backup og meta

Kulit Anak Kering? Jom Ketahui Cara Penjagaannya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/01/2020

    Kulit Anak Kering? Jom Ketahui Cara Penjagaannya

    Anak anda ada tabiat menggaru? Hmmm…cuba perhatikan adakah kulit anak kering? Jika ya, jom ketahui cara penjagaannya melalui perkongsian artikel dari Hello Doktor ini. 

    Memahami tentang kulit kering

    Masalah kulit kering atau kerengsaan boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia. Sama ada kepada individu dewasa, kanak-kanak mahupun bayi kecil. Malahan, kanak-kanak atau bayi merupakan golongan yang lebih mudah diancam dengan masalah kulit kering. Keadaan ini disebabkan oleh kulit mereka yang sebenarnya lebih halus dan lembut berbanding individu dewasa, sekali gus mengakibatkan kulit mereka mudah terdedah untuk menjadi kering.

    Keadaan kulit anak kering boleh berlaku disebabkan faktor seperti cuaca yang sejuk atau panas, penggunaan penyaman udara, klorin dalam air kolam, air garam serta kualiti udara yang tercemar. 

    Selain faktor atau punca yang disebutkan di atas, perkara lain yang turut meningkatkan kecenderungan anak untuk mengalami kulit yang kering adalah termasuk sejarah ahli keluarga dengan masalah alahan kulit, bahan kimia yang terkandung di dalam sabun mahupun detergen, pakaian dengan material sintetik dan alergi terhadap sesuatu jenis makanan mahupun minuman.

    Secara umumnya, kulit kering dalam kalangan kanak-kanak, boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:

    • Fisologi – Berlaku disebabkan pendedahan kepada cuaca dan suhu yang mengakibatkan dehidrasi, pendedahan atau sentuhan kepada bahan kimia yang menyebabkan kerengsaan kepada kulit dan sebagainya
    • Patologi – Melibatkan keadaan kesihatan seperti psoriasis, Ichthyosis, keratosis pilaris, Seborrhoeic dermatitis dan sebagainya

    Lapisan penghalang kulit

    Di samping itu punca lain adalah disebabkan lapisan penghalang semula jadi mereka (natural barrier layer) mudah terjejas dan mengakibatkan kulit mereka kehilangan lembapan lebih cepat. Perunding dermatologi di London’s Cranley Clinic, Dr Nick Lowe menjelaskan, “Lapisan penghalang kulit merupakan satu-satunya ‘tempat’ perlindungan yang kita ada. Ia melindungi diri kita daripada toksin, air dan juga mengurangkan atau mengawal kehilangan haba.”

    Tambah beliau lagi, kebanyakan lapisan ini akan mula terbentuk ketika bayi berusia 34 minggu dalam kandungan. Walau bagaimanapun, lapisan penghalang ini hanya akan menjadi matang sehinggalah bayi berusia enam bulan selepas dilahirkan. Sehingga ke saat itu, penting untuk anda menghindari sebarang bahan yang boleh menyebabkan kerengsaan kepada kulit bayi anda yang masih halus itu.

    Menurut seorang lagi perunding dermatologi dari London’s Cadogan Clinic, Dr Susan Mayou, “Satu daripada lima kanak-kanak terdedah untuk mengalami masalah berkaitan alahan kulit. Sekiranya anda mempunyai masalah kulit yang kering, ini bererti lapisan penghalang kulit anda tidak begitu efektif dan ia akan menyebabkan anda lebih mudah mengalami kerengsaan. Kawasan tempat tinggal anda juga memainkan penting yang boleh meningkatkan risiko mengalami masalah kulit yang kering.”

    Namun Dr Susan memberitahu, berita baik mengenai masalah berkaitan kulit ini adalah lebih kurang 50 peratus kanak-kanak dengan masalah kulit kering akan membesar dan tidak lagi berdepan dengan masalah kulit yang kering atau kerengsaan pada usia dua tahun, manakala lebih 90 peratus pula pada usia 15 tahun.

    Cara penjagaan kulit anak kering

    Berikut adalah beberapa langkah penjagaan untuk kulit anak kering:

    Kurangkan masa mandi

    Menurut pengarah dermatologi pediatrik di New York University School of Medicine, Seth Orlow, “Mandi akan mengeringkan kulit kerana ia menghilangkan minyak semula jadi kulit bersama-sama kotoran lain. Tetapi ia tidak bermakna anak anda tidak perlu mandi.”

    Cara yang terbaik bagi mengatasi masalah kulit anak kering adalah dengan mengurangkan tempoh mandi mereka. Jika anak anda selalu mandi lebih 30 minit, maka kurangkannya menjadi 10 minit sahaja.

    Elakkan daripada menggunakan air panas dan gunakan sabun pembersih badan tanpa wangian. Lebih baik jika ia merupakan sabun tanpa buih. Selepas mandi, jadikan satu rutin untuk menyapukan emolien (emollient) iaitu pelembap kulit.

    Menggunakan pelembap

    Sebaik sahaja anak anda selesai mandi, lapkan badannya dengan cepat dan sapukan pelembap segera. Tindakan meletakkan pelembap dalam tempoh beberapa minit selepas mandi akan dapat membantu mengekalkan air yang terdapat pada kulitnya. Sekiranya kulit anak kering lagi walaupun telah diletakkan pelembap harian, cuba beralih daripada losyen kepada penggunaan krim atau salap (ointment). 

    Salap merupakan satu pilihan terbaik dalam membantu mengekalkan kelembapan kulit tetapi ia boleh menyebabkan anak anda berasa berminyak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan ketidakselesaan kepada anak. Cara yang terbaik, pastikan anda menggunakannya dalam kuantiti yang sedikit dan gosokkan pada kulit dengan perlahan.

    Penggunaan pelembap dua kali sehari juga dapat membantu mengurangkan masalah kulit anak kering. Sapukan sekali selepas mandi pagi dan sekali ketika waktu tengah hari.

    Elakkan minyak zaitun atau minyak bunga matahari

    Minyak zaitun merupakan antara pilihan tradisional bagi kegunaan mengurut bayi. Tetapi ada kajian yang mengatakan kepekatan asid oleik (acid oleic) yang tinggi dalam minyak zaitun dapat merosakkan lapisan penghalang kulit dan berpotensi mendatangkan lebih mudarat kepada keadaan sedia ada. Malahan ia cenderung menyebabkan perkembangan masalah ekzema atopik. 

    Elakkan garam atau klorin

    Air garam ataupun air yang mengandungi klorin boleh menyebabkan kulit menjadi sangat kering. Jadi jika anda membawa si kecil mandi laut atau kolam renang, pastikan anda membilas badan mereka dengan air paip setelah selesai mandi. Jangan lupa untuk menyapu pelembap ketika kulit si kecil masih dalam keadaan lembap. 

    Gunakan humidifier

    Jika berkemampuan, anda boleh menggunakan pelembap kabut sejuk (cool mist humifier) di kediaman anda. Sudah tentu fungsinya adalah untuk membantu melembapkan udara dan sekali gus mengurangkan masalah kulit anak yang kering.

    Air yang mencukupi

    Jika kulit anak kering, ini bermakna kadar kelembapan dalam badan mereka adalah tidak mencukupi. Pastikan si kecil minum air dengan secukupnya untuk menggantikan kelembapan yang tersejat daripada kulit mereka. 

    Sekiranya si kecil anda masih bayi, kekalkan dengan rutin menyusu badan atau susu formula untuk enam bulan pertama, melainkan doktor menasihatkan untuk memberikan air kepada bayi atas sebab-sebab tertentu.

    Tetapi, minum air dalam jumlah yang banyak masih tidak akan dapat membantu mengatasi masalah kulit anak kering jika anda tidak membantu melembapkan kulit mereka dengan pelembap. 

    Cuaca panas

    Berada di Malaysia, bererti anda tidak dapat lari daripada cuaca sejuk dan panas sepanjang tahun. Tetapi itu tidak bermakna anda boleh mengambil mudah mengenainya. Pastikan anda mengambil langkah penjagaan dengan melindungi si kecil daripada terkena selaran matahari atau cuaca panas secara berlebihan.

    Bahan-bahan tertentu

    Elakkan daripada meletakkan bedak atau minyak wangi secara langsung kepada kulit anak anda. Sebaiknya anda disarankan untuk menggunakan produk pencuci tanpa pewangi atau produk pencuci khusus untuk bayi dan kanak-kanak. Ini terutamanya jika anak anda mempunyai kulit yang sensitif. 

    Pakaian dan kuku

    Jika kulit anak anda sangat sensitif, jangan biarkan anak memakai pakaian yang ketat atau material kasar. Juga perlu diingat bahawa beberapa material kain, seperti bulu, boleh menjadi sangat menjengkelkan kepada kulit kering. Pastikan kuku si manja sentiasa dipotong rapi dan pendek, jika kegatalan adalah masalah utama mereka. 

    Kesimpulannya

    Jika kulit anak kering, pastikan anda tidak menganggap ia sebagai satu masalah remeh. Jika kita sebagai individu dewasa akan berasa stres apabila berdepan dengan rasa gatal dan tidak selesa akibat kulit kering atau kulit sensitif, bayangkan pula perasaan si kecil yang mengalaminya?

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/01/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan