backup og meta

Kajian ACEs: Impak Zaman Kanak-kanak yang Wajib Anda Ketahui

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 12/05/2022

    Kajian ACEs: Impak Zaman Kanak-kanak yang Wajib Anda Ketahui

    Kajian tentang impak ‘Adverse Childhood Experiences’ atau pengalaman buruk zaman kanak-kanak merupakan antara kajian kesihatan awam yang paling besar dan penting di abad ini. Anda mungkin tidak pernah mengetahui atau mendengar tentangnya. Tetapi semenjak penemuan mengejutkan tentang kaitan pengalaman buruk zaman kanak-kanak dengan kesihatan, usaha berterusan dilakukan para pendokong dapatan kajian ACEs agar penemuan ini dimanfaatkan secara klinikal. Malah pakar mengatakan bahawa mengetahui skor ACEs anda sama pentingnya seperti mengetahui kadar BMI, kolesterol, tekanan darah dan berat badan anda.

    Apa itu kajian ACEs?

    Kajian ACEs dijalankan oleh Dr. Vince Felitti dan Dr. Bob Anda melalui kaji selidik 17,500 orang dewasa mengenai sejarah pendedahan kepada pengalaman buruk zaman kanak-kanak atau ACEs. Pengalaman buruk zaman kanak-kanak ini melibatkan tiga kategori utama iaitu penderaan, pengabaian dan masalah dalam keluarga. Ini termasuklah penderaan fizikal, emosi, atau seksual; pengabaian fizikal atau emosi; penyakit mental, penagihan dadah, atau pemenjaraan ibu bapa, pemisahan atau perceraian ibu bapa; atau keganasan rumah tangga.

    Bagi setiap soalan yang dijawab ya, anda akan mendapat mata pada skor ACEs anda. Dan kemudian apa yang mereka lakukan ialah mengaitkan skor ACEs ini terhadap keadaan kesihatan. Penemuan yang mereka dapati daripada kajian ini sangat menakutkan. Pertamanya, ACEs atau pengalaman buruk zaman kanak-kanak sangat biasa berlaku. 67% daripada populasi awam mempunyai sekurang-kurangnya satu ACE, dan 12.6% atau satu dalam lapan orang, mempunyai empat atau lebih ACE.

    Perkara kedua yang mereka dapati adalah bahawa terdapat hubungan saling terkait antara ACE dan keadaan kesihatan: semakin tinggi skor ACE anda, semakin teruk risiko kesihatan anda. Bagi seseorang yang mempunyai skor ACE sebanyak empat atau lebih, risiko penyakit paru-paru obstruktif kronik adalah 2.5 ganda berbanding seseorang dengan skor ACE sifar. Untuk hepatitis, ia juga 2.5 kali ganda. Untuk kemurungan, ia adalah 4.5 kali ganda.

    Sejarah kajian ACEs

    Kajian ACE dimulakan pada sebuah klinik obesiti di San Diego. Pada tahun 1985, Dr Vincent Felitti, ketua Bahagian Perubatan Pencegahan di Kaiser Permanente, San Diego, tidak dapat memikirkan mengapa, setiap tahun, lebih separuh daripada peserta di klinik obesitinya berhenti. Semakan sepintas lalu terhadap pencapaian peserta menghairankannya, mereka semua telah kehilangan berat badan ketika meninggalkan program. Mengapa peserta yang sedang berjaya kehilangan berat badan tidak mahu meneruskan program tersebut?

    Gusar dengan kadar berhenti yang tinggi pada klinik obesitinya, Felitti memutuskan untuk menyiasat misteri tersebut. Beliau menemui beberapa dapatan yang menghairankan, kesemua peserta yang berhenti dilahirkan dengan berat badan normal. Mereka tidak bertambah berat secara beransur-ansur. Sebaliknya, mereka bertambah berat secara mendadak dan kekal pada berat yang sama.

    Berasa hairan dengan dapatan tersebut, beliau membuat keputusan untuk melakukan wawancara secara bersemuka dengan beberapa ratus peserta yang berhenti. Dalam salah satu wawancara ketika bertanya usia peserta apabila aktif secara seksual, seorang peserta menangis apabila memberitahu bahawa sewaktu usia 4 tahun, dicabul oleh ayahnya sendiri. Terkejut dan tergamam dengan respon tersebut, beliau cuba bertanya soalan yang sama pada peserta lain. Hasilnya, daripada 286 orang peserta yang ditemuramah, hampir semuanya pernah didera secara seksual sewaktu kanak-kanak.

    Dapatan kajian ini membuka mata Dr Felliti bahawa obesiti bagi mangsa dera ini bukanlah masalah, sebaliknya satu penyelesaian. Kepada mereka, makan adalah satu penyelesaian. Dalam kes wanita yang telah dirogol, menjadi obes menyebabkannya berasa selamat dan tidak dapat dilihat oleh lelaki. Begitu juga masalah tingkah laku lain seperti penagihan dadah, alkoholisme, kurang aktiviti fizikal dan merokok didapati lebih tinggi pada mereka yang mengalami pengalaman buruk zaman kanak-kanak. Kerana semua ini adalah cara mereka menangani tekanan trauma lampau.

    Apabila badan mengingati trauma

    Kajian ACEs dan risiko kesihatan disebabkan trauma zaman kanak-kanak mengubah landskap bidang perubatan awam di peringkat global. Ini disebabkan impak pengalaman buruk zaman kanak-kanak memberi kesan kepada statistik semua krisis kesihatan awam seperti kemurungan, penyalahgunaan dadah, kanser, penyakit jantung, diabetes, obesiti dan banyak lagi.

    Kanak-kanak yang hidup dalam tekanan bertindak balas kepada dunia sebagai tempat bahaya yang berterusan. Dengan otak mereka berhadapan kebanjiran hormon tekanan dan tidak berfungsi dengan sewajarnya, mereka tidak boleh memberi tumpuan kepada pembelajaran. Mereka ketinggalan pelajaran di sekolah atau gagal membentuk hubungan yang sihat dengan rakan sebaya atau membuat masalah dengan guru dan pengetua kerana mereka tidak dapat mempercayai orang dewasa. Dengan rasa putus asa, rasa bersalah dan kecewa dalam psikologi mereka, mereka sering mendapat kesenangan dalam makanan, alkohol, merokok, seks bebas dan sebagainya.

    Mereka tidak menganggap perbuatan ini sebagai masalah. Secara sedar atau tidak sedar, mereka menggunakannya sebagai penyelesaian untuk melarikan diri dari kemurungan, kegelisahan, kemarahan, ketakutan dan rasa malu.

    Oleh itu, impak pengalaman buruk zaman kanak-kanak adalah begitu besar sekali bukan sahaja kepada individu tersebut, malah kepada masalah sosial dan ekonomi negara. Kanak-kanak yang terjejas dengan pengalaman buruk zaman kanak-kanak akan muncul dalam semua sistem perkhidmatan manusia sepanjang hayat – zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa – sebagai individu dengan masalah kesihatan tingkah laku, pembelajaran, sosial, jenayah, dan masalah kesihatan kronik.

    Oleh itu perlindungan kepada kanak-kanak adalah perlindungan kepada kesejahteraan negara dan masyarakat di masa hadapan. Tanpa menangani masalah ACEs atau pengalaman buruk zaman kanak-kanak, segala masalah kesihatan dan sosial yang merebak dalam masyarakat tidak akan dapat ditangani dengan tuntas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 12/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan