backup og meta

Fenomena Vape Pod: Pilihan Berbahaya Generasi Muda Masa Kini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/12/2019

    Fenomena Vape Pod: Pilihan Berbahaya Generasi Muda Masa Kini!

    Setiap kali anda berjalan melalui ruangan merokok, sudah pasti anda dapat melihat kepulan asap yang sangat banyak ibarat hembusan nafas sang naga yang datang dari pelbagai sudut. Namun, sedikit berbeza dengan senario 5 atau 10 tahun yang lalu, asap-asap tersebut kini kebanyakannya tidak datang daripada produk tembakau. Sebaliknya, kepulan-kepulan asap ini datangnya dari mulut penghisap rokok eletronik. Kerisauan mengenai kesan terhadap kesihatan akibat menjadi perokok pasif pun sedikit berbeza kini. Pun begitu, mungkin anda akan sedikit hairan jika mereka kelihatan menghisap objek yang kecil seakan-akan pen atau pemacu kilat USB namun masih mengeluarkan asap. Buat anda yang tertanya-tanya, inilah trend merokok masa kini yang dikenali sebagai vape pod. Persoalannya, apakah ia sebenarnya dan adakah ia satu alternatif rokok yang kurang berbahaya?

    Fenomena rokok elektronik

    Penggunaan rokok elektronik kini telah menjadi satu fenomena yang luar biasa, melanda jutaan belia di seluruh dunia. Daripada hanya 25 juta pengguna pada tahun 2015, jumlah pengguna vape global kini telah mencecah 41 juta pada tahun 2018. Kini, industri ini telah mencapai nilai USD19.3 bilion (RM80.452 bilion), berbanding USD6.9 bilion (RM28.76 bilion) 5 tahun sebelumnya.

    Di tanah air kita, industri ini telah berkembang dengan pesatnya. Kedai-kedai menjual vape tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Dalam kalangan belia, ia dilihat sebagai ‘tembakau alaf baru’ kerana berbeza dengan tembakau tradisional. Vape dan vape pod bebas dijual kepada pelanggan tanpa mengira faktor umur. Oleh yang demikian, pengguna alat ini telah meluas kepada pelbagai lingkungan usia termasuklah kanak-kanak. Malahan, dilaporkan pengguna termuda rokok elektronik ini adalah kanak-kanak yang berusia 8 tahun.

    Untuk rokok tembakau, penggunaannya di tempat awam seperti restoran dan sekolah adalah dilarang sama sekali. Hukuman yang sangat berat diberikan kepada mereka yang ditangkap merokok di kawasan awam. Namun yang demikian, larangan yang sama tidak berlaku untuk mereka yang menghisap vape. Sehubungan itu, penghisap vape bebas untuk menggunakannya tanpa rasa risau.

    Situasi ini bertambah parah apabila syarikat-syarikat pengeluar vape tanah air ini menggunakan pengaruh selebiriti untuk melariskan produk mereka. Sokongan selebriti terkemuka ini sedikit sebanyak memberikan gambaran ‘tidak berbahaya’ terhadap penggunaan alat ini.

    Apa itu vape pod?

    Tidak ada takrifan sebenar mengenai asal usul perkataan ‘pod’ ini, namun ia adalah satu nama yang diberi untuk menggelar sebuah alat merokok dengan sistem isian cecair yang mengandungi nikotin dan perisa. Mungkin ia agak sama dengan vape, namun apa yang membezakannya adalah dari segi saiz yang jauh lebih kecil dan cara penjagaannya yang jauh lebih mudah. Oleh itu, vape pod juga dikenali sebagai ‘vape mini’.

    Alat ini sangat senang untuk dibawa ke mana-mana. Simpan sahaja di poket seluar atau di kocek baju, dan vape pod ini akan setia menemani anda. Ini adalah satu manfaat kepada penghisapnya, kerana anda boleh menghisapnya di mana sahaja tidak kira restoran, pejabat mahupun sekolah! Buat bukan penghisapnya, ini merupakan satu mudarat yang agak sukar untuk dibendung kini. Ia juga lebih mesra kanak-kanak sekolah kerana saiznya yang cukup kecil dan mudah untuk disorok sekali gus mengaburi mata guru-guru dan juga ibu bapa.

    Tambahan lagi, lambakan perisa vape pod adalah faktor utama ramai perokok mula beralih kepadanya. Daripada buah, kopi, susu dan pelbagai lagi pilihan lain mengikut cita rasa anda. Selain itu, asapnya yang kurang tebal berbanding vape mekanikal juga memainkan faktor yang penting. Golongan pekerja pejabat sangat menggemarinya kerana ia tidak akan meninggalkan bau yang kuat pada mulut atau pakaian.

    Bahaya penggunaan vape pod

    Mungkin ada yang mengatakan bahawa penggunaan vape pod ini adalah lebih selamat berbanding penggunaan rokok tradisional. Ada juga yang akan menambah dengan mengatakan bahawa ia merupakan sejenis alat yang membantu perokok untuk berhenti. Namun yang demikian, tanggapan yang tidak berasas ini adalah sama sekali meleset. Hakikatnya, penggunaan vape dan vape pod ini mempunyai kesan kesihatan yang tersendiri.

    Secara asasnya, kesan kesihatan akibat penggunaan alat ini tidak jauh bezanya dengan penggunaan vape mekanikal kerana bahan kimia yang terkandung kebanyakannya adalah sama. Tambahan lagi, kedua-dua rokok dan rokok elektronik mengandungi nikotina. Menurut kajian yang dilakukan oleh National Academies Press (NAP) pada 2018, nikotina yang terkandung di dalam cecair isian vape ini boleh melajukan degupan jantung. Selain itu, pengambilannya juga boleh meningkatkan tekanan darah. Kedua-dua kesan ini akhirnya akan menjejaskan kesihatan jantung dalam jangka masa panjang.

    Selain itu, untuk mereka yang belum pernah merokok, penggunaan rokok elektronik pada usia yang lebih muda boleh bertindak sebagai perintis atau gateway drug kepada mereka untuk bergelar perokok (tembakau) di masa yang akan datang. Berikut merupakan antara sebab lain mengapa penggunaan vape boleh menyebabkan kesan buruk yang lebih teruk dan lebih pantas:

    1.Risiko kematian serta merta

    Kematian akibat tembakau lazimnya disebabkan oleh penggunaannya yang memakan masa bertahun malah berdekad lamanya. Namun yang demikian, seperti apa yang disaksikan oleh pegawai kesihatan di Amerika Syarikat, kesan kesihatan akibat vape sudah mula boleh dilihat dalam tempoh hanya beberapa minggu atau bulan sahaja. Gelombang penyakit paru-paru baru akibat vape atau EVALI, telah meragut banyak nyawa di negara tersebut, di samping menyebabkan ratusan individu terpaksa dikejarkan ke hospital. Kerosakan paru-paru akibat daripada alat ini adalah sangat drastik sehingga salah seorang daripada mangsa yang dikejarkan ke hospital, Adam Hergenreder, 18 tahun, disahkan mengalami tanda-tanda kerosakan kekal persis paru-paru seseorang yang berusia 70 tahun!

    2.Ketidakpastian kandungan

    Meneka apa yang mungkin terkandung dalam cecair vape ibarat cuba menembak sasaran di dalam gelap. Anda mungkin terkena beberapa sasaran tetapi lebih tinggi kemungkinan untuk tembakan anda tersasar dan tekaan anda meleset. Mustahil untuk anda tentukan apa yang terkandung dalam mana-mana cecair kerana resepi setiap perisa itu adalah berbeza walaupun daripada penghasil yang sama. Ini diterukkan lagi oleh kepelbagaian adunan daripada pengeluar yang berbeza dan juga kebebasan pengguna untuk mengadun sendiri campuran cecair mereka daripada perisa lain. Keadaan ini akan menggalakkan interaksi antara bahan kimia yang berpotensi untuk menghasilkan kompaun berbahaya. Contoh mudah adalah penghasilan asetal akibat tindak balas propilen glikol (PG) dan juga perisa berasaskan aldehid. Asetal adalah sejenis kompaun yang menghasilkan kesan kerengsaan kepada saluran pernafasan. Namun, asetal tidak dilabelkan dalam maklumat produk kerana penghasil tidak mengetahui tindak balas kimia yang menyebabkan pembentukannya. 

    3.Lebih muda penghisap vape, lebih cepat komplikasi berlaku

    Sekurang-kurangnya, penggunaan rokok di Malaysia dihadkan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Tanpa kawalan umur seperti yang berlaku untuk produk tembakau, terdapat laporan yang menunjukkan penghisap vape berusia seawal 8 tahun! Penagih nikotina muda ini bukan sahaja terdedah kepada kesan sampingan dan komplikasi akibat nikotina, mereka juga terdedah kepada kesan kesihatan akibat pelbagai bahan kimia lain yang tidak diketahui. Menurut Pusat Kawalan dan Pecengahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), purata usia pesakit yang menderita penyakit paru-paru akibat vape dalam epidemik EVALI di Amerika Syarikat baru-baru ini adalah 19 tahun.

    Konklusinya, kepercayaan yang mengatakan vape pod ini adalah lebih baik berbanding rokok tembakau atau rokok elektronik adalah sama salah sekali. Untuk berhenti merokok, dapatkan bantuan yang berkesan di klinik-klinik mQuit berdekatan dengan anda. Layari laman sesawang jomquit.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan