backup og meta

Kualiti Sperma Dan Masalah Ketidaksuburan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/01/2023

    Kualiti Sperma Dan Masalah Ketidaksuburan

    Masalah ketidaksuburan berkaitan dengan jenis sperma lelaki bukanlah topik yang baharu dalam kalangan masyarakat kita.

    Sebelum ini, apabila berdepan dengan masalah untuk mendapatkan zuriat, masyarakat cenderung untuk menuding jari kepada kaum wanita. Kemajuan teknologi kini telah berjaya merubah persepsi serong tersebut.

    Artikel ini akan membincangkan jenis sperma lelaki dan kaitannya dengan masalah ketidaksuburan sesebuah pasangan tersebut.

    Subkesuburan atau ketidaksuburan?

    Dalam membincangkan topik kesihatan reproduktif dan kesuburan, dua terma utama yang kerap digunakan adalah subkesuburan dan juga ketidaksuburan.

    Penting untuk dinyatakan bahawa kedua-dua perkataan ini tidak memberikan maksud yang sama.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketidaksuburan (infertility) merujuk kepada kegagalan dalam mencapai kehamilan dalam pasangan yang aktif melakukan hubungan kelamin tanpa menggunakan alat pencegah kehamilan melebihi tempoh satu tahun.

    Subkesuburan pula merujuk kepada penurunan dalam kesuburan dan pelengahan dalam keupayaan untuk mengandung yang disebabkan oleh peningkatan usia.

    Masalah kesuburan akibat kualiti dan jenis sperma

    Walaupun hanya satu sperma sahaja yang diperlukan untuk disenyawakan dengan ovum, satu proses ejakulasi akan melepaskan jutaan sel-sel sperma.

    Bilangan sel sperma yang banyak ini adalah penting bagi meningkatkan kebarangkalian persenyawaan untuk berlaku.

    Sungguhpun begitu, sesetengah pasangan masih dibelenggu masalah dalam mencapai ‘penyatuan dua sel’ ini. Salah satu sebabnya adalah kerana faktor kualiti sperma lelaki.

    Disebabkan keadaan air mani yang putih dan likat, sukar untuk mengetahui sama ada sperma di dalamnya mempunyai kualiti yang mencukupi.

    kualiti sperma

    Mujurlah, terdapat satu ujian yang dikenali sebagai analisis air mani/semen, bagi mengenal pasti kualiti dan juga ciri-ciri sperma yang lain. Antara masalah sperma yang dapat dikesan melalui ujian ini adalah:

    1.Oligozoospermia

    Dalam bahasa mudah, masalah ini merujuk kepada bilangan sperma yang rendah.

    Menurut definisi WHO, seseorang itu dikira mengalami oligozoospermia apabila kepekatan sperma dalam sampel air mani mereka berada bawah jumlah 20 × 106/mL.

    Kandungan sperma yang rendah mengurangkan kemungkinan untuk persenyawaan berlaku.

    2. Asthenozoospermia

    Gangguan sperma ini merujuk kepada masalah dalam pergerakan sperma.

    Seseorang yang mengalami masalah ini akan mempunyai kurang daripada 50% sahaja daripada sperma mereka yang mampu bergerak aktif.

    3. Teratozoospermia

    Keadaan ini merujuk kepada masalah dalam morfologi (rupa bentuk) sel-sel sperma.

    Cecair air mani yang sihat atau normal perlu mengandungi sekurang-kurangnya 30% spermatozoa yang mempunyai rupa bentuk yang normal.

    Bentuk dan juga saiz sperma yang sihat adalah penting bagi proses persenyawaan. 

    4. Oligoasthenoteratozoospermia

    Keadaan ini merujuk kepada gangguan dalam 3 aspek kualiti sperma iaitu aspek bilangan, rupa bentuk dan juga pergerakan.

    Jelas sekali, gangguan kualiti dan jenis sperma seteruk ini akan mengurangkan kebarangkalian persenyawaan untuk berlaku. 

    kualiti sperma

    Selain parameter di atas, terdapat juga keadaan di mana tidak ada langsung sel-sel sperma dalam sampel air mani.

    Keadaan ini disebut sebagai Azoospermia. Analisis semen juga dapat menilai parameter dan pemalar air mani yang lain seperti: 

    • Isipadu air mani
    • Nilai pH air mani
    • Paras fruktosa

    Membantu pasangan mengalami ketidaksuburan di Malaysia

    jenis sperma
    Dari kiri: Pengasas Alpha IVF and Women’s Specialists Centre, Datuk Dr Colin Lee, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Pada 8 November yang lepas, Alpha IVF & Women’s Specialist Centre telah mengadakan perasmian besar-besaran pusat tersebut di Encorp Strand Mall, Damansara.

    Upacara yang penuh gilang gemilang itu dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Turut hadir di majlis tersebut adalah puteri baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah A’thiyatullah, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan juga pengasas Alpha IVF and Women’s Specialists Centre, Datuk Dr Colin Lee.

    Alpha IVF & Women’s Specialist Centre merupakan pusat rawatan kesuburan yang paling canggih di Malaysia dan salah satu pusat paling terkehadapan di rantau Asia.

    Selain menjadi pendahulu negara dalam memperkenalkan pelbagai teknologi reproduktif, pusat tersebut juga mempunyai kadar kejayaan yang setara dengan pusat-pusat kesuburan utama dunia.

    Menurut data semasa, kadar kelangsungan pascacairan embrio di pusat ini berada pada kadar 100%.

    Alpha IVF & Women’s Specialist Centre telah membantu ribuan pasangan yang dibelenggu masalah ketidaksuburan untuk berjaya hamil.

    Sebagai sokongan dan pengiktirafan ke atas rekod kejayaan yang luar biasa ini, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, melalui yayasan baginda, Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), bersetuju untuk menaja 15 pasangan bagi menjalani rawatan kesuburan di pusat tersebut.

    TAFF telah membantu ramai pasangan untuk mendapatkan rawatan kesuburan khususnya daripada golongan yang tidak berkemampuan. 

    Masalah ketidaksuburan adalah isu kesihatan yang semakin meningkat di Malaysia. Masyarakat perlu berhenti memberi tekanan kepada pasangan dan sebaliknya, membantu mereka untuk mendapatkan khidmat rawatan.

    Jika anda mengalami masalah dalam mendapatkan zuriat, dapatkan nasihat dan juga rawatan daripada pusat kesuburan bertauliah dengan segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan