Ini Bagaimana Rakyat China Kena ‘Pulau’ Di Seluruh Dunia Kerana Wabak Virus Korona

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Wabak virus korona baharu yang sedang menular kini masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. Kini (10 Februari 2020), jumlah mereka yang dijangkiti sudah melebihi 40,000 individu dan kadar kematian sudah melebihi angka seribu.

Negara-negara di seluruh dunia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan rakyat mereka berada pada tahap optimum. Antaranya dengan menghalang kemasukan pelancong dari China.

Adakah langkah ini wajar diambil bagi membendung wabak virus korona baharu

Bagaimana Amerika Syarikat elak wabak virus korona?

kapal terbang

Hubungan di antara Amerika Syarikat (US) dan China kian tegang berikutan berita kematian seorang warganegara US di Wuhan, China. Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) telah menawarkan bantuan bagi menyelesaikan wabak tersebut. 

Namun, pihak berkuasa China tidak memberikan apa-apa maklum balas berkenaan tawaran tersebut. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menghadapi perkara yang sama. 

Reaksi China yang seakan-akan malu mendapatkan bantuan luar bakal mengundang padah jika jangkitan wabak tersebut tidak dibendung.

Presiden US, Donald Trump telah menyekat kemasukan individu bukan warganegara yang melancong ke China 2 minggu sebelum ketibaan mereka di US. 

Bagi warganegara pula, mereka yang melancong ke China akan diletakkan dalam bilik kuarantin bagi mengesahkan status jangkitan mereka.

Wabak virus Korona – Bagaimana dengan Jepun pula?

Jumlah penghidap wabak virus korona baharu di Jepun telah melebihi 100 individu. Seorang warganegara Jepun di Wuhan yang disyaki mempunyai jangkitan virus tersebut telah mati.

Berikutan penularan virus tersebut, pihak berkuasa Jepun telah menghalang kemasukan pelancong dari wilayah Hubei walaupun masyarakat dari sana tidak menunjukkan sebarang simptom.

Pelawat dari negara China adalah antara populasi pelancong terbesar di Jepun. Pada tahun 2018 sahaja, Jepun dilawati oleh lebih 8 juta pengunjung dari China. Ia bersamaan dengan 1.5 trilion yen, merangkumi 34% daripada jumlah perbelanjaan pelancong asing di Jepun. 

Wabak virus korona baharu telah memberikan impak yang besar terhadap ekonomi pelancongan di negara Jepun. 

Di Malaysia, ini bagaimana cara elak wabak virus korona

Setakat ini (10 Februari 2020), jumlah kes positif virus korona baharu di Malaysia telah meningkat kepada angka 18. 3 daripadanya telah sembuh namun risiko jangkitan masih berada pada tahap tinggi.

Pesakit yang telah disahkan positif telah dikuarantinkan di Hospital Sungai Buloh (Selangor), Hospital Permai (Johor) dan Hospital Langkawi (Kedah).

Kerajaan Malaysia telah mengenakan sekatan terhadap pelancong dari wilayah Hubei, Zhejiang dan Jiangsu. Walaupun jangkitan virus korona baharu boleh berasal dari mana-mana wilayah, namun situasi masih terkawal.

Oleh yang demikian, sekatan hanya dibuat pada 3 wilayah yang tersenarai. Pemeriksaan akan dibuat secara teliti di semua pintu gerbang kemasukan antarabangsa dan mereka yang disyaki mempunyai jangkitan tersebut akan dikuarantinkan.

Singapura elak wabak virus corona

Seperti negara-negara lain, Singapura juga mengenakan sekatan terhadap pelancong asing khususnya dari China.

Berbeza dengan Malaysia, sekatan tersebut tidak dibuat pada tiga wilayah berisiko tinggi sahaja. Ia melibatkan seluruh warga China.

Individu yang merupakan warganegara, penduduk tetap dan pelancong dari negara lain masih boleh bergerak masuk dan keluar dari Singapura.

Secara keseluruhannya, rakyat China tidak boleh memasuki negara lain

wabak virus korona

Hampir kesemua negara di seluruh dunia telah membuat sekatan kemasukan terhadap pelancong dari negara China. Mereka tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada menetap di negara mereka sendiri dan terus berdoa agar wabak ini berakhir.

Sekatan yang berlaku mempengaruhi tahap ekonomi negara China dan negara-negara seperti Jepun yang memperoleh pendapatan besar daripada pelancong China dalam sektor pelancongan. 

Melihat kepada angka yang meningkat hari demi hari, adakah mimpi buruk ini akan berakhir? Saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia sedang berusaha keras untuk menghasilkan rawatan yang berkesan bagi wabak virus korona baharu ini.

Jangkitan ini tidak bahaya jika mahu dibandingkan dengan virus korona yang menyebabkan sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan sindrom pernafasan timur tengah (MERS).

Namun, jalan penyelesaian perlu dicari bagi mengelakkan angka mereka yang dijangkiti dan angka kematian daripada terus meningkat.

Salah satu cara yang digunakan oleh kebanyakan negara adalah dengan kaedah isolasi rakyat China di negara mereka sendiri. Persoalannya di sini, adakah ia merupakan satu tindakan yang relevan?

Badan Kesihatan Global seperti WHO dan CDC sudah memberikan tawaran kepada negara China namun tidak terjawab. Pelbagai negara telah menghulurkan sumbangan kepada rakyat China bagi memastikan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya sekiranya dijangkiti.

Adakah vaksin mampu menyelesaikan wabak virus korona?

wabak virus korona

Selain amalan cuci tangan secara kerap dan memakai topeng muka di tempat awam, vaksin mungkin alternatif terbaik untuk kita menghindarkan diri daripada mendapat jangkitan virus korona.

Konsepnya mudah, jika badan anda sudah mengenali virus yang memasuki badan, antibodi boleh dihasilkan dengan cepat dan virus tersebut boleh dibasmi sebelum ia menyebabkan simptom.

Itu merupakan konsep yang digunakan dalam pemberian vaksin kepada orang yang tidak pernah dijangkiti dengan virus korona baharu. Banyak syarikat terkemuka dunia seperti Johnson & Johnson dan Novavax telah mula mencipta vaksin virus korona baharu. 

Namun, penghasilannya akan memakan masa memandangkan tanpa kajian terhadap profil keselamatan dan keberkesanannya, pemberian vaksin tersebut boleh dianggap tidak beretika. 

Penghasilan vaksin ini diletakkan sebagai prioriti memandangkan ia sudah menjangkiti ramai individu. 

Sebelum vaksin tersebut boleh digunakan oleh orang ramai, pastikan anda cuci tangan dengan air dan sabun secara kerap, guna topeng muka terutamanya jika anda mengalami simptom selesema dan dapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya anda sakit.

Konklusi

Kini, pergerakan rakyat China agak terbatas dan mereka hanya boleh bergerak masuk ke negara lain jika mereka memenuhi syarat tertentu sahaja. Pihak berkuasa di setiap negara telah mengenakan tempoh masa 14 hari kuarantin kepada mereka yang berisiko mengalami jangkitan.

Ada juga negara yang tidak membenarkan langsung kemasukan rakyat China ke dalam negara walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom. 

Malaysia masih membenarkan pelancong selain dari wilayah Hubei, Zhejiang dan Jiangsu, namun kerajaan komited dalam melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan wabak virus korona baharu daripada menular. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronavirus

Baca juga:

Tarikh Reviu Februari 12, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 18, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut