Bolehkah Industri Makanan Membantu Rakyat Memilih Makanan yang Lebih Sihat? Kisah Kejayaan Kempen di Denmark

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dengan hampir separuh populasi mengalami berat badan berlebihan atau obes, Malaysia merupakan negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara, bahkan dapatan kajian tahun 2014 dalam jurnal The Lancet mendapati yang tertinggi di keseluruhan Asia. Ini merupakan fakta yang perlu dirisaukan. Apatah lagi obesiti merupakan salah satu faktor risiko kanser sepertimana merokok dan pengambilan alkohol.

Terdapat pelbagai faktor risiko yang menyebabkan obesiti seperti genetik, urbanisasi dan pilihan gaya hidup. Kepesatan urbanisasi, contohnya, menyaksikan pelbagai pilihan restoran makanan segera yang tumbuh dengan pertambahan pusat membeli-belah yang tak terkawal di Lembah Klang.

Bagaimana industri makanan mempengaruhi pilihan makanan masyarakat

Di Malaysia juga, syarikat gergasi makanan tanpa segan-silu mengiklankan produk penuh gula dan tidak berkhasiat sebagai sumber tenaga harian. Bahkan penajaan syarikat-syarikat makanan terhadap kajian Nutrition Society of Malaysia yang memberi kesan kepada pandangan masyarakat tentang makanan bukanlah satu rahsia lagi. Maka tidak hairanlah di saat kesedaran tentang lambakan gula dalam produk makanan komersial kian meningkat, masih ada lagi rakyat Malaysia yang menganggap bijirin manis, yogurt berperisa, minuman susu kultur penuh gula dan minuman malt sebagai makanan sihat.

gula, industri makanan

Apatah lagi sebahagian daripada strategi pemasaran produk makanan tidak berkhasiat yang mengaburi masyarakat tersebut turut melibatkan kajian pakar nutrien. Maka tidak hairanlah, dalam masa 45 tahun, pengambilan gula rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak 33%. Manakala pembelian makanan diproses meningkat 105% dalam masa 5 tahun.

Revolusi pemakanan sihat di Denmark

Sebenarnya kerjasama industri makanan dan institusi kesihatan bukanlah satu kesalahan jika bersifat telus dan mengutamakan kepentingan masyarakat sepertimana yang dilakukan di Denmark. The Danish Whole Grain Partnership merupakan sebuah usaha sama antara kerajaan, badan bukan kerajaan dan industri makanan di Denmark dalam meningkatkan pengambilan bijirin penuh yang seterusnya memberi impak besar kepada kesihatan awam. Tidak seperti menaburkan wang pada pelbagai kempen kesihatan untuk pencegahan diabetes dan obesiti yang sangat sedikit membuahkan hasil, usaha sama ini menyaksikan revolusi pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat Denmark.

Anda mungkin bertanya mengapa fokus kepada bijirin penuh? Bijirin penuh diketahui dapat mencegah diabetes jenis 2 dan obesiti, menurunkan tahap kolesterol, menurunkan tekanan darah selain kaya dengan serat yang membantu pencernaan. Dengan hanya melabel setiap produk makanan tinggi bijirin penuh dengan logo kecil berwarna oren dan mempopularkan logo tersebut dalam media, Denmark berjaya menggalakkan rakyatnya memakan lebih banyak bijirin penuh.

Usaha sama ini juga disambut baik oleh industri makanan di Denmark yang mengalami pengurangan penjualan produk bijirin penuh seperti roti disebabkan trend-trend diet yang mengelakkan karbohidrat. Sebelum pengenalan kempen tersebut, rakyat Denmark makan secara purata hanya 36 gram bijirin penuh sehari. Hari ini, purata pengambilan bijirin penuh mereka adalah sebanyak 63 gram sehari. Bahkan daripada hanya 6%, kini 30% rakyatnya memakan bijirin penuh dengan mencukupi (75 gram sehari) kerana inisiatif logo makanan ini.

Usaha sama ini juga meningkatkan permintaan dan penawaran (supply and demand) kepada bijirin penuh. Logo tersebut memudahkan pengguna untuk mengenal pasti produk bijirin penuh. Lebih daripada 70% populasi Denmark mengenali logo tersebut dan daripada itu, 50% mencari logo tersebut apabila membeli-belah. Permintaan kepada bijirin penuh juga meningkat disebabkan kempen tentang kebaikan produk bijirin penuh.

Kini, industri makanan berlumba-lumba untuk mencipta dan mengeluarkan produk makanan yang menepati kriteria (tinggi bijirin penuh, rendah garam, gula dan lemak) yang ditetapkan kerajaan. Pada tahun 2007, dianggarkan hanya 150 produk mempunyai logo bijirin penuh di Denmark sementara hari ini lebih 800 produk membawa logo tersebut.

Usaha berterusan kerajaan Denmark dalam industri makanan

Selain usaha sama dalam pemasaran bijirin penuh, kerajaan Denmark juga mengadakan usaha sama dengan beberapa pasar raya besar dalam mengubah corak pembelian makanan pengguna. Antara usaha yang dilakukan ialah dengan reformulasi produk, pengeluaran brosur pasar raya yang memberi tawaran untuk produk makanan yang sihat, saiz produk yang lebih kecil dan pengurusan semula ruang rak.

Tanpa kita sedari, banyak keputusan pembelian yang dilakukan sewaktu memilih produk di pasar raya ialah kerana helah pemasaran. Sebagai contoh, dalam deretan pilihan produk, item yang paling mahal selalu diletakkan setaraf dengan pandangan mata. Penyusunan produk, penggunaan lampu dan muzik tertentu dalam pasar raya juga bertujuan menggalakkan pengguna menghabiskan masa lebih lama membeli-belah.

Kerjasama kerajaan Denmark dengan pasar raya besar (seperti mengubah cara susunan dan saiz item) turut menyaksikan impak besar dalam diet masyarakat Danish. Pada tahun 2015, pelanggan di pasar raya Denmark membeli 5% kurang kalori berbanding sebelumnya. Jumlah ini seperti pengurangan sebanyak 3,800 tan mentega dalam diet rakyat Denmark!

Inisiatif-inisiatif ini patut menjadi contoh bagi negara lain bagaimana kerjasama kerajaan dan industri makanan boleh menghasilkan impak yang besar kepada diet orang awam dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases) yang kian membelenggu masyarakat dan negara. Meskipun Malaysia mempunyai sistem kesihatan yang terbaik di dunia, tanpa langkah pencegahan dalam amalan pemakanan masyarakat, segala sumber negara akan banyak disalurkan untuk menangani penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung yang sebenarnya boleh dicegah melalui gaya hidup sihat.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.

Baca Juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut