backup og meta

Cirit-Birit Selepas Makan Makanan PEDAS? Ini Sebabnya Yang Perlu Anda Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 26/10/2021

    Cirit-Birit Selepas Makan Makanan PEDAS? Ini Sebabnya Yang Perlu Anda Tahu

    Siapa yang tidak pernah mencuba makan ayam goreng pedas keluaran sebuah syarikat makanan segera satu ketika dahulu? Tetapi tahukah anda kesan pengambilannya kepada sistem penghadaman? Ini penjelasannya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

    Kegilaan makan ayam goreng

    Ketika pelancaran ayam goreng baru daripada McDonald’s dahulu, ramai yang telah menyerbu kedai makanan segera tersebut bagi merasai sendiri keenakan ayam goreng yang disaluti kepedasan tiga kali ganda berbanding edisi biasa.

    Ada yang mungkin ingin makan ayam goreng pedas ini kerana minat semula jadi terhadap makanan-makanan pedas; ada juga yang inginkan menyahut cabaran daripada kawan-kawan.

    Apa jua tujuan anda dalam mendapatkan hidangan tersebut, yang pastinya sebilangan besar daripada mereka yang telah mencuba ayam goreng tersebut, mengalami gejala cirit-birit tidak lama selepas itu.

    Rasa cirit birit ini juga diikuti oleh rasa pedih seakan terbakar di bahagian pembukaan dubur mereka. Apa yang sedang berlaku?

    makan ayam goreng

    Makan ayam goreng pedas: Bahan yang terdapat di dalamnya

    Untuk memahami bagaimana gejala cirit-birit dan ketidakselesaan abdomen boleh berlaku dengan pengambilan makanan pedas, anda perlu memahami terlebih dahulu apa yang menyebabkan suatu hidangan yang dicampur dengan cili atau lada itu mempunyai rasa yang pedas.

    Bahan yang terdapat dalam cili atau lada yang bertanggungjawab untuk menghasilkan rasa ‘hot and spicy’ ini adalah capsaicin.  Apabila diambil, ia akan melekat kepada reseptor TRPV1.

    Dalam keadaan biasa, reseptor ini akan diaktifkan apabila terjadinya kecederaan sel dan juga haba yang panas. Reseptor ini kemudiannya akan menghantar isyarat sakit bercampur rasa panas kepada sistem saraf.

    Namun yang demikian, Capsaicin juga berupaya untuk mengaktifkan reseptor ini, menghasilkan gabungan isyarat haba dan sakit. 

    Selain capsaicin, terdapat juga beberapa kompaun semula jadi dalam tumbuh-tumbuhan yang lain yang berupaya untuk memberikan rasa pedas dan panas yang sama. Antaranya adalah piperine dalam lada hitam, gingerol dalam akar halia dan juga kompaun allyl isothiocyanate dalam lobak kuda. 

    Makan ayam goreng pedas: Mengukur tahap kepedasan

    Satu skala ukuran digunakan untuk mengukur rasa pedas pada cili dan lada iaitu skala Scoville. Skala Scoville telah direka oleh seorang ahli farmasi dari Amerika Syarikat dan ia berfungsi dengan cara mengukur kepekatan kompaun capsaicinoid.

    Cara kepekatan kompaun ini diukur dalam sesuatu bahan adalah dengan menggunakan High Performance Liquid Chromatography (HPLC). Unit yang diguna pakai untuk skala ini adalah Scoville Heat Unit (SHU).

    Untuk melihat perbezaan antara SHU lada yang berbeza, berikut merupakan SHU untuk tumbuh-tumbuhan tertentu:

    • 0 – 100 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada kembung dan Pimento.

    • 100 – 1000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada pisang (banana pepper) dan juga Cubanelle.

    makan ayam goreng

    • 1000 – 10,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada Guajillo dan juga Jalapeno.

    • 10,000 – 100,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada Malagueta dan juga lada Cayenne.

    • 100,000 – 350,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah Habanero dan juga lada Scotch Bonnet.

    • 350,000 – 800,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah Savina merah (Red savina) dan juga chocolate habanero.

    • 800,000 – 3,200,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah Carolina reaper, Pepper X dan juga lada Dragon’s breath.

    Baca juga:

    Bagaimana makanan pedas mengganggu sistem penghadaman?

    Jika anda pernah makan ayam goreng pedas tersebut atau mana-mana makanan pedas, mungkin anda pernah terfikir mengapa makanan yang memberikan rasa hangat dan pedas ketika masuk ke dalam mulut anda, turut menghasilkan sensasi yang sama apabila ianya keluar?

    Jawapannya adalah kerana reseptor yang sama yang terdapat pada bahagian dalaman mulut anda (TRPV1), juga terdapat pada bahagian-bahagian badan yang lain, khususnya sepanjang sistem gastrousus anda termasuklah bahagian dubur.

    Capsaicin yang ada dalam makanan anda boleh mengaktifkan reseptor-reseptor TRPV1 yang terdapat di sepanjang laluan gastrousus anda. Pengaktifan inilah yang menyebabkan anda rasa tidak selesa, sakit perut dan juga mengalami gangguan dari segi penghadaman makanan. 

    Memandangkan badan anda mentafsir kepedasan itu sebagai sesuatu yang panas, badan anda akan cuba untuk menstabilkan keadaan dengan melakukan tindakan penyejukan.

    Ini termasuklah kesan seperti penghasilan peluh, lendiran tambahan pada bahagian hidung dan darah lebih banyak bergerak ke muka sehingga menjadi merah.

    Tidak berakhir di situ, usus anda juga akan bertindak untuk cuba menyejukkan makanan yang melaluinya dengan cara merembeskan lebih banyak air. Oleh sebab itu, najis anda akan menjadi lebih cair dan seseorang itu cenderung untuk mengalami cirit-birit.

    makan ayam goreng

    Tambahan lagi, apabila anda makan ayam goreng pedas atau cili (lada), bahan aktif capsaicin tidak dihancurkan atau dihadam sepenuhnya sepanjang melalui sistem gastrousus anda. Ini membolehkannya untuk menghasilkan rasa panas dan terbakar yang sama di sekitar kawasan dubur anda selepas anda membuang air besar. 

    Sebagai konklusi, seperti makanan-makanan lain di dalam dunia ini, makanan pedas perlu diambil dalam kadar yang bersesuaian dan bukannya dalam kuantiti yang banyak supaya tidak mendatangkan mudarat.

    Dengan pengambilan yang betul, makanan pedas yang mengandungi cili atau lada sebenarnya boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan hasil daripada kandungan antikoksidan yang terdapat di dalamnya. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 26/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan