backup og meta

Sifilis Kongenital: Antara Punca Utama Kematian Bayi Seluruh Dunia

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/07/2020

    Sifilis Kongenital: Antara Punca Utama Kematian Bayi Seluruh Dunia

    Pada 27 Februari 2019, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan anggaran lebih setengah juta kes keseluruhan sifilis kongenital pada tahun 2016, yang menyebabkan lebih 200 000 kematian dalam kandungan dan dalam kalangan bayi baru lahir. Walaupun tidak signifikan penurunannya, dari tahun 2012 hingga 2016, anggaran ini menunjukkan beban sifilis kongenital global telah menurun dari 750 000 kepada 660 000 kes. Namun yang demikian, bilangan kes yang tinggi ini masih tidak boleh diterima dan penting untuk golongan wanita mendapat akses kepada pengesanan awal dan rawatan untuk sifilis.

    Sifilis kongenital sekilas pandang

    Sifilis merupakan salah satu jangkitan kelamin yang paling kerap berlaku di seluruh dunia, dengan anggaran sekitar 6 juta kes baru setiap tahun. Sifilis kongenital pula adalah keadaan di mana ibu yang menghidap jangkitan sifilis (dan tidak mendapat rawatan awal atau mencukupi) menjangkiti kandungannya dengan sifilis tersebut. Jangkitan sifilis dari ibu kepada anak ini boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada bayi termasuklah lahir mati, kematian pasca kelahiran, berat yang rendah ketika lahir, kelahiran pramatang dan kecacatan-kecacatan kongenital.

    Mujurnya, dalam keadaan di mana terdapat kemudahan ujiaan dan rawatan awal dalam penjagaan antenatal, sifilis kongenital adalah sangat boleh dicegah dan dirawat. Rawatan yang cukup menggunakan Benzylpenicillin (Penicilin G) sebaiknya sebelum trimester kedua, mengurangkan risiko kesan buruk terhadap janin secara mendadak.

    Sehingga kini, sifilis kongenital adalah punca lahir mati boleh dicegah nombor dua di peringkat global, selepas malaria.

    Mengambil iktibar daripada kejayaan Malaysia

    Pada 8 Oktober 2018, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara pertama dalam kawasan pasifik barat WHO yang telah berjaya menghapuskan bukan sahaja transmisi sifilis daripada ibu kepada bayi, bahkan transmisi HIV daripada ibu kepada bayi. Dengan pengiktirafan ini, Malaysia tergolong dalam kumpulan elit 12 negara di dunia diiktiraf WHO yang telah berjaya menghapuskan transmisi ibu kepada bayi bagi jangkitan sifilis dan/atau HIV.

    Semuanya bermula pada tahun 1998 ketika Malaysia menjadi antara negara terawal yang mengangkat dan mengimplementasikan pencegahan transmisi ibu kepada bayi bagi jangkitan HIV dan sifilis dalam servis ibu mengandung dan kanak-kanak mereka. Ianya mengambil masa 2 dekad yang penuh dengan perancangan teliti, peruntukan berterusan dan terpandu oleh dana kerajaan dan juga polisi-polisi kesihatan awam yang menyeluruh sebelum penjagaan antenatal Malaysia menjadi padu dan mampan. Hari ini, walaupun terdapat rakyat Malaysia yang tidak menghargai kehebatannya, ujian antenatal dan rawatan HIV dan sifilis diberikan secara percuma dan hampir semua wanita mempunyai akses kepada servis kesihatan berkualiti termasuk perancangan keluarga dan kelahiran selamat oleh penyambut terlatih.

    Menurut Eamonn Murphy, Pengarah Dearah Asia dan Pasifik UNAIDS, “Penghapusan ini merupakan satu kejayaan yang meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam usaha global untuk memastikan tidak ada anak-anak yang lahir dengan sifilis kongenital atau HIV. Gabungan komitmen politik, sistem kesihatan yang jitu, pencegahan awal, diagnosis dan rawatan merupakan kunci kepada kejayaan,” sebelum beliau menambah “Semua negara patut mencontohi Malaysia dengan memastikan setiap anak lahir dengan permulaan yang bebas daripada HIV.”

    Memantau pengskalaan saringan dan rawatan untuk wanita mengandung menjadi tunjang kepada kayu ukur progress ke arah matlamat ini. Menilai berapa ramai orang dewasa dan bayi yang terkesan akibat sifilis pada peringkat daerah dan anggaran nasional adalah penting dalam mengemudi kapasiti sistem kesihatan untuk memperkuatkan lagi pencegahan, pengesanan dan rawatan sifilis.

    Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan