
Baru-baru ini negara kita menerima berita mengenai wabak beguk yang berlaku di dua buah sekolah di Kajang dan Gombak. Di Selatan Thailand pula, telah berlaku wabak campak sejak September lalu. Angka yang ditunjukkan ialah sangat membimbangkan.
Sejak September 2018, sebanyak 1,500 kes jangkitan demam campak telah dilaporkan dan mencatatkan 14 bilangan kematian daripada jangkitan yang sama.

Pihak berkuasa Thailand kini sedang berusaha mengawal jangkitan tersebut. Kawasan yang dilaporkan terlibat ialah beberapa wilayah di Selatan Thailand iaitu Yala, Pattani, dan Narathiwat. Semua wilayah ini berada berhampiran sempadan negeri Kelantan.
Jika anda merancang untuk ke kawasan ini atas sebarang urusan, sebaiknya ialah untuk menangguhkan sementara waktu atau pastikan anda sudah menerima perlindungan vaksin yang mencukupi andai terpaksa pergi juga.
Salah faham mengenai vaksin menyumbang kepada peningkatan bilangan kes
Pihak berkuasa mengatakan bahawa liputan vaksin di bahagian Selatan Thai adalah rendah. Ada kawasan yang mempunyai liputan vaksin hanya sebanyak 60% berbanding 95% yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memberikan perlindungan efektif kepada masyarakat.
Mereka juga mendakwa bahawa hal ini berlaku berikutan salah faham yang ada dalam kalangan masyarakat Muslim mengenai vaksin yang dikatakan mengandungi bahan terlarang (gelatin babi) dalam agama Islam. Kerajaan telah menafikan kewujudan bahan tersebut tetapi penolakan masih tetap berlaku.
Central Islamic Council of Thailand (CICOT), sebuah badan agama Islam di negara berkenaan berusaha memberikan penjelasan dan menyakinkan masyarakat tentang kepentingan mengambil vaksin. CICOT menjelaskan bahawa walaupun vaksin mengandungi bahan yang dilarang oleh agama, manfaat perubatan yang diberikan kepada seseorang dan komuniti mengatasi mudarat yang ada apatah lagi jika vaksin tersebut tidak mengandungi sebarang unsur yang haram di sisi agama.
Demam campak boleh dicegah dengan vaksin
Mencegah lebih baik daripada merawat dan demam campak ialah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin. Di Malaysia juga terdapat ibu bapa yang masih enggan menerima vaksin. Jika ia berterusan, tidak mustahil hal yang sama seperti di Thailand boleh berlaku di Malaysia.
Buatlah penilaian dengan matang. Keputusan di tangan anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.