Idola K-pop, Goo Hara Ditemui Mati Di Rumahnya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Dunia hiburan K-pop sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian selebriti apabila Goo Hara, ditemui mati di rumahnya. Buat anda yang kurang mengenalinya, mendiang adalah bekas penyanyi kumpulan KARA, yang popular dengan lagu Mamma Mia sekitar tahun 2014. Untuk tahu lebih lanjut mengenai kisah penyanyi dan pelakon ini, sila ikuti artikel.

Ditemui mati di rumahnya

Goo Ha-ra atau lebih dikenali sebagai Hara telah ditemui mati di rumahnya kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan semalam. Mayat penyanyi dan pelakon berusia 28 tahun itu ditemui oleh kenalan baiknya di kediaman yang terletak di Cheongdam-dong, Seoul. Sehingga kini, pihak polis masih menyiasat punca sebenar kematian Hara.

Untuk pengetahuan anda, Hara sebenarnya pernah mengejutkan industri hiburan K-pop selepas membuat percubaan membunuh diri pada bulan Mei tahun ini. Namun, dia sempat diselamatkan oleh pengurusnya yang menemui Hara dalam sebuah bilik dipenuhi dengan asap tebal, dipercayai direncanakan oleh mendiang sendiri.

Mendiang dikatakan mempunyai masalah dengan bekas teman lelakinya sehingga pernah bertengkar dan memukul satu sama lain sehingga menyebabkan kecederaan yang agak serius. Gara-gara itu, netizen telah menularkan hashtag #PunishChoiJongBum (bekas teman lelaki Hara) yang dikatakan sebagai antara sebab kematiannya. 

Meskipun kematiannya masih belum disahkan puncanya, rata-rata netizen mengandaikan mendiang mati membunuh diri akibat tidak tahan dengan tekanan hidup. Betul atau salah, jawapannya hanya dapat diketahui setelah pihak polis selesai menjalankan siasatan.

Goo Hara

Membunuh diri bukan penyelesaiannya

Berita kematian Goo Hara ini datang selepas beberapa bulan kawan baiknya iaitu Sulli, yang juga merupakan selebriti popular dari Korea Selatan, ditemui mati membunuh diri. Ya, tidak dinafikan tekanan hidup memang suatu yang sangat berat untuk ditanggung. Namun, adakah membunuh diri adalah penyelesaian segala-galanya?

Jawapannya, tidak. Ia adalah satu gejala negatif yang merosakkan masyarakat. Sebenarnya, gejala bunuh diri boleh dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan termasuk mengenali tanda-tanda awal yang mendorong mereka yang mahu melakukan perbuatan itu, kata Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental negara kita, Tan Sri Lee Lam Thye.

“Masyarakat  boleh mengubah persepsi orang yang ingin membunuh diri dengan menawarkan penjagaan dan empati termasuk melengkapkan diri dengan kemahiran mendengar dan sokongan seperti berada di sisi mereka yang berdepan dengan masalah”, kata beliau lagi. 

Sebenarnya, bukan hanya masyarakat yang perlu memainkan peranan. Hakikatnya, ia semua bergantung kepada diri sendiri. Anda perlu tahu bahawa terdapat banyak lagi cara yang anda boleh lakukan untuk melepaskan diri dari tekanan hidup selain membunuh diri. Ingatlah bahawa anda masih mempunyai ahli keluarga dan rakan-rakan yang menyayangi anda.

Konklusi

Kesimpulannya, berita kematian Goo Hara ini adalah satu tragedi buat industri hiburan dunia. Takziah diucapkan buat ahli keluarga dan sahabat handai mendiang. Kepada pembaca Hello Doktor, jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran dalam kehidupan yang berguna buat kita, ya?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 25, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 25, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut