5 Cabaran Yang Seluruh Dunia Terpaksa Tempuh Kerana Wabak Virus Korona

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Wabak virus korona baharu telah menular ke serata dunia dan kini (4 Februari 2020) jumlah mereka yang dijangkiti telah melebihi 20,000 individu. 

Wabak ini mempunyai potensi tularan yang lebih tinggi berbanding jenis virus korona lain termasuk SARS-CoV dan MERS-CoV. Namun, tidak dinafikan, kadar kematian yang disebabkan virus korona baharu masih lagi rendah, berbanding jumlah individu yang dijangkiti.

Pada tahun 2003, sindrom pernafasan akut teruk (SARS) diisytiharkan sebagai ancaman kesihatan global. Ia telah menyebabkan kematian pada kira-kira 15% daripada jumlah mereka yang dijangkiti. 

Sindrom pernafasan timur tengah (MERS) yang melanda pada tahun 2012 turut mempunyai kadar kematian yang tinggi. 

Hal ini menimbulkan kerisauan di seluruh dunia berikutan rawatan untuk wabak ini masih belum lagi ditemui.

Artikel ini akan membincangkan berkenaan dengan cabaran dalam menempuh wabak virus korona baharu. Teruskan bacaan.

Cabaran menghadapi wabak virus korona baharu #1 Bagaimana ia tersebar?

wabak virus korona

Tidak dapat dinafikan, panik yang berlaku khususnya di kalangan rakyat Malaysia berpunca dari maklumat yang masih tidak jelas berkaitan cara penyebaran virus ini.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), seperti SARS-CoV dan MERS-CoV, virus korona baharu juga merupakan virus yang tergolong dalam kumpulan “beta”. Ia kebiasaannya boleh dijumpai pada haiwan liar terutamanya kelawar.

Pada peringkat awal jangkitan, wabak virus korona mempunyai kaitan dengan makanan laut dan haiwan eksotik yang boleh dijumpai di pasar borong kota Wuhan. 

Bermula dari saat itu, pihak berkuasa China telah melaporkan berlakunya penyebaran antara manusia yang menyebabkan peningkatan kes positif virus korona baharu ini. 

Beberapa persoalan perlu dijawab bagi memahami berkenaan dengan risiko penyebaran virus korona:

  • Berapa lama tempoh inkubasi (dari tempoh jangkitan kepada simptom)?
  • Adakah individu boleh menyebarkan virus ini walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom?
  • Adakah simptom jangkitan ini boleh jadi bertambah teruk?
  • Adakah topeng muka biasa mampu menghalang penyebaran virus ini atau semua individu perlu menggunakan topeng muka N95?

#2 Sukar untuk kita rawat pneumonia teruk 

Pneumonia yang disebabkan oleh wabak virus korona baharu sukar untuk dirawat. Seperti SARS dan MERS, fasiliti kesihatan global masih tidak mempunyai ubat antiviral yang khusus untuk meringankan simptom komplikasi pneumonia yang disebabkan virus tersebut.

Jangkitan paru-paru yang disebabkan virus tidak ada rawatan spesifik. Apa yang lebih teruk lagi adalah jika jangkitan tersebut dirumitkan dengan jangkitan bakteria yang rintang dengan antibiotik.

Ini menyebabkan simptom pesakit menjadi bertambah teruk. 

Jangkitan tersebut boleh melarat sehingga melibatkan organ selain paru-paru. Golongan berisiko seperti orang tua dan mereka yang ada masalah sistem pertahanan badan.

Mereka yang mengalami kegagalan fungsi organ perlu dirawat dalam unit jagaan intensif (ICU). Tanpa kawalan jangkitan yang baik, mereka yang berisiko untuk mengalami komplikasi mudah untuk dijangkiti.

Perkara ini bukan sahaja boleh menurunkan kualiti hidup individu malah meningkatkan kadar kematian akibat daripada wabak virus korona baharu.

Cabaran menghadapi wabak virus korona baharu #3 Ia sama macam simptom jangkitan selesema ke?

wabak virus korona

Susah sebenarnya nak membezakan antara simptom wabak virus korona baharu jangkitan influenza. Ini kerana kedua-dua virus menjangkiti saluran pernafasan, lalu menyebabkan munculnya simptom yang lebih kurang sama.

Badan akan bertindak balas dengan meningkatkan suhu (demam) dan anda akan alami simptom lain seperti batuk, selesema dan pening kepala. 

Untuk makluman pembaca, simptom-simptom tersebut merupakan simptom tidak spesifik. Terdapat banyak virus yang boleh menyebabkan gejala-gejala tersebut. Jika benar anda dijangkiti virus korona sekalipun, anda kena ingat, terdapat 7 strain virus korona yang boleh menjangkiti manusia.

4 daripada 7 strain tersebut boleh menyebabkan masalah selesema ringan. Hospital di Malaysia dilengkapi dengan peralatan moden yang boleh digunakan untuk mendiagnosis wabak virus korona dengan lebih tepat.

Namun, bagi mereka yang menginap di kawasan luar bandar atau tempat yang tidak mempunyai akses kepada fasiliti kesihatan, ia boleh menjadi satu cabaran yang besar untuk menghindarkan penularan wabak virus korona baharu jika golongan ini dijangkiti.

#4 Awas buat anda yang mempunyai masalah kronik

Seperti jangkitan virus lain, individu yang ada masalah kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi mempunyai risiko untuk mendapat komplikasi teruk akibat wabak virus korona baharu.

Jika dilihat pada kadar kematian yang semakin meningkat, kebanyakannya melibatkan golongan tua, mereka yang mengalami masalah kronik dan mereka yang mengalami masalah sistem imun.

Sistem pertahanan badan memainkan peranan penting bagi menghindari jangkitan virus korona baharu.

Mereka yang mengalami masalah penyakit kronik cenderung untuk mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah. Perkara ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan.

Cabaran ke #5 Penyebaran maklumat palsu

Apabila masyarakat kurang faham terhadap sesuatu, mereka cenderung menyebarkan maklumat palsu berkaitan dengannya.

Maklumat palsu bukan sahaja boleh menyebabkan huru-hara, malah ia merupakan satu bentuk penganiayaan kepada individu lain.

Pelbagai jenis maklumat palsu telah tersebar sejak penularan wabak virus korona dan pihak berkuasa terlibat telah membuat notis penafian berkenaan dengannya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan amaran keras kepada mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu.

Mereka yang tertangkap boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Seksyen 233. Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun penyebaran maklumat palsu masih lagi terkawal, namun penggunaan media sosial secara meluas membuatkan ia mudah untuk mencetuskan huru-hara dalam kalangan mereka yang tidak mengambil inisiatif untuk menyiasat terlebih dahulu maklumat yang bakal disebar.

Konklusi

Bukan mudah untuk kita tangani penularan wabak virus korona baharu. Usaha tersebut perlu mendapat kerjasama daripada semua individu dalam memastikan jangkitan itu berada dalam keadaan terkawal.

Jika anda mengalami simptom selesema, dapatkan rawatan daripada klinik berdekatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan. 

#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronavirus

Baca juga:

Tarikh Reviu: Februari 5, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 18, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut