Derma Organ Beri Nafas Baru Kepada Pesakit

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Derma organ ialah perkara paling mulia boleh dilakukan oleh seseorang untuk membantu orang lain. Memberikan bahagian daripada tubuh bukanlah satu hal yang mudah dilakukan. Semua organ tersebut tidak dapat dibeli atau dicipta oleh mana-mana teknologi manusia.

Buat masa ini di Malaysia, terdapat kira-kira 21,500 pesakit sedang menunggu untuk pemindahan organ dan 99% daripada mereka menunggu penderma untuk pemindahan ginjal, manakala selebihnya memerlukan pemindahan hati, jantung, dan paru-paru.

Perderma hidup dan kadaverik

Derma organ boleh dilakukan semasa masih hidup atau selepas meninggal dunia (kadaverik). Namun, tidak semua organ mempunyai pilihan tersebut. Antara organ yang boleh didermakan semasa masih hidup ialah hati dan ginjal. Manakala kebanyakan organ lain hanya boleh didermakan selepas meninggal dunia termasuk jantung, paru-paru, mata, tulang, dan pankreas.

Seorang yang mendaftar sebagai penderma organ boleh menyelamatkan sehingga 8 nyawa. Selepas meninggal dunia, organ tersebut akan dipindahkan kepada mereka yang memerlukan.

Derma organ beri nafas baru kepada pesakit

Kesedaran mengenai kepentingan derma organ mungkin masih lagi belum cukup meluas dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, pelajar Fakulti Perubatan Universiti Malaya menganjurkan Jogaton ‘Organs For Love’ pada bulan September yang lalu bagi menyemarakkan kesedaran dan menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sebagai penderma organ.

Acara yang memberikan fokus kepada organ ginjal itu telah disertai oleh 415 orang dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM1,500 untuk Persatuan Transplantasi Malaysia.

Pesakit yang mengalami penyakit ginjal kronik atau CKD terpaksa melalui rawatan dialisis setiap minggu untuk menggantikan fungsi ginjal yang telah rosak. Komitmen yang harus diberikan dengan berulang-alik ke hospital sangat banyak mengganggu kualiti hidup mereka. Cara terbaik bagi merawat keadaan tersebut ialah melalui pemindahan organ ginjal.

Sebahagian daripada mereka menunggu bertahun-tahun sebelum menemui organ yang sesuai untuk mereka dan ada juga yang pergi dahulu sebelum sempat menjalani pemindahan ginjal.

Setiap organ yang didermakan itu ibarat memberikan nafas baru kepada mereka. Mari kita bersama-sama membantu mereka yang memerlukan dengan mendaftarkan diri sebagai penderma organ!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut