Bagaimana Makanan Lembut Mengubah Sejarah Bahasa

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sekiranya anda boleh menyebut perkataan seperti ‘Firaun’, ‘Fakir’ atau ‘Violin’, anda perlu berterima kasih kepada moyang purba kita yang telah memilih budaya agrikultur dan juga pemprosesan makanan pada permulaan zaman Neolitik yang akhirnya, menghasilkan makanan yang lebih lembut. Huruf konsonan ‘F’ dan ‘V’ dikenali sebagai konsonan ‘labiodental’ (labio=bibir, dental=gigi) kerana sebutannya memerlukan sentuhan antara gigi atas dan juga bibir bawah. Kemahiran untuk menyebut huruf labiodental ini mungkin tidak selazim sekarang sekiranya kita kekal dengan gaya diet manusia sebelum zaman Neolitik dan bukannya makanan lembut.

Ini adalah teori yang diketengahkan oleh seorang Ahli Lingustik Amerika bernama Charles Hockett pada tahun 1985 yang mendapati bahawa cara manusia purba pemburu-pengumpul (hunter-gatherer) menggunakan gigi dan susunan gigi mereka menyebabkan sebutan huruf konsonan ‘F’ dan ‘V’ ini sukar, membawa kepada cadangan bahawa ianya adalah keupayaan yang secara relatifnya baru dan bermula apabila diet manusia awal terdiri daripada makanan yang lebih lembut.

Menurutnya, mengunyah makanan yang keras dan tebal dengan serat meletakkan tekanan kepada bahagian tulang rahang yang sedang membesar dan menghakis gigi-gigi molar di bahagian belakang mulut. Diet sebegini menyebabkan tindak balas atau adaptasi di mana bahagian rahang menjadi lebih besar dan gigi-gigi molar padanya, tumbuh lebih jauh dan lebih ke hadapan. Adaptasi ini menyebabkan bahagian gigi atas dan bawah selari apabila dirapatkan, menghasilkan gigitan bucu ke bucu (edge to edge bite). Cuba anda tutup mulut anda, adakah gigi anda secara semula jadinya selari? Tentu tidak bukan? Kerana rata-rata kita mempunyai susunan gigi bersifat overbite dan overjet.

Gigitan bucu ke bucu ini menyebabkan bahagian atas rahang lebih sukar untuk ditolak ke depan bagi menyentuh bahagian bibir, sejenis pergerakan penting yang perlu berlaku untuk menyebut huruf ‘F’ dan ‘V’ atau perkataan yang bermula dengan konsonan labiodental tersebut. Dengan evolusi diet yang lebih lembut, tekanan yang kuat pada rahang sebelum ini beransur-ansur berkurang. Adaptasi yang berlaku adalah terbalik berbanding yang sebelum ini di mana tulang rahang menjadi lebih kecil dan gigi atas hadapan (central incisors) berada lebih hadapan dan dekat dengan bibir bawah.

Enam pengkaji lingustik daripada German, Switzerland, Singapura, Perancis, Rusia, Amerika dan Belanda, memilih untuk menguji teori yang telah dilontarkan Hockett ini dan telah menerbitkan penemuan mereka pada 15 Mac yang lepas dalam jurnal Science. Ringkasan dapatan mereka adalah seperti berikut:

  • Simulasi model biomekanik mendapati bahawa usaha yang diperlukan otot untuk menyebut konsonan labiodental dalam susunan overbite dan overjet adalah 30% lagi kurang berbanding dalam konfigurasi bucu ke bucu. Ini memudahkan lagi sebutan mereka dan meningkatkan kecenderungan untuk manusia terdahulu untuk tidak sengaja, menyebut konsonan labiodental.
  • Mereka kemudiannya menelaah sejarah bahasa-bahasa dunia dan menemui bahawa bahasa awal dan bahasa manusia purba yang berteraskan pemburuan dan pengumpulan makanan mempunyai hanya satu per empat sahaja perkataan labiodental berbanding bahasa masyarakat yang berteraskan pertanian dan agrikultur yang memakan makanan lembut.
  • Akhir sekali, mereka mengkaji hubung kait antara bahasa-bahasa dunia dan mendapati bahawa perkataan labiodental merebak dengan begitu cepat sehinggakan penggunaannya menjadi lazim dalam masa hanya 8000 tahun sahaja selepas bermulanya anjakan kepada budaya agrikultur dan juga kaedah pemprosesan makanan seperti mengisar bijirin menjadi gandum.

Kehadiran konsonan labiodental ini telah membawa kepada percambahan perkataan dan kekayaan lingusitk pelabagai bahasa di Eropah dan Asia sekurang-kurangnya 4000 tahun yang lepas sehinggakan ianya membawa kepada penggantian patēdaripada rumpun bahasa Proto-Indo-Eropah, kepada faeder dalam bahasa Inggeris lama sekitar 1500 tahun yang lalu. Hari ini, konsonan ini merebak kepada pelbagai kumpulan bahasa dan muncul dalam lebih 76% daripada bahasa-bahasa Indo-Eropah.

Bagaimana ianya boleh merebak dengan begitu pantas? Terdapat beberapa teori antaranya ialah keupayaan untuk menggunakan perkataan labiodental dikaitkan dengan status dalam masyarakat yang lebih tinggi. Ini kerana dalam tamadun Rom dan India purba, keupayaan ini dianggap sejenis tanda status dalam masyarakat yang lebih kaya kerana diet mereka yang lebih lembut.

Ahli Lingusitik daripada Universiti Kebangsaan Australia, Canberra menyifatkan pendekatan kajian ini yang menggunakan multi-kaedah dalam mengukuhkan penjelasan mereka, sebagai meyakinkan. Walaupun tidak beberapa pasti sama ada kaitan yang jitu dibuat untuk konsonan labiodental, Ian Maddieson, seorang Emeritus dalam bidang Lingustik bersetuju bahawa faktor luaran seperti diet memainkan peranan dalam mempengaruhi sebutan dan bahasa.

Namun yang demikian, dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa keupayaan ini datang dengan sebuah harga – penyakit-penyakit berkaitan pengecilan rahang. Menurut Steven Moran, salah seorang pengkaji, “rahang manusia bertambah kecil dan kita berdepan dengan masalah seperti gigi geraham bongsu berimpak (impacted wisdom tooth), sesakan gigi (crowding) dan juga kecenderungan untuk mendapat karies gigi yang lebih banyak.”

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut