10 Tanda Jodoh Anda & Si Dia Kuat (Bahagian 1)

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Fasa “berbulan madu” kebiasaannya tampak indah. Ia merupakan permulaan kepada pasangan kekasih dalam usaha untuk mencari rentak dan menyesuaikan ritma agar berkekalan ke akhir hayat. Namun begitu, ramai individu yang sering terpedaya dengan ilusi kejayaan pada fasa permulaan. Fasa seterusnya merupakan saat yang penting dan ia dikaitkan dengan kejayaan hubungan untuk kekal buat tempoh masa yang lama. 

Berikut merupakan 10 tip yang diberikan oleh pakar terapi hubungan, Jon Paul Bird, berkenaan dengan tanda-tanda pada 6 bulan pertama untuk mengetahui jika hubungan anda akan kekal lama. Teruskan membaca untuk mengetahui berkenaan dengannya.    

1. Selesa bersama dengannya.

Menurut pakar psikologi, Shannon Chavez, hubungan di antara dua individu akan kekal lama jika mereka selesa menunjukkan personaliti asal masing-masing. Tidak perlu berlakon, tidak perlu menyorokkan kelemahan dan tidak perlu merahsiakan kisah silam. Tiada manusia yang sempurna dan tiada yang terlepas daripada membuat kesilapan. Apa yang penting, kedua-duanya perlu belajar daripada kesilapan masing-masing dan berikan yang terbaik untuk pasangan. Berikan teguran, luahkan ketidakpuasan hati dan terima kelemahan pasangan sebagaimana anda menghargai kelebihan mereka.

Menurut Jon, jika anda boleh memberikan sokongan penuh kepada pasangan anda terhadap perkara di atas, itu merupakan tanda yang sangat bagus.

2. Tampilkan diri anda. 

Berikan komitmen kepada perancangan masing-masing. Cuba sehabis baik untuk menunaikan janji-janji dan jika ada kekhilafan, mohon maaf dan perbaiki diri. Anda akan banyak bergantung di antara satu sama lain untuk menyelesaikan masalah kecil atau besar. Jadilah individu yang boleh dipercayai dan boleh diharap. Sikap ini menunjukkan kematangan tingkah laku dan pemikiran untuk mengekalkan hubungan dalam jangka masa panjang. Lambat laun, kepercayaan di antara satu sama lain akan terbina dan anda akan berasa selesa serta selamat. Hubungan anda, seperti negara Rom, tidak akan berdiri teguh dalam masa satu hari. Ia merupakan hasil pengumpulan usaha yang sedikit, lama-lama menjadi bukit.

3. Tiada apa perlu dirahsiakan.

Buka minda anda! Perlahan-lahan kongsikan bebanan emosi dan rahsia yang sekian lama telah menyeksa jiwa. Tidak kiralah, apa jua masalah sekalipun, hutang yang bertimbun atau anda mempunyai masalah mental, berterus-teranglah dengan pasangan. Jika tidak, ia boleh memakan diri. Bukannya senang nak berkongsi sejarah silam, ia memerlukan keberanian dan kekuatan minda untuk menghadapi kritikan dan menerima nasihat. Anda bersama pasangan akan menghadapi rintangan hidup bersama, jadi luangkan sedikit masa untuk mengenali pasangan. Dengar dan berikan perhatian sepenuhnya.

4. Raikan kejayaan masing-masing.

Banyak pasangan yang berjaya memperakui kepentingan untuk tidak merasa tergugat dengan kejayaan masing-masing. Anda berada dalam situasi “menang-menang”. Kejayaan tersebut perlu diraikan. Tunjukkan kepada pasangan bahawa anda menghargai setiap titik dan peluh mereka dan anda berbangga dengan kejayaan tersebut. Menurut John, salah satu punca yang menjadi duri di dalam hubungan pasangan adalah sikap mudah cemburu terhadap kejayaan pasangan. Usah layani perasaan tersebut! Bawa mereka ke restoran, bawa mereka pergi bercuti atau berikan hadiah kepada mereka. Tunjukkan bahawa ucapan tahniah anda bukan sekadar ucapan tetapi sebagai inspirasi buat mereka.

5. Mohon maaf jika ada buat silap

Jangan cuma mengharapkan pasangan untuk menerima setiap sikap buruk anda sahaja. Cuba untuk berubah ke arah yang lebih baik. Jika anda ada terbuat silap, usah beri alasan yang berjela-jela atau menyalahkan pihak lain. Mohon maaf dan cuba perbaiki diri anda. Tiada manusia yang terlepas daripada kesilapan. Apa yang sukar untuk diterima adalah seseorang itu tidak mahu bertanggungjawab ke atas kesilapan yang mereka lakukan. Jika anda mempunyai pasangan yang tidak teragak-agak untuk mengaku kesilapan dan memohon maaf, itu adalah kualiti yang sukar untuk dicari.  

Konklusi

Penting buat pasangan untuk mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pertimbangan dalam hubungan tidak boleh berat sebelah. Setiap manusia mempunyai kelemahan masing-masing. Tanpa toleransi, hubungan tersebut tidak akan berjaya. Jika anda menghadapi masalah dalam hubungan, cuba 5 tip di atas terlebih dahulu. 5 tip seterusnya akan menyusul di bahagian 2.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut