Sokongan Untuk Penghidap Artritis Psoriatik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Perkara rutin seperti memberus gigi dan mengancing zip pakaian boleh dilakukan dengan bersahaja oleh majoriti individu. Namun yang demikian, perkara-perkara tersebut memerlukan daya dan usaha yang lebih untuk penghidap penyakit artritis psoriatik (PsA). 

Latar belakang penyakit artritis psoriatik di Malaysia

PsA adalah sejenis penyakit autoimun kronik yang dihidapi oleh segelintir pesakit psoriasis. Psoriasis pula adalah sejenis penyakit kulit autoimun yang kronik dan dicirikan oleh pembentukan tompok tebal yang diliputi sisik. Kedua-dua keadaan autoimun ini boleh menyebabkan serangan akut atau kemarakan tanpa diduga, diikuti oleh tempoh kebah atau remisi. 

Di Malaysia, terdapat sekitar 500,000 hingga 800,000 orang penghidap penyakit kulit Psoriasis. Daripada jumlah ini, 15 hingga 20% daripada mereka akan menghidap PsA. PsA boleh terjadi pada bila-bila masa tetapi untuk kebanyakan penghidap, ia bermula dalam lingkungan usia 30 hingga 50 tahun. Memandangkan faktor genetik memainkan peranan dalam keterjadiannya, sekitar 40% penghidap PsA mempunyai sejarah keluarga untuk PsA ataupun psoriasis.

Simptom dan tanda-tanda PsA

Setiap pesakit boleh menunjukkan simptom dan tanda yang berbeza ketika mula didiagnosis. Antara tanda dan simptom lazim untuk artritis psoriatik adalah:

  1. Sakit bahagian bawah belakang
  2. Kerap rasa letih 
  3. Rasa sakit, bengkak dan kaku pada satu atau lebih sendi badan
  4. Mata menjadi merah dan sakit (uveitis)
  5. Perubahan kuku seperti kuku terpisah dari dasar atau permukaannya menggerutu
  6. Rasa sakit, bengkak dan nyeri pada bahagian tendon atau ligamen berdekatan tulang (enthesitis)

Jika dibiarkan, keradangan yang berlaku dalam PsA boleh menyebabkan penghakisan sendi dan mengehadkan jurang dan kebolehan pergerakan sendi-sendi badan. Keterhadan dalam pergerakan badan boleh menyebabkan gangguan yang signifikan terhadap kualiti kehidupan pesakit.

Kesedaran terhadap kesan penyakit PsA

Bukan hanya gangguan sendi dan badan, derita penyakit ini turut berupaya untuk menyebabkan gangguan emosi. Keterhadan fungsi badan dan keupayaan untuk berdikari boleh mengakibatkan kekecewaan diri dan menjejaskan kesihatan mental penghidap. Berdasarkan kajian, penghidap PsA lebih cenderung untuk mengalami kemurungan dan keresahan berbanding mereka yang hanya menghidap psoriasis. 

[Dari kiri] Professor Madya Dr Sargunan Sockalingam, Pakar Perunding Reumatologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, dan  Sofia Lovi Ramasamy, Miss Amazing Malaysia 2019 merangkap penghidap penyakit artritis psoriatik. 
Dalam usaha untuk menyeru lebih ramai pihak untuk cakna tentang penyakit artritis psoriatik, Novartis telah menganjurkan bengkel bersama jurnalis dan pihak media yang bertajuk ‘Fahami dan Tangani Artritis Psoriatik’. Bengkel tersebut bertujuan untuk menyebarkan maklumat tentang penyakit ini dengan lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia. Bertempat di The Gardens Hotel, Kuala Lumpur, pada 8 Oktober 2019, bengkel tersebut dihadiri oleh Pakar Perunding Reumatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Sargunan Sockalingam, dan juga Miss Amazing Malaysia 2019 merangkap penghidap penyakit artritis psoriatik, Sofia Lovi Ramasamy. 

Menurut Prof. Dr. Sargunan Sockalingam, tidak ada sebarang rawatan yang bertujuan untuk menyembuhkan penyakit ini. Sebaliknya, rawatan sedia ada bertujuan untuk mengawal simptom dan mencegah komplikasi yang tidak diingini. Tanpa kawalan simptom, kerosakkan kekal bahagian sendi badan (Arthritis multilans) boleh berlaku yang akhirnya mampu untuk menyebabkan ketidakupayaan. 

Jika anda menghidap psoriasis atau mengenali seseorang yang mempunyai penyakit ini, pastikan anda sedar akan tanda-tanda dan simptom PsA agar diagnosis awal dapat dibuat dan rawatan segera dapat diberikan. Pesakit PsA terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran dalam kehidupan mereka walaupun untuk perkara-perkara rutin dan asas. Untuk itu, pihak awam khususnya penggubal polisi dan majikan perlu lebih cakna tentang penyakit ini agar pesakit PsA tidak dipinggirkan. Dengan kesedaran yang kuat, beban pesakit PsA dapat diringankan dan keupayaan mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam sektor pekerjaan dan sosial. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut