi kesedaran berkenaan peri pentingnya kesihatan buah pinggang kepada manusia. Kempen-kempen kesedaran, program dan perbincangan digerakkan bagi menerangkan berkenaan kepentingan buah pinggang, faktor-faktor penyebab penyakit berkaitan buah pinggang, faktor risiko yang berkaitan dan bagaimana untuk terus menjalani kehidupan sekiranya mempunyai penyakit buah pinggang. Tema hari buah pinggang dunia pada tahun ini adalah “Kesihatan buah pinggang untuk semua, di mana sahaja” memandangkan sekitar 850 juta individu menghidap penyakit buah pinggang diseluruh dunia dan penyakit buah pinggang yang kronik adalah penyebab kematian keenam paling pantas dengan 2.4 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia. Kadar pesakit buah pinggang kronik di Malaysia turut meningkat dengan angka seramai 42,503 pada tahun 2017 dan berlaku peningkatan sebanyak 7000 pesakit baharu setiap tahun. Pesakit yang menunggu pemindahan organ pula hampir mencecah 20,000 orang; satu angka yang bukan sedikit. Sementara menunggu giliran pemindahan organ, penghidap terpaksa melakukan dialisis yang memakan belanja sebanyak RM250 sehingga RM280 bagi setiap kali dialisis dilakukan di pusat haemodialisis milik persendirian dan harga yang lebih rendah boleh didapati di pusat haemodialisis yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kos keseluruhan rawatan buah pinggang bagi seseorang individu turut membebankan mereka kerana ia boleh mencecah angka sebanyak RM40,000 untuk tempoh masa setahun.

Signifikan pemilihan tema

Penyakit buah pinggang yang kronik dan kecederaan akut buah pinggang sering terjadi berdasarkan keadaan sosial dimana seseorang itu dilahirkan, dimana dia dibesarkan, hidup, bekerja dan menghabiskan masa tuanya. Kurangnya pendedahan terhadap pendidikan, kesaksamaan jantina, pencemaran dan bahaya dari tempat pekerjaan turut mempengaruhi risiko untuk mendapat penyakit berkaitan buah pinggang. Selain itu, terdapat juga isu kekurangan akses terhadap rawatan penyakit buah pinggang. Pemindahan buah pinggang sebagai contoh, adalah kaedah rawatan yang dianggap paling efektif untuk penyakit buah pinggang tetapi kaedah ini adalah satu kaedah rawatan yang menelan banyak belanja dan tidak mampu dibiaya oleh majoriti populasi di sesebuah negara. Kekurangan infrastruktur fizikal untuk penderma organ, dialisis ‘back up’ dan pasukan perubatan khusus terlatih telah menjadikan rawatan untuk penyakit buah pinggang ini tidak dapat diakses oleh kebanyakan individu. Kerajaan di sesebuah negara disarankan untuk memberikan subsidi bagi rawatan penyakit buah pinggang agar kesemua lapisan masyarakat mempunyai akses terhadap rawatan yang terbaik bagi merawat penyakit buah pinggang mereka. Terdapat juga isu kekurangan dasar tertentu untuk tujuan pencegahan, pemeriksaan dan rawatan penyakit buah pinggang. 53% negara-negara mempunyai strategi yang terlalu tinggi terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit tanpa tatacara pengurusan atau strategi untuk penambahbaikan.

8 Golden Rules untuk penjagaan buah pinggang

  • Sentiasa aktif:

    Pengamalan gaya hidup sihat dan aktif akan mengurangkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit buah pinggang yang kronik.

  • Sentiasa memantau tahap gula darah:

    Terdapat sesetengah individu yang menghidap diabetes berkemungkinan turut mempunyai kerosakan buah pinggang, oleh itu amat penting bagi penghidap diabetes untuk sentiasa memeriksa fungsi buah pinggang mereka.

  • Pantau tekanan darah:

    Kebanyakan daripada kita mengetahui berkenaan tekanan darah tinggi yang boleh membawa kepada strok dan serangan jantung, tetapi ramai yang kurang mengetahui bahawa tekanan darah tinggi turut menjadi penyebab utama kerosakan buah pinggang.

  • Makan secara sihat dan pantau berat badan anda:

    Makan secara sihat mampu mencegah diabetes, penyakit jantung dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan penyakit buah pinggang kronik. Kurangkan pengambilan garam dengan hanya 5-6 gram garam dalam sehari. Kurangkan pengambilan makanan yang telah diproses dan makanan yang dibeli daripada restoran dengan cara menyediakan makanan anda sendiri.

  • Kekalkan pengambilan air yang cukup:

    Minum air yang cukup setiap hari boleh membantu buah pinggang untuk menyingkirkan sodium, urea dan toksin daripada tubuh badan. Bagi individu yang mempunyai batu karang, disarankan untuk minum 2 hingga 3 liter air setiap hari untuk mengurangkan risiko pembentukan batu karang baharu.

  • Jangan merokok:

    Merokok memperlahankan aliran darah ke buah pinggang. Apabila kurang darah yang sampai ke buah pinggang, ia akan menjejaskan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik. Merokok turut meningkatkan risiko untuk menghidap kanser buah pinggang sebanyak 50 peratus.

  • Jangan mendapatkan ubat-ubatan di farmasi dengan kerap:

    Ubat anti-radang bukan steroid seperti ibuprofen diketahui menyebabkan kerosakan dan penyakit buah pinggang jika diambil dengan kerap. Ubatan seperti berikut mungkin tidak membahayakan sekiranya buah pinggang anda barada dalam keadaan yang sihat dan anda menggunakan ubatan tersebut ketika kecemasan sahaja. Tetapi jika anda mempunyai sakit kronik seperti arthritis atau sakit belakang, jumpa doktor untuk mencari solusi bagaimana untuk mengurangkan kesakitan yang anda alami tanpa merisikokan buah pinggang anda.

  • Periksa kefungsian buah pinggang:

    Sekiranya anda mempunyai satu atau beberapa faktor berisiko tinggi seperti diabetes, hipertensi, obesiti, salah seorang daripada ahli keluarga menghidap penyakit buah pinggang, jalani pemeriksaan untuk memastikan fungsi buah pinggang anda berada dalam keadaan yang baik. Pemeriksaaan awal mampu mengelakkan sebarang penyakit buah pinggang yang kronik daripada berlaku.

Pada Hari Buah Pinggang Sedunia, kita disarankan untuk makan secara sihat sepanjang masa, hidup dengan cara hidup yang sihat dan aktif, dan melaksanakan apa sahaja yang mampu meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut