Bajet 2020: Harapan Untuk Kesihatan Yang Mapan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Menjelang pengumuman Bajet 2020 yang akan berlangsung petang ini, ramai yang ternanti-nanti akan pecahan peruntukan yang bakal diberikan kepada sektor berbeza. Salah satu sektor yang cukup tenat dan memerlukan peruntukan yang lebih adalah sektor kesihatan awam. 

Berat yang tidak terdaya dipikul

Menurut Jabatan Audit Kebangsaan (NAD), Jabatan Trauma dan Kecemasan di hospital kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi dan tidak cukup tenaga kerja. Keadaan ini menyebabkan jabatan tersebut sering sesak dan dibelenggu waktu menunggu yang lama. Kekurangan dana ini juga dapat diterjemahkan kepada ketidakupayaan hospital untuk membeli atau menggantikan peralatan perubatan. Secara tak langsung, ketidakcukupan dana dan tenaga kerja ini menganggu kualiti servis kesihatan yang diberikan kepada pesakit. Tambahan lagi, kekurangan tenaga kerja ini juga menyebabkan beban yang lebih besar terpaksa dipikul oleh bilangan pekerja sedia ada yang sedikit. Ini menyebabkan pekerja sedia ada cenderung untuk mengalami masalah burnout, stres dan masalah mental. 

Harapan peruntukan kesihatan untuk Bajet 2020

Melihat keadaan semasa, terdapat banyak harapan dan impian yang dikongsi oleh orang awam dan juga tenaga kerja sektor kesihatan tentang penambahbaikan yang boleh dilakukan. Berikut merupakan 2 cadangan idea dan harapan rakyat untuk peruntukan kesihatan Bajet 2020:

1.Meningkatkan akses terhadap insurans perubatan melalui subsidi

Walaupun banyak rawatan dan servis yang disediakan oleh hospital kerajaan telah disubsidikan, namun terdapat beberapa aspek rawatan tertentu yang perlu dibiayai sendiri oleh pesakit. Lazimnya, aspek rawatan yang perlu dibayar sendiri ini mempunyai tanda harga yang cukup tinggi khususnya untuk golongan yang mengakses servis hospital kerajaan. Sebagai contoh, kecederaan tulang akibat daripada kemalangan lazimnya memerlukan implan dan juga suntikan pelincir sendi tertentu. Kos implan dan juga suntikan ini bukanlah sesuatu yang diliputi subsidi kerajaan dan ia boleh menelan belanja sekitar RM1,500 hingga RM10,000! Lebih malang lagi jika pembedahan tersebut memerlukan graf tendon daripada kadaver untuk penstrukturan semula bahagian badan. Kos untuk mendapatkan graf kadaver ini dengan mudahnya dapat menelan sekurang-kurangnya RM30,000.

Oleh yang demikian, perlindungan melalui insurans perubatan adalah sangat penting. Golongan yang paling rapuh dan teruk terjejas akibat permasalahan ini adalah belia daripada komuniti B40. Kebanyakan daripada mereka berada dalam tempoh awal pekerjaan dan baru ingin memulakan kehidupan. Dengan gaji permulaan yang rendah, mereka tidak mampu untuk menanggung terlalu banyak komitmen. Walaupun penting, kebanyakan mereka tidak mampu untuk memperuntukkan komitmen bulanan insurans perubatan. Sehubungan itu, subsidi atau penepian (waiver) dalam tempoh awal (sekitar 3 hingga 6 bulan pertama) bayaran bulanan insurans kesihatan dapat membantu mereka untuk mendapatkan perlindungan kesihatan yang penting di samping kestabilan kewangan dalam tempoh awal pekerjaan. 

2.Penambahan bilangan hospital pakar di Sabah dan Sarawak

Inilah impian yang dikongsikan oleh penduduk di Sabah dan Sarawak. Keterhadan hospital pakar kerajaan di negeri-negeri tersebut menyebabkan majoriti penduduk terpaksa bergerak jauh, merentasi daerah berlainan demi mendapatkan rawatan pakar. Sebagai contoh, di Sabah, terdapat hanya satu sahaja hospital pakar wanita dan kanak-kanak iaitu Hospital Likas. Oleh yang demikian, apa-apa kes khas berkaitan masalah kesihatan kanak-kanak dan ibu mengandung di negeri tersebut perlu dirujuk ke Hospital Likas. Bagi mereka yang tinggal berdekatan, ini mungkin bukan satu masalah yang berat tetapi bagi mereka yang datang dari daerah yang berjauhan terpaksa berhijrah jauh demi mendapatkan rawatan berkualiti. 

Negeri Sabah merupakan salah satu negeri terbesar di Malaysia. Malahan, keluasan negeri tersebut adalah lebih besar berbanding gabungan kesemua negeri-negeri pantai timur di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, ia sangat tidak masuk akal untuk negeri kedua terbesar di Malaysia ini untuk mempunyai jumlah hospital pakar yang sangat sedikit. Ibarat ‘antan patah, lesung hilang’, keadaan hospital pakar yang terhad ini juga menjadi lebih teruk apabila fasiliti yang disediakan tidak mampu untuk menampung pengunjung yang terlalu ramai. Situasi lazim yang dihadapi oleh pengunjung Hospital Likas adalah terpaksa menghabiskan masa yang lama demi mendapatkan ruang parkir. Kebanyakan orang juga akan memarkir kenderaan di kawasan laluan pejalan kaki dan juga di atas batas jalan akibat kekurangan kawasan parkir. 

Harapan demi Malaysia yang lebih sihat

Di sebalik harapan dan impian ini, tidak dapat dinafikan bahawa rakyat juga perlu menyumbang dalam sama-sama menambah baik servis kesihatan negara. Dengan peredaran zaman, inflasi menyebabkan harga barang-barang semakin naik termasuk barang-barang perubatan. Namun yang demikian, caj pendaftaran untuk khidmat kesihatan di fasiliti kerajaan masih kekal pada harga yang sama – RM1. Disebabkan ini, kos yang terpaksa diserap oleh kerajaan semakin meningkat dengan setiap pesakit yang dirawat. Saranan penulis, mungkin caj pendaftaran yang dikenakan boleh ditingkatkan selari dengan peredaran zaman. Terdapat beberapa harga baru yang dicadangkan, bermula daripada RM2 hingga RM5. Kajian menyeluruh diperlukan bagi memastikan pengenalan caj baru itu relevan tetapi tidak membebankan rakyat. Kami di Hello Doktor berharap agar bajet yang bakal dibentangkan petang ini menguntungkan semua pihak dan berupaya untuk menjamin akses kesihatan yang lebih menyeluruh untuk semua.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan