backup og meta

Ini Cara Mudah Elak Anak Obes Apabila Besar, Ibu Kena Berikan Si Manja Susu Badan Eksklusif

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/05/2021

    Ini Cara Mudah Elak Anak Obes Apabila Besar, Ibu Kena Berikan Si Manja Susu Badan Eksklusif

    Kita semua tahu mengenai kebaikan penyusuan susu ibu sama ada pada anak mahupun ibu itu sendiri. Tetapi tahukah anda, susu badan juga boleh mengurangkan risiko obesiti pada si manja?

    Ini penjelasannya.

    Kebaikan penyusuan susu ibu

    Penyusuan susu ibu sememangnya memberikan banyak faedah. 

    Sebelum ini pun, sudah ada yang mengatakan kaitan susu badan dengan peranannya mencegah masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak.

    Cuma, bukti yang diperolehi tidak begitu jelas dan agak kabur.

    Pun begitu, berdasarkan penyelidikan terkini mengesahkan, penyusuan secara eksklusif kepada anak yang terdedah dengan risiko obesiti secara genetik boleh memberikan kesan yang baik. 

    Ini terutamanya apabila melibatkan aspek nilai indeks jisim badan (BMI) ketika dewasa kelak. 

    Melalui kajian yang dijalankan menunjukkan, penyusuan susu ibu secara terus atau langsung daripada payudara kepada bayi dapat mengurangkan risiko obesiti pada tahap terendah. 

    Penyusuan itu perlulah dilakukan untuk tempoh 3 bulan pertama kehidupan si kecil.

    Kajian mengenai susu badan & risiko obesiti

    Kajian tentang manfaat susu badan dalam menurunkan masalah kegemukan ini melibatkan sekumpulan 5,266 bayi yang mempunyai risiko genetik mengalami obesiti yang tinggi.

    risiko obesiti

    Dalam penyelidikan tersebut mendapati bayi yang mendapat penyusuan susu ibu secara eksklusif untuk tempoh 5 bulan pertama kehidupan mempunyai pengaruh besar dalam mengurangkan BMI.

    Malangnya, kebaikan susu badan ini hanya dapat dinikmati oleh bayi yang diberikan penyusuan secara eksklusif untuk tempoh 3 bulan pertama kehidupan.

    Manakala, bayi yang diberikan penyusuan campuran – susu formula dan susu ibu – tidak mendapat manfaat perlindungan yang sama. 

    Masalah kegemukan kanak-kanak

    Obesiti, walaupun dialami pada zaman kanak-kanak, tetap boleh menyebabkan keadaan yang mengancam nyawa seperti masalah diabetes atau penyakit jantung

    Kebanyakan pakar bersetuju bahawa pemberian makanan yang diproses, peningkatan jumlah masa yang dihabiskan untuk bermain permainan video atau menonton TV dan isu kegemukan dalam kalangan ibu bapa sebagai antara penyebab utama obesiti kanak-kanak.

    Pun begitu, salah satu penyebab utama kegemukan kanak-kanak adalah faktor genetik kanak-kanak.

    Menurut pakar pemakanan pediatrik, seorang bayi boleh mempunyai kecenderungan untuk berdepan masalah obesiti disebabkan faktor genetik. 

    Ini terutamanya jika terdapat ahli keluarga terdekat seperti ibu, ayah, adik-beradik atau datuk nenek berdepan masalah kegemukan atau mengalami isu dengan pengurusan berat badan.

    Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk membendung risiko obesiti kepada kanak-kanak.

    Antaranya adalah melalui penyusuan susu ibu yang boleh dilakukan mulai hari pertama kehidupan anak. 

    Susu ibu juga dipercayai dapat membantu menjaga nilai BMI anak anda walaupun terdapat komponen genetik melibatkan obesiti dalam keluarga.

    Tetapi bagaimana penyusuan susu ibu secara eksklusif boleh mengurangkan peratusan risiko obesiti?

    Penyusuan susu ibu vs kadar obesiti

    Mesti ada dalam kalangan anda yang ingin tahu hubungan antara proses penyusuan secara eksklusif dengan penurunan risiko anak untuk mengalami obesiti, kan?

    Mulanya, hubungan antara kedua-dua perkara ini kelihatan agak kabur. 

    Pun begitu, 2 sebab ini dipercayai faktor utama menyebabkan bayi yang diberikan penyusuan susu badan mempunyai kadar BMI lebih rendah ketika dewasa nanti. 

    susu badan

    Pertamanya, susu badan secara positifnya dipercayai boleh mempengaruhi bakteria usus.

    Secara asasnya, ia menyokong pertumbuhan bakteria sihat di dalam semua sistem pencernaan tubuh. 

    Sebahagian bakteria usus ini mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam perkara seperti metabolisma tenaga, fungsi gen serta sistem imun.

    Mempunyai mikrobioma usus yang sihat – campuran bakteria, virus, dan kulat hidup dalam sistem pencernaan tubuh – dilihat dapat mempengaruhi berat badan seseorang individu ketika meningkat dewasa.

    Sebab yang kedua, bagaimana penyusuan susu ibu boleh menjadi penyebab kepada penurunan BMI adalah berkaitan dengan aspek mekanik.

    Jika anda boleh mengingati bagaimana penyusuan badan berfungsi, jelas bahawa bayi yang bertanggungjawab terhadap berapa banyak susu yang akan diminum dan bila. 

    Bayi akan menyusu mengikut keperluan tubuhnya. Lama-kelamaan, jumlah susu yang dihasilkan juga akan bersesuaian dengan permintaan bayi.

    Sebaliknya, bayi yang menyusu dengan susu botol, selalunya ibu bapa akan ‘memaksa’ si manja menghabiskan susu dalam botol, walaupun jumlah yang dibancuh melebihi keperluan mereka. 

    Perbuatan ini secara tidak langsung memberikan maklum balas kepada tubuh bayi bahawa mereka harus terus makan walaupun tidak lapar.

    Peranan ibu bapa

    Semestinya ibu bapa bertanggungjawab dalam mengatasi masalah obesiti pada kanak-kanak yang berisiko secara genetik.

    Berikut adalah 4 perkara dapat anda praktikkan untuk memberi anak permulaan yang terbaik dalam hal kesihatan sepanjang hayat:

    pemakanan seimbang

    • Jadi contoh terbaik dalam aspek pemakanan sihat. Masukkan banyak buah dan sayuran segar ke dalam diet keluarga anda. Jadikan ia sesuatu yang menyeronokkan dengan memberikan anak peluang memilih beberapa resepi untuk dicuba
    • Hadkan makanan yang diproses, gula tinggi dan lemak tepu. Pengambilan garam, gula, dan lemak yang tinggi dalam makanan ini selalu menjadi punca peningkatan risiko obesiti pada masa kanak-kanak
    • Buatkan anak-anak aktif. Libatkan mereka dalam sukan pada usia muda, dan tunjukkan minat terhadap sukan mereka. Lakukan aktiviti bersama keluarga seperti menaiki basikal atau berjalan kaki bersama. Sediakan juga permainan aktiviti fizikal yang menyeronokkan di rumah
    • Jangan mempermainkan isu berkaitan makanan. Ia tidak boleh dijadikan ganjaran ataupun hukuman

    Jika terdapat sebarang pertanyaan, dapatkan rundingan dan nasihat daripada doktor pakar untuk langkah pencegahan yang lebih baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan