backup og meta

Kebakaran Hutan di Indonesia, Adakah Malaysia Terjejas?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 15/06/2020

    Kebakaran Hutan di Indonesia, Adakah Malaysia Terjejas?

    Kebakaran hutan di Riau dikatakan telah membakar tanah gambut seluas 3,808 hektar. Kawasan ini juga dilitupi asap atau jerebu. Disebabkan keadaan ini, Indonesia mengerahkan ribuan anggota keselamatan memadam, kebakaran hutan selepas pengisytiharan darurat di enam wilayah di kepulauan Sumatera dan wilayah Kalimantan di Borneo.

    Berdasarkan laporan BH Online, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Agus Wibowo berkata, jumlah titik panas yang meningkat dengan 124 daripadanya disifatkan cukup kuat boleh menyebabkan kebakaran di seluruh negara. 

    Katanya, kerajaan telah mengisytiharkan darurat di wilayah Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Jambi, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah yang mempunyai tanah gambut mudah terbakar.

    Justeru, pihak berkuasa mengerahkan seramai 5,679 anggota tambahan ke lima wilayah dengan membabitkan kerjasama antara tentera, polis dan agensi mitigasi. Selain itu,  turut dikerahkan ialah pesawat yang mampu melakukan operasi bom air. Di Riau, pihak berkuasa bencana menyediakan 17 helikopter dan 10 lagi dibantu syarikat swasta, tentera dan kementerian perhutanan. Dan pihak berkuasa tempatan juga telah mengagihkan topeng muka kepada penduduk.

    Menurut laporan newsflare, kebakaran biasanya disebabkan oleh percubaan membersihkan tanah untuk pertanian, kadang kala untuk perladangan kelapa sawit. Tetapi dengan tanah di bawahnya selalunya terdiri daripada gambut, yang mana apabila terbakar ia menjadi tidak terkawal selama berbulan-bulan. 

    Kebakaran Riau: Adakah Malaysia Terjejas?

    Menerusi temubual di talian Astro Awani, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata,sebenarnya jerebu atau kebakaran hutan yang berlaku di Indonesia khususnya Sumatera memberi kesan kepada negara. Jika diperhatikan cuaca di beberapa kawasan terutama di Lembah Kelang, Negeri sembilan, Pulau Pinang dan Butterworth.

    Katanya, ketampakan (had penglihatan) menurun disebabkan oleh faktor jerebu itu. Walaupun tidak dinafikan ada juga jerebu di negara berlaku disebabkan oleh kebakaran dan titik panas di negara kita. Tetapi berdasarkan ramalan MET, pergerakan asap atau jerebu itu, ianya berasal dari Sumatera, khususnya mempengaruhi kawasan yang disebutkan tadi.

    Menurutnya lagi, memandangkan sekarang masih mengalami tiupan angin barat daya, tiupan angin itu meningkat kelajuannya sedikit sehingga beberapa hari akan datang, pihaknya menjangkakan keadaan jerebu akan berterusan sehingga tujuh hari kehadapan. Cuaca agak kering dan stabil menyebabkan keadaan berterusan. Jadi, itu adalah penilaian dan ramalan dari MET Malaysia berdasarkan situasi semasa.

    Tip Menghadapi Jerebu

    Pencemaran udara boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan manusia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan pencemaran udara sebagai risiko kesihatan alam sekitar terbesar di dunia. Terdapat 3 langkah pencegahan utama iaitu dengan mendidik diri sendiri tentang masalah jerebu, ubah aktiviti harian anda untuk mengelakkan kesan lebih buruk dan amalkan diet sihat supaya badan anda dapat membaiki diri setelah terdedah kepada kesan jerebu. Oleh itu, amalkan tip berikut untuk menangani masalah jerebu:

    Ketahui keadaan jerebu semasa

    Semak indeks pencemaran udara yang dilaporkan daripada masa ke masa untuk mengetahui tahap pencemaran udara di kawasan anda. Layari laman web APIMS (Air Pollutant Index of Malaysia) untuk mengetahui indeks pencemaran udara (IPU) semasa. Baca berita dan ambil tahu sebarang kemerosotan dalam kualiti udara agar anda dapat bersiap sedia.

    Lindungi diri anda daripada pencemaran

    Sekiranya anda mendapati indeks IPU berada dalam julat berbahaya (300 ke atas), elakkan keluar daripada rumah. Berada di luar boleh meningkatkan risiko penyakit paru-paru, serangan jantung, asma dan masalah kesihatan lain.

    Semasa berada di luar rumah, pakai topeng muka untuk mengurangkan penyerapan bahan tercemar dalam udara. Kurangkan aktiviti luar dan gunakan laluan yang jauh daripada kawasan padat kerana kualiti udara lebih rendah di jalan raya yang sesak berbanding kawasan kediaman yang tenang. Anda juga patut elakkan merokok atau pergi ke kawasan merokok.

    Semasa berada di dalam rumah, pasang penapis udara, tutup pintu dan tingkap serta bersihkan rumah menggunakan vakum dan kain basah untuk mengelakkan sebarang habuk dan bawaan jerebu yang membahayakan kesihatan. Anda juga digalakkan untuk membasuh tangan dan mandi dengan kerap. Selain itu, anda boleh meletakkan tumbuhan dalam rumah untuk membantu pengudaraan.

    Diet sihat untuk melindungi diri

    Ubah gaya pemakanan anda untuk membantu paru-paru bertahan daripada kesan-kesan pencemaran udara. Beberapa kajian mendapati sesetengah makanan kaya vitamin boleh membantu badan anda menjadi lebih berdaya tahan. Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan Vitamin A dan beta-karoten. Nutrisi ini membantu pembentukan dan penyelenggaraan membran mukus yang melapisi saluran pernafasan dan pencernaan, menjadikannya lebih tahan terhadap jangkitan. Sumber yang baik termasuklah marjerin, mentega, ubi keledek, lobak merah dan hati.

    Makan makanan kaya Vitamin C. Vitamin ini membantu membentuk bahan penyambung dan menguatkan saluran darah, membantu anda sembuh lebih cepat. Sumber yang baik termasuklah oren, mangga, brokoli dan betik.

    Banyakkan Vitamin E dalam diet anda. Nutrisi ini melindungi daripada kerosakan sel, meningkatkan bekalan oksigen ke sel dan dengan itu, menguatkan sistem imun. Selenium daripada telur, bawang, dan ikan pula dikatakan dapat melindungi paru-paru dan hati anda daripada radikal bebas.

    Oleh itu, untuk mendapatkan nutrisi yang diperlukan untuk membantu tubuh menghadapi jerebu yang melanda, perbanyakkan buah-buahan dan sayuran dalam diet dan minum air dengan banyak untuk membantu badan menyingkirkan bahan tercemar yang diserap tubuh anda.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 15/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan