10 Tanda Jodoh Anda & Si Dia Kuat (Bahagian 2)

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Kunci kepada kejayaan hubungan adalah sikap memahami antara satu sama lain. Permasalahan tidak semestinya bermaksud hubungan tersebut sia-sia, ia merupakan proses mengenali ritma pemikiran masing-masing. Jika anda dan pasangan ingin mengetahui tip-tip selain daripada apa yang telah disenaraikan di dalam artikel bahagian 1, teruskan membaca.

1. Jadi pendengar yang baik

Kedua-dua pasangan perlu memberi peluang kepada satu sama lain untuk meluahkan isi hati tanpa ada interupsi atau satu pihak cuba memperbaiki. Fahami kehendak emosi pasangan anda. Kadangkala, bukan penyelesaian yang dicari, cuma sokongan yang dikehendaki. Jangan gunakan telefon pintar semasa sesi luahan perasaan. Letakkan ia sebentar dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada pasangan anda. Jika masa itu emas, bukankah masa adalah perkara terbaik yang boleh anda berikan kepada pasangan bagi menunjukkan yang anda benar-benar prihatin?

2. Kongsi matlamat hidup yang sama

Seperti aspek lain dalam kehidupan, jika anda dan pasangan mempunyai hala tuju yang sama, ia akan menjadi lebih mudah. Banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti matlamat kewangan, keinginan untuk mendapatkan anak dan pendapat berkenaan dengan poligami. Perbincangan awal dapat mengelakkan konflik major kelak. Jika anda mempunyai keinginan untuk mendapatkan 3 orang anak dan pasangan anda tidak, jangan hanya mendiamkan diri. Ia tidak adil untuk anda mahupun pasangan anda. Berbincanglah dengan baik dan cuba dapatkan kata sepakat.

3. Uruskan salah faham dengan matang

Kebanyakan pasangan mempunyai konflik. Namun ia tidak bermakna hubungan tersebut patut ditamatkan. Kawal emosi anda dan uruskan salah faham atau permasalahan tersebut dengan baik. Jangan gunakan kata-kata kesat, jangan mengungkit kesalahan silam dan jangan sesekali membuat ugutan untuk berpisah. Anda tidak sepatutnya mencari kelebihan yang ada bagi mendominasi pertelingkahan yang sedang berlaku. Sebaliknya, kawal diri anda dan cuba untuk berbincang dengan rasional. Kebolehan anda untuk mengawal diri sewaktu pertengkaran tersebut menunjukkan tahap kematangan anda. Bak kata pepatah Inggeris “If you fight, you fight fair”.

4. Cuba benda baru

Bukan senang nak kekalkan hubungan intim, terutamanya jika anda sudah bersama dengan teman anda untuk tempoh masa yang lama. Kadangkala, sesuatu perlu dilakukan bagi merasai kehangatan dan keintiman hubungan. Semakin lama hubungan anda, semakin mencabarlah buat anda untuk mengekalkan suasana “seperti baru semalam kenal”. Cuba hobi baru, pergi bercuti ke tempat baru dan buat perancangan dengan rakan-rakan anda. Perkara sebegini dapat menghangatkan hubungan dan hubungan anda berpotensi untuk pergi lebih jauh. 

5. Menyemarakkan suasana di dalam bilik tidur

Buat pasangan yang telah berkahwin, kenal pasti perkara yang boleh menyemarakkan keadaan di bilik tidur anda. Ini termasuk merealisasikan imaginasi teman hidup anda dan mencuba teknik hubungan kelamin yang baru. Berbincanglah bersama pasangan dan pastikan perkara tersebut tidak membuatkan mana-mana pihak tidak selesa. Kadangkala sesuatu yang baru boleh menghangatkan suasana yang kian pudar. Tidak salah mencuba namun ketahui batasnya.  

Konklusi

Bukan mudah untuk kita mengekalkan sesuatu hubungan untuk jangka masa yang lama, apatah lagi seumur hidup. Namun, ia tidak mustahil. Jika anda boleh menyesuaikan rentak dengan pasangan anda, keintiman hubungan tersebut tidak akan pudar. Ia akan meningkat bersama dengan usia. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut