Sila Ambil Perhatian, Albino Bukan Satu Perkara Jenaka!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pada 28 Oktober 2019, program Malaysia Hari Ini di TV3 telah mempertemukan dua individu yang telah bertembung di Twitter sebelum ini. Saudara Shazwan Zafran sebelum ini telah membuat satu lawak (which is memang tak lawak), berkenaan individu albino dan membuat tag pada Twitter milik Azfar Firdaus. Lawak tersebut adalah mengenai satu artikel yang dikeluarkan oleh Astro Awani berkenaan individu albino yang dibunuh di Tanzania untuk tujuan ritual sihir. Shazwan telah membuat satu tag terhadap akaun Azfar sambil membuat komen agar Azfar menjadi mangsa seterusnya. Untuk pengetahuan semua, Azfar adalah seorang albino.

Bagi mereka yang tidak mengetahui berkenaan albinisme atau individu albino ini, berikut adalah 5 fakta yang perlu anda tahu sebelum anda mula membuat sebarang lawak yang tidak bertimbang rasa berkenaan albino. 

#1. Masalah penglihatan

Bagi mereka yang tidak pernah tahu berkenaan albino, individu albino mempunyai masalah berkaitan penglihatan. Mereka juga mungkin mempunyai sensitiviti terhadap cahaya, buta, pergerakan mata yang cepat dan astigmatisme (kecacatan pada bahagian mata atau lensa mata). Disebabkan itu, mereka perlu memakai cermin mata untuk melindungi mata mereka.

#2. Masalah kulit

Anda pasti sedar bahawa mereka yang albino memiliki kulit yang berwarna sangat putih atau dengan tona merah jambu cerah. Ini disebabkan oleh tahap melanin yang rendah pada kulit mereka. Apabila melanin kurang pada kulit, bermakna mereka mendapat kurang perlindungan daripada sinaran matahari. Ini menyebabkan mereka menjadi sangat sensitif terhadap cahaya matahari dan boleh menyebabkan kanser kulit. Kadar kanser kulit adalah sangat tinggi dalam kalangan mereka yang albino.

#3. Faktor risiko

Albinisme adalah sejenis keadaan yang diwariskan. Sekiranya ibu dan bapa memiliki gen albino, anak yang dilahirkan mempunya risiko sebanyak ¼ untuk menjadi seorang albino. Sekiranya hanya salah seorang daripada ibu bapa mempunyai gen tersebut, anak mereka akan mempunyai albinisme, tetapi ia tidak akan ditunjukkan secara jelas melalui warna kulit. 

#4. Diagnosis

Albinisme dikesan atau didiagnosis melalui ujian genetik yang bertujuan mengenal pasti gen penyebab terjadinya albinisme. Selain itu, terdapat cara lain yang turut digunakan untuk menguji dan mengesan albinisme iaitu melalui electroretinogram. Ia adalah sejenis ujian yang akan dilakukan oleh doktor mata untuk mencari sel yang sensitif terhadap cahaya dalam mata.

#5. Rawatan

Untuk pengetahuan pembaca, albinisme ini tidak mempunyai penawar atau penyembuh. Walau bagaimanapun, masih terdapat cara untuk meminimumkan masalah yang sering dialami oleh individu penghidap albinisme. Doktor akan mencadangkan penggunaan cermin mata dengan perlindungan UV yang paling tinggi. Selain itu, mereka juga memerlukan jenis pakaian yang melindungi mereka daripada sinar UV matahari. 

Bagi mereka diluar sana yang masih gemar membuat lawak berkenaan rupa fizikal seseorang individu lain, penulis hanya ingin menyatakan bahawa minda anda masih kebudak-budakan dan tidak berkembang walaupun sudah berusia 30 tahun. Akal dan pemikiran yang cetek dan rendah menjadi punca mengapa sesetengah daripada kita amat gemar membuat lawak-lawak bodoh berkenaan fizikal seseorang. Lawak terhadap albino juga merupakan satu ukuran bahawa kita masih mempunyai kecenderungan untuk membuat lawak terhadap mereka yang obes, mengalami kecacatan fizikal atau mengalami gangguan mental. Hanya mereka yang mempunyai jiwa yang sakit akan membuat lawak yang sebenarnya tidak lawak. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut