backup og meta

Ayuh, Mari Hapus Stigma Psoriasis!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    Ayuh, Mari Hapus Stigma Psoriasis!

    “Eii.. Gelilah tengok tangan dia. Tak nak salamlah”.

    Nizam menarik tangannya selepas melihat rupa tangan Muhammad saat dia menghulurkan tangan untuk bersalam.

    “Oh, benda ni tak berjangkit pun”, ujarnya. Namun Nizam hanya berlalu pergi meninggalkan Muhammad terpinga-pinga. Situasi ini kerap berlaku kepada mereka yang menghidap psoriasis. Teruskan membaca untuk mengetahui berkenaan dengan penyakit ini.

     Pendidikan, kunci utama

    Pendidikan adalah merupakan asas kepada pemahaman berkenaan dengan sesuatu penyakit. Ambil psoriasis sebagai contoh. Kajian telah menunjukkan bahawa mereka yang mengenali seseorang dengan penyakit ini atau mereka yang tahu berkenaan dengannya lebih memahami situasi tersebut berbanding dengan mereka yang tidak tahu.

    Psoriasis adalah merupakan penyakit autoimun kronik yang mempengaruhi kadar pusing ganti sel kulit. Keadaan ini menyebabkan sel kulit mati lebih cepat dan ia akan berkumpul di permukaan kulit menyerupai sisik putih kemerah-merahan yang gatal dan sakit buat sesetengah individu. Selain itu, penyakit ini juga boleh mempengaruhi sendi-sendi badan terutamanya tangan.

    Walaupun penyakit ini bukanlah sesuatu yang boleh mengancam nyawa dalam jangka masa pendek, pesakit terpaksa berdepan dengan reaksi individu sekeliling memandangkan ia merupakan penyakit yang jelas kelihatan pada mata kasar. Bayangkan anda ingin berjabat tangan dengan individu yang anda ingin kenali secara peribadi atau profesional, keadaan tangan anda boleh menjadi punca kepada diskriminasi untuk anda menjalinkan hubungan sosial.

    Menurut satu kajian yang dijalankan terhadap 187 pelajar perubatan Universiti Pennsylvania dan 198 orang dewasa, mereka mendapati bahawa:

    • 54% daripada jumlah tersebut tidak mahu menjalinkan hubungan intim dengan mereka yang mempunyai psoriasis
    • 40% daripada jumlah tersebut tidak mahu berjabat tangan dengan mereka yang mempunyai psoriasis
    • 32% daripada jumlah tersebut tidak selesa dengan kehadiran pesakit psoriasis di dalam rumah mereka

    Apabila ditanya mengapa, jawapan yang paling kerap diberikan oleh mereka adalah penghidap psoriasis tidak kelihatan menarik, tampak sakit dan tidak selamat. 1/3 daripada jumlah subjek kajian tersebut percaya bahawa penyakit tersebut hanya melibatkan kulit dan ia bukanlah satu penyakit yang serius. Ini merupakan mitos dan menjadi sumber kepada diskriminasi dan pemikiran stereotaip terhadap pesakit psoriasis.

    Bukan rupa luaran semata-mata

    Pada tahun 2011, Novartis telah menjalankan kaji selidik global yang melibatkan 8,338 pesakit psoriasis. Melalui kajian ini, mereka mendapati bahawa 84% pesakit telah berhadapan dengan diskriminasi dan kira-kira 40% pesakit kerap ditenung oleh masyarakat sekeliling sewaktu menggunakan kemudahan awam. 16% daripada jumlah pesakit tersebut mengaku bahawa mereka lebih selesa untuk menjalani kehidupan mereka bersendirian sebagai cara untuk menyesuaikan diri dengan penyakit psoriasis.

    Apa yang masyarakat perlu tahu berkenaan dengan penyakit ini adalah ia tidak berjangkit. Ia bukanlah disebabkan oleh jangkitan kuman seperti cacar air. Ia adalah disebabkan oleh sistem pertahanan tubuh badan yang menyerang sel-sel kulit menyebabkan ia lebih cepat mengelupas berbanding dengan individu biasa. Apa yang penting dalam menjalinkan hubungan sosial yang baik adalah dengan mengetahui isi dalaman seseorang individu, bukan rupa luaran semata-mata.

    Masyarakat perlu sedar bahawa karakter seseorang individu tidak ditentukan oleh paras rupa mahupun penyakit yang dihidapinya. Hubungan sosial yang baik adalah merupakan teras kepada keadaan mental yang sihat. Mereka yang mempunyai penyakit kronik memerlukan sokongan sosial bagi meringankan beban emosi yang dipikul dalam menanggung derita simptom yang sedia ada.

     Konklusi

    Bersempena dengan Hari Psoriasis Sedunia yang bakal disambut pada 29 Oktober, kami menyeru kepada para pembaca untuk lebih prihatin terhadap mereka yang menghidapi penyakit psoriasis. Penyakit ini nampak menakutkan namun amat penting untuk anda memberikan sokongan moral dan sosial kepada rakan anda yang menghidapinya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan