backup og meta

Kesan Jerebu kepada Kesihatan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 12/05/2022

    Kesan Jerebu kepada Kesihatan

    6 daripada 10 negara-negara ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, dan Filipina kerap kali mengalami krisis jerebu bermusim yang menjejaskan kualiti udara dan memberi kesan kepada kehidupan seharian penghuninya. Masalah jerebu di Asia Tenggara dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia dan sukar dikawal terutamanya sewaktu cuaca kering dan panas. Kesan jerebu yang mengandungi sejumlah besar jirim bawaan udara daripada lepasan asap ini perlu anda ketahui dan awasi.

    Kesan kesihatan jangka masa pendek

    Dalam kalangan individu yang sihat, pendedahan jangka masa pendek iaitu dalam masa beberapa hari kepada jerebu yang tinggi boleh menyebabkan kerengsaan terhadap bahagian tubuh yang terdedah kepada udara. Ini termasuklah menyebabkan kepedihan mata, hidung berair dan bersin serta sakit tekak. Keadaan ini kebiasaannya reda dengan sendiri dalam kebanyakan kes.

    Tidak terkecuali juga, masalah kulit didapati boleh bertambah buruk disebabkan jerebu. Jerebu juga boleh menjejaskan jantung dan paru-paru, terutamanya pada mereka yang sudah mempunyai penyakit jantung atau paru-paru seperti asma, COPD, atau kegagalan jantung.

    Terdapat masa 1-3 hari antara pendedahan kepada jerebu dan kesan atau simptom kesihatan.

    Kesan kesihatan jangka masa panjang

    Kajian menunjukkan bahawa mereka yang tinggal di tempat dengan pendedahan yang berterusan selama beberapa tahun kepada pencemaran  udara yang tinggi mempunyai risiko penyakit jantung seperti serangan jantung, masalah fungsi paru-paru serta kemungkinan mengalami penyakit pernafasan kronik seperti asma pada kanak-kanak.

    Secara amnya, kanak-kanak, orang tua dan orang yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung lebih sensitif terhadap kesan jerebu, dan harus mengamalkan langkah-langkah pencegahan. Wanita hamil juga dinasihatkan untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu demi kesihatan bayi mereka yang belum lahir.

    Kesan jerebu bukan sahaja melibatkan kesihatan manusia, malah turut meningkatkan beban sosioekonomi sebuah negara. Dalam satu

    kajian sewaktu musim jerebu di Kuala Lumpur dan Selangor, kemasukan pesakit meningkat sebanyak 30% disebabkan masalah kesihatan berkaitan jerebu dan menyebabkan perbelanjaan kos kesihatan sebanyak 0.2 juta ringgit setiap tahun.

    Selain itu, kekurangan produktiviti dalam ekonomi negara juga dikesan akibat kekangan aktitviti pelancongan, risiko kemalangan akibat penglihatan terhad dan penutupan sekolah yang membawa kepada kehilangan besar nilai sosioekonomi sesebuah negara semasa episod jerebu yang teruk. Walaupun anda sebagai individu tidak berupaya untuk mengubah caturan jerebu di Asia Tenggara, ambil langkah pencegahan bersesuaian untuk mengelakkan masalah kesihatan sewaktu musim jerebu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 12/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan