backup og meta

Stres Akibat PKP, Anak Bini Jadi Mangsa! Sila Ambil Peduli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/06/2020

    Stres Akibat PKP, Anak Bini Jadi Mangsa! Sila Ambil Peduli

    Tempoh PKP sememangnya menyebabkan stres. Tetapi adakah itu bermakna anda boleh sewenangnya melempiaskan tekanan tersebut kepada anak dan isteri sehingga berlaku kes penderaan?

    Tekanan sepanjang tempoh PKP

    Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah 1 jangka masa untuk berseronok dan bergembira. Ia adalah 1 tempoh berjaga-jaga dan berwaspada dalam menangani penularan COVID-19.

    Terpaksa duduk di rumah, memikirkan tentang makanan dan duit, bimbang tentang jangkitan coronavirus, boleh menyebabkan tekanan kepada sesiapa sahaja.

    Tetapi adakah itu bermakna anda mempunyai lampu hijau untuk melepaskan tekanan yang dialami dengan memukul ahli keluarga anda, terutamanya isteri serta anak-anak anda?

    Kes penderaan domestik global meningkat

    Mungkin ada sesetengah pihak yang terkejut dengan berita ini. Namun percayalah, ia sedang berlaku. Malahan mungkin melibatkan individu yang anda kenali.

    Anak-anak yang sering membuat bising, dengan keadaan rumah yang bersepah ditambah pula kerunsingan hati memikirkan bagaimana untuk mencari wang bagi mengisi perut-perut yang lapar, adalah pencetus yang paling mudah kepada kes penderaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, ramai wanita dan kanak-kanak perempuan berdepan ancaman apabila berada di rumah – tempat yang sepatutnya paling selamat.

    “Beberapa minggu lalu dalam keadaan tekanan ekonomi dan sosial, selain gangguan kebimbangan yang meningkat, terdapat banyak kes penderaan domestik global dilaporkan,” – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

    Terdapat juga peningkatan 3x ganda kes keganasan rumah tangga dan penderaan yang dilaporkan di Hubei, China sejak diletakkan di bawah perintah berkurung kesan penularan wabak COVID-19.

    Negara lain seperti Perancis, Sepanyol, Greenland dan Tunisia juga tidak terkecuali daripada kes penderaan ini. Malahan terdapat 2 kematian dilaporkan di Perancis dan 1 kes di Sepanyol, masing-masing melibatkan isu penderaan.

    kes-penderaan-meningkat-ketika-PKP

    Kes penderaan di Malaysia juga meningkat

    Mesti ada yang akan mengatakan, “Itu kes global, bukan dekat Malaysia.” Hmmm…adakah anda yakin bahawa tidak berlaku kes seperti itu di Malaysia sepanjang tempoh PKP?

    Berdasarkan perkongsian di laman Facebook milik Dr Ahmad Luqman Bukhari, perkhidmatan Talian Kasih menerima hampir 2,000 panggilan berkaitan isu kanak-kanak dan penderaan domestik.

    Menurut Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan itu, kebanyakan kes yang berlaku berpunca akibat perasaan panik dan tekanan dalam rumah sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

    4 punca utama berlakunya penderaan adalah:

    • Pelaku sentiasa berada di rumah bersama mangsa sekali gus meningkatkan risiko konflik untuk berlaku
    • Kawalan pergerakan menyebabkan tiada tempat untuk menghilangkan tekanan
    • Isu berkaitan kewangan dan ketidakpastian keadaan memburukkan lagi keadaan
    • Persekitaran rumah yang sempit menimbulkan rasa tidak selesa dan rimas

    4 cara atasi isu penderaan yang dialami

    Berikut 4 cara yang boleh anda lakukan jika anda atau anak adalah mangsa dera:

    1. Bantuan perubatan

    Jika berlaku kecederaan, dapatkan rawatan perubatan di Jabatan Kecemasan Trauma di mana-mana hospital kerajaan yang berhampiran.

    Rawatan akan diberikan di bilik khas – Pusat Krisis Bersepadu (OSCC). Jika terdapat kaunter polis di hospital, laporan akan dilakukan dan anda akan diberikan Borang 59 untuk doktor mencatatkan kecederaan dialami.

    tempoh pkp

    1. Talian bantuan

    Anda boleh menghubungi Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) di talian 15999 atau mana-mana organisasi wanita yang menawarkan bantuan.

    1. Laporan polis

    Anda digalakkan untuk membuat laporan polis di balai polis berhampiran. Pastikan anda menyatakan secara jelas tentang kejadian yang berlaku termasuk tarikh dan masa penderaan bagi memudahkan penyiasatan.

    1. Pelan keselamatan

    Pastikan anda mempunyai rancangan keselamatan diri jika anda terpaksa meninggalkan rumah secara tiba-tiba. Sebaiknya, simpan kunci rumah pendua untuk membolehkan anda keluar dari rumah serta simpan nombor telefon individu penting bersama anda.

    Ambil kisah dan laporkan kes penderaan

    Pasti akan ada yang mengatakan itu masalah rumah tangga mereka dan anda tidak sepatutnya masuk campur. Baiklah, jika itu pandangan anda.

    Tetapi bagaimana jika ahli keluarga anda seperti emak, kakak, adik atau anak-anak buah yang menjadi mangsa? Adakah anda mahu jiran sebelah rumah mereka menutup mata dan memekakkan telinga menganggap tiada apa yang berlaku?

    Jika anda tidak mahu ahli keluarga anda menjadi mangsa, sudah tentu mereka yang mempunyai pertalian dengan jiran anda juga tidak mahu keluarga mereka didera.

    Sekiranya sikap ambil kisah dan peduli anda membawa kepada kebaikan, kenapa tidak?

    Anda boleh laporkan sebarang kes melibatkan penderaan dengan menghubungi Talian Kasih di 15999.

    Anda juga boleh menghubungi Women’s Aid Organisation (WAO) di 0379563488 atau terus ke talian 999 jika melibatkan kecemasan.

    Keprihatinan anda mungkin dapat membantu menyelamatkan nyawa insan yang tidak berdosa, apatah lagi dalam tempoh PKP ketika mereka tiada pilihan lain selain berada di rumah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan