backup og meta

Jika Ada Ahli Keluarga Menghidap Demensia, Ajak Mereka Lakukan 5 Perkara MENARIK Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/08/2021

    Jika Ada Ahli Keluarga Menghidap Demensia, Ajak Mereka Lakukan 5 Perkara MENARIK Ini!

    Penyakit demensia amat sinonim dikaitkan dengan golongan warga emas atau berusia. Demensia adalah satu keadaan di mana berlakunya penurunan fungsi kognitif dalam otak seseorang individu itu. 

    Bagaimana menentukan sekiranya seseorang itu mengalami penyakit demensia atau tidak?

    Untuk menentukan sekiranya seseorang itu menghidap demensia ataupun tidak, kecacatan mental yang dialami mestilah menjejaskan sekurang-kurangnya 2 fungsi otak atau lebih.

    Antara fungsi otak yang sering terjejas bagi penghidap demensia adalah:

    • Memori
    • Berfikir
    • Bahasa
    • Pertimbangan
    • Kelakuan

    Demensia itu sendiri bukanlah sejenis penyakit.

    Akan tetapi, ia boleh disebabkan oleh pelbagai penyakit lain atau kecederaan.

    Kecacatan pada aspek mental yang dialami itu boleh berlaku dalam fasa ringan mahupun teruk sehingga boleh mengubah personaliti penghidapnya. 

    Bantu penghidap demensia dengan libatkan mereka melakukan aktiviti-aktiviti ini!

    Tahukah anda, penghidap demensia boleh menjadi sangat tertekan jika mereka berasa bosan.

    Oleh sebab itu, jika ada ahli keluarga anda yang disahkan menghidapi demensia, libatkan mereka dengan pelbagai aktiviti yang boleh merangsang otak mereka.

    Tidak tahu apakah aktiviti yang sesuai untuk mereka, lihat senarai di bawah ini. 

    #1. Lakukan senaman dan aktiviti fizikal

    penyakit demensia

    Aktiviti fizikal seperti senaman boleh membantu penghidap demensia untuk tidur lebih baik.

    Selain itu, aktiviti fizikal juga boleh membantu mereka mengekalkan mood yang positif dan mengurangkan risiko untuk mendapat kemurungan.

    Antara aktiviti senaman dan fizikal yang disarankan ialah: 

    • Berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan atau taman rekreasi
    • Melakukan senaman ringan di luar rumah
    • Mengajak mereka untuk memancing ikan bersama-sama

    #2. Mengingatkan mereka berkenaan kehidupan mereka

    Kebiasaannya, memori jangka panjang akan terus berada dalam ingatan mereka yang menghidap demensia berbanding memori jangka pendek.

    Oleh itu, cuba libatkan penghidap demensia ini dengan perbincangan atau aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Antara yang boleh dilakukan ialah:

    • Membuat rakaman video dan sesi temu ramah berkenaan kehidupan mereka
    • Berborak berkenaan kehidupan, zaman kanak-kanak dan juga keluarga mereka
    • Mengajak mereka untuk melihat kepada foto-foto lama yang ada di dalam album simpanan keluarga
    • Menonton video rakaman keluarga bersama-sama
    • Tanya berkenaan aktiviti kegemaran atau hobi mereka sewaktu kecil

    #3. Mengajak mereka memasak atau membuat kuih

    Aktiviti seperti memasak dan juga membuat kuih dapat membantu mereka melibatkan diri melakukan sesuatu yang lebih praktikal.

    Ia tidak semestinya dengan resepi makanan yang rumit, cukup sekadar resepi mudah dan cepat untuk disediakan.

    Mungkin anda boleh bertanya kepada mereka sebarang resepi kuih yang mereka ingati untuk dibuat bersama-sama.

    Anda boleh bertindak sebagai pembantu sewaktu mereka memasak dan pastikan mereka berkemampuan untuk melakukannya di bawah pemerhatian anda.

    Jika anda risau berkenaan penggunaan alatan tajam, anda boleh menawarkan diri untuk melakukannya bagi pihak mereka.

    #4. Bermain bersama haiwan peliharaan

    Terapi haiwan bersama haiwan peliharaan juga adalah salah satu aktiviti yang boleh merangsang otak mereka yang mempunyai penyakit demensia.

    Apatah lagi jika mereka adalah pencinta haiwan.

    Haiwan peliharaan kecil yang jinak seperti kucing atau arnab boleh membantu mengurangkan stres dan juga simptom kemurungan atau keresahan.

    Selain itu, ia juga menggalakkan mereka menggunakan deria mereka dengan sepenuhnya.

    Anda juga boleh membawa mereka yang mempunyai demensia ini melawat ladang ternakan atau zoo kecil untuk melihat dan berinteraksi dengan haiwan di sana. 

    #5. Melibatkan mereka dengan alam semula jadi

    demensia adalah

    Selain daripada aktiviti di atas, anda juga boleh membawa penghidap demensia ini ke lokasi-lokasi semula jadi seperti taman atau tasik rekreasi, atau mana-mana lokasi lain yang dirasakan sesuai untuk menenangkan diri.

    Bukan itu sahaja, ia turut memberi peluang kepada mereka untuk menghirup udara segar berbanding dengan hanya duduk di rumah.

    Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah:

    • Membawa mereka ke taman-taman seperti taman botani
    • Memberi makan ikan di kolam atau memberi burung makan di taman
    • Berkelah di tepi pantai atau di lokasi perkhemahan di hutan rekreasi
    • Anda boleh mengajak mereka berkebun di halaman rumah jika mereka tidak larat untuk berjalan jauh

    Kesimpulan

    Penghidap penyakit demensia memerlukan sokongan untuk meneruskan fungsi kehidupan mereka dengan baik.

    Apatah lagi jika penghidap demensia itu adalah ahli keluarga kita sendiri seperti ibu bapa atau datuk dan nenek.

    Luangkan masa lapang kita untuk bersama mereka agar mereka lebih berasa seronok, tenang dan tidak bosan kerana tidak dapat melakukan sebarang aktiviti.  

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan