Otak Memproses Pemahaman Metafora. Bagaimanakah?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Kajian-kajian terdahulu telah mencadangkan bahawa pemahaman kita terhadap metafora berasal daripada pengalaman tubuh kita. Beberapa MRI atau fMRI, kajian pengimejan otak telah menunjukkan, sebagai contoh, apabila anda mendengar metafora seperti “dia mengalami hari yang kasar ,” kawasan otak yang berkaitan dengan pengalaman sentuhan diaktifkan. Jika anda mendengar ayat seperti, “dia sangat manis,” kawasan yang dikaitkan dengan deria rasa diaktifkan. Apabila anda mendengar kata kerja tindakan yang digunakan dalam konteks metafora, seperti “menggenggam kejayaan,” kawasan yang terlibat dalam persepsi motor dan perancangan diaktifkan.

Satu kajian oleh seorang penyelidik daripada University of Arizona, Vicky Lai serta rakan penyelidiknya yang diterbitkan dalam jurnal Brain Research bertajuk ‘Concrete Processing of Action Metaphors: Evidence from ERP’, telah melakukan kajian ini dengan tujuan ingin melihat pada waktu bilakah, kawasan otak yang berbeza diaktifkan dalam pemahaman metafora dan apa yang memberitahu kita mengenai cara kita memahami bahasa.

Lai yang merupakan pensyarah psikologi dan sains kognitif selain pengarah Cognitive Neuroscience of Language Laboratory di Jabatan Psikologi menyatakan, manusia menggunakan metafora sepanjang masa; dan ianya sudah begitu lama wujud dalam bahasa kita sehinggakan kita sering tidak menyedari bahawa kita menggunakannya. Malah, penyelidik mendapati bahawa secara purata, manusia menggunakan metafora bagi setiap 20 perkataan.

Para peserta kajian ditunjukkan dengan tiga ayat yang berlainan pada skrin komputer, masing-masing menyampaikan satu perkataan pada satu masa. Satu ayat menggambarkan tindakan konkrit, seperti, “The bodyguard bent the rod.” Satu ayat lagi adalah metafora yang menggunakan kata kerja yang sama: “The church bent the rules.” Dalam ayat ketiga, kata kerja digantikan dengan perkataan yang lebih abstrak yang menyampaikan makna yang sama seperti metafora: “The church altered the rules.”

Apabila peserta melihat perkataan “bent” yang digunakan dalam konteks literal dan metafora, tindak balas yang sama ditimbulkan di dalam otak, dengan bahagian motor deria diaktifkan dengan kadar segera – dalam 200 milisaat – kata kerja yang ditunjukkan pada skrin. Respon tersebut berbeza apabila perkataan “bent” digantikan dengan perkataan “altered.”

Kajian tersebut telah meluaskan pemahaman tentang bagaimana manusia memahami bahasa dan akan membantu secara asasnya dengan beberapa persoalan lain yang sedang dikaji oleh makmal kajian tersebut, seperti: Bolehkah bahasa metafora digunakan untuk meningkatkan mood manusia? Apakah peranan bahasa yang boleh dimainkan dalam penuaan sihat? Dan, bolehkah metafora membantu dalam pembelajaran konsep abstrak? Lai juga telah membentangkan kajian berterusan mengenai penggunaan metafora dalam membantu pengajaran, pembelajaran dan pengekalan konsep sains di mesyuarat tahunan Cognitive Neuroscience Society di San Francisco.

Lai juga berkata bahawa, dengan memahami bagaimana otak mendekati kerumitan bahasa membolehkan kita mula menguji bagaimana bahasa yang kompleks memberi kesan kepada aspek-aspek kognisi lain.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: April 4, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut