Virus Korona Telah Ragut Lebih 80 Nyawa! Bagaimana Ia Tersebar Hingga Ke US?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jumlah kematian akibat jangkitan coronavirus kini meningkat melebihi angka 80. Virus korona baharu (nCoV-2019) yang kian menular saban hari ini telah menjangkiti hampir 3,000 penduduk di China dan pelancong dari negara luar.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesemua pesakit selain dari negara China yang disahkan positif virus korona mempunyai rekod lawatan ke kota Wuhan dalam tempoh masa terdekat. 

Di Amerika Syarikat, Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) telah mengesahkan 5 kes positif nCoV dan kesemuanya berasal dari Arizona dan California.

Hal ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan populasi umum. Justeru CDC telah memberikan amaran kesihatan (notis kesihatan pelancongan tahap 3) dan menyeru pelancong untuk tidak melancong ke China tanpa sebab.

Bagaimanakah jangkitan yang berasal dari kota Wuhan itu boleh tersebar ke serata dunia dalam tempoh masa yang singkat? 

Bagaimanakah kaedah penyebaran virus korona?

Walaupun pihak berkuasa China dan WHO telah mengesahkan terdapat elemen penyebaran manusia kepada manusia bagi jangkitan nCoV, namun kaedah penyebarannya masih menjadi tanda tanya. 

Seperti adik-beradiknya yang lain (SARS-CoV, MERS-CoV), jangkitan ini juga berpotensi untuk menyebabkan masalah pernafasan yang teruk. Mereka yang pernah melawat kota Wuhan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti.

Jika dilihat pada jangkitan virus korona sebelumnya, kaedah penularan adalah melalui titisan cecair kecil (batuk, bersin), sentuhan langsung dan fomit (sentuhan objek yang tercemar dengan virus tersebut).

nCoV mungkin mempunyai kaedah penyebaran yang lebih kurang sama.

Walau bagaimanapun, maklumat penting seperti keupayaan virus ini untuk tersebar sebelum individu yang dijangkiti menunjukkan sebarang gejala masih lagi menjadi persoalan utama yang perlu dirungkaikan secepat mungkin.

Virus measles contohnya, boleh tersebar kepada individu lain 4 hari sebelum individu mengalami simptom. Virus influenza pula, boleh menjangkiti individu lain sehari sebelum gejala muncul.

Maklumat tersebut boleh membantu pihak berkuasa dalam perangkaan protokol perubatan dan isolasi pesakit bagi mencegah penularan lanjut wabak nCoV. 

Bermula dari Pasar Borong Makanan Laut Huanan, Wuhan

Kajian yang diterbitkan pada 22 Januari 2020 oleh Wei Ji et al menunjukkan kebarangkalian virus tersebut berasal daripada ular.

Ini bukanlah satu berita yang mengejutkan kerana jangkitan pada fasa awal telah berlaku pada individu yang bekerja atau yang datang ke Pasar Borong Makanan Laut Huanan di Wuhan. 

Selain daripada makanan laut, tempat itu juga mempunyai stok haiwan eksotik yang menjadi kegemaran penduduk tempatan seperti koala, kelawar dan ular. 

Ia diklasifikasikan sebagai penyakit misteri. Namun siasatan oleh pihak berkuasa China dan WHO telah menunjukkan ia merupakan wabak virus korona baharu. 

Bermula saat itu, virus korona bukan sahaja menyebabkan huru-hara pada penduduk kota Wuhan, bahkan ia turut menggegarkan dunia berikutan kes jangkitan import pada beberapa buah negara.

Kes import nCoV di Jepun

virus korona

Seorang pemuda berasal dari Kanagawa, Jepun telah pulang dari melawat kota Wuhan pada 6 Januari 2020 lalu.

Selang beberapa hari selepas itu, dia telah dimasukkan ke hospital apabila menunjukkan gejala jangkitan paru-paru.

Walau bagaimanapun, pemuda tersebut tidak pernah mengunjungi pasar borong yang dikatakan menjadi punca tersebarnya jangkitan virus korona baharu ini!

Namun, ini membuktikan kebarangkalian jangkitan masih boleh berlaku di antara manusia dengan individu yang pernah melawat pasar borong tersebut.

Saringan pelancong di lapangan terbang giat dijalankan bagi mengesan kehadiran mereka yang berpotensi menjadi sumber jangkitan.

Akan tetapi, tanpa mengetahui sama ada virus tersebut boleh tersebar sebelum gejala berlaku, usaha tersebut dianggap tidak efektif.

Setakat ini (28 Januari 2020), Jepun telah mencatatkan 4 kes positif virus korona.

Kes import nCoV di Thailand

Thailand merupakan antara negara terawal yang menerima jangkitan import virus korona baharu. Setakat 28 Januari 2020, lapan kes telah dikenal pasti positif dan lima daripada pesakit tersebut telah sembuh. 

Tujuh daripada lapan kes tersebut melibatkan pelancong dari Wuhan dan seorang warganegara Thailand yang baru balik dari kota tersebut.

Tindakan kerajaan Thailand yang masih membenarkan kemasukan pelancong asing dari China mendapat kritikan hangat daripada rakyat negara itu.

Netizen telah menggunakan #crapgovernment bagi mendesak kerajaan Thailand untuk lebih prihatin dan menimbang tara kebaikan dan keburukan demi kesejahteraan rakyat.

Pun begitu, setakat ini, tiada penyebaran virus yang berlaku di Thailand.

Kes import nCoV di Amerika Syarikat

Kes positif virus korona pertama di Amerika Syarikat berlaku pada seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an. Lelaki tersebut telah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan negeri setelah pulang dari Wuhan, China.

Setelah CDC mengesahkan lelaki tersebut positif virus korona, dia telah dipantau di dalam bilik pengasingan yang terletak di sebuah hospital di Everett. 

Bilik tersebut disediakan khas untuk pesakit yang disyaki menghidap penyakit berjangkit. Ia dilengkapi dengan teknologi perubatan moden beserta robot yang boleh melaksanakan tugas pengambilan tanda vital pesakit. 

Setakat ini sehingga 28 Januari 2020, 5 individu telah disahkan positif melibatkan negeri Washington (1), Illinois (1), California (2) dan Arizona (1).

Kes import nCoV di Malaysia

Malaysia mencatatkan kes positif virus korona berjumlah 4 orang (setakat 28 Januari 2020) dan kesemuanya merupakan pelancong dari Wuhan, China.

Berikutan wabak nCoV yang kian menular, kerajaan Malaysia telah menggantung pemberian visa kepada pelancong dari China.

Langkah ini diambil bagi menyekat penularan virus korona memandangkan masih tiada warganegara yang dijangkiti setakat ini. Penguatkuasaan polisi tersebut telah mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil beberapa langkah bagi membendung wabak nCoV dengan baik. 

Kes import nCoV di negara lain

Terdapat beberapa negara lain yang turut menerima tempias dek wabak virus korona baharu yang melanda ini. Antaranya seperti:

  • Hong Kong – 8 kes positif
  • Macau – 7 kes positif
  • Australia – 5 kes positif
  • Singapura – 5 kes positif
  • Taiwan – 5 kes positif
  • Korea Selatan – 4 kes positif
  • Perancis – 3 kes positif
  • Vietnam – 2 kes positif

Konklusi

Penularan wabak virus korona baharu ini menyebabkan pelbagai spekulasi timbul. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita seharusnya membuang segala tanggapan negatif  bahawa jangkitan ini adalah satu bentuk konspirasi dan sebagainya. 

Sebarkan maklumat yang mempunyai sumber yang sahih. Jika anda mengalami simptom selesema atau baru pulang daripada melancong di China, pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 28, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 3, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut