backup og meta

Apakah Kebaikan Bulan Sukan Negara?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/12/2019

    Apakah Kebaikan Bulan Sukan Negara?   

    Pada 19 September lalu, telah tular mengenai logo Bulan Sukan Negara (BSN) yang dikongsi di akaun Facebook rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dikatakan menyerupai bentuk hidung seekor haiwan iaitu babi.

    Rata-rata warganet mengecam reka bentuk logo tersebut kerana merasakan ia tidak bersesuaian dan tidak sensitif dengan rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Kebanyakan daripada mereka meminta agar logo tersebut ditukar atau diperbaiki untuk mengelakkan sebarang fitnah. Malahan ada pendapat yang merasakan logo tersebut terlalu ‘simple’ dan seperti logo individu yang malas berfikir.

    Bukan sekadar logo

    Walau bagaimanapun, menerusi keterangan yang dikeluarkan di Facebook KBS menyatakan logo BSN bukan sekadar akronim huruf, tetapi ia terdiri daripada bentuk organik yang mewakili suasana yang mesra dan santai dalam sukan.

    Rekaan bentuk tepi bulat dan tajam mewakili kuasa, kestabilan dan profesionalisme. Manakala pemilihan warna logo biru, merah kuning adalah untuk menyerupai warna bendera Malaysia, Jalur Gemilang.

    Jadi itu adalah penjelasan untuk menjawab kecaman warganet mengenai pemilihan logo tersebut. Tapi ‘korang’ kecoh-kecoh pasal logo tu, sebenarnya faham ke tidak apa ‘benda’ BSN ni? Haa..kalau nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca perkongsian artikel ini.

    Apa sebenarnya Bulan Sukan Negara?

    Bulan Sukan Negara atau lebih mudah dipanggil BSN ini merupakan satu acara kesukanan yang menekankan beberapa objektif tertentu. Antara objektifnya adalah seperti:

    • Untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat
    • Memupuk semangat sukan
    • Membangunkan ekonomi negara
    • Meningkatkan pengetahuan sukan
    • Pengiktirafan kepada rakyat

    Terdapat kumpulan sasaran bagi acara BSN iaitu keluarga dan kanak-kanak, wanita, belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Manakala lokasi sasaran bagi acara BSN ini adalah kepada kawasan luar, pusat kesihatan, institut pengajian, pusat kecergasan, tempat kerja serta kawasan perumahan. 

    Beberapa aktiviti yang dirancang sepanjang berlangsungnya BSN ini adalah seperti acara olahraga dan padang, senaman di luar kelas bersama kanak-kanak, senamrobik, permainan tradisional dan pelbagai lagi.

    Jadikan amalan harian

    Mesti terlintas di fikiran anda, apakah tujuan penganjuran acara sebegini diadakan? Senang cerita, ia adalah untuk menggalakkan kita semua untuk bersenam serta aktif dan menjadikan sukan sebagai amalan harian dalam hidup. 

    Malahan sebenarnya bersukan ataupun melakukan aktiviti bersenam adalah amalan penting dan digalakkan dalam menjalani kehidupan yang sihat. Badan manusia sendiri diciptakan untuk menjadi aktif. Badan yang tidak aktif hanya akan membawa kesan yang buruk seperti:

    • Bertambah kolesterol dan lemak di dalam badan, boleh menjadi punca kepada obesiti dan pertambahan berat badan
    • Otot menjadi lemah, punca kepada kelesuan dan keletihan
    • Salur darah menjadi sempit dan tersumbat, boleh mengakibatkan strok atau sebarang penyakit berkaitan jantung
    • Emosi dan mood terganggu

    Sememangnya bersukan seperti beriadah dan melakukan aktiviti fizikal adalah amat baik untuk kesihatan anda. Tidak perlu menunggu sehingga ketibaan BSN pada bulan Oktober ini. Mulakan bersenam sekarang!

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan