backup og meta

Vaksin: Apa Yang Ibu Bapa Perlu Tahu Mengenainya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/06/2020

    Vaksin: Apa Yang Ibu Bapa Perlu Tahu Mengenainya?

    Umum mengetahui bahawa vaksin adalah satu bentuk imunisasi yang dimasukkan ke dalam badan manusia dengan suntikan bertujuan memberikan antibodi kepada mereka. Antibodi ini merupakan senjata terkuat manusia untuk melawan pelbagai penyakit atau infeksi yang berbahaya seperti campak, beguk, rubella dan lain-lain. Namun begitu, wujud satu persoalan yang sering bermain di fikiran kita iaitu, apakah sebenarnya ia?

    Apa itu vaksin?

    Ia merupakan satu bahan kimia yang mengandungi antigen. Antigen ini diperolehi daripada sebahagian mahupun keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dilemahkan atau dimatikan. Mutakhir ini, kebanyakan vaksinasi disatukan dalam bentuk kombinasi. Beberapa jenis imunisasi digabungkan menjadi satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan atau imuniti daripada penyakit-penyakit ini dengan hanya satu suntikan sahaja.

    Menurut pakar pediatrik, suntikan imunisasi atau vaksinasi merupakan cara paling efektif untuk melindungi anak-anak daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit yang boleh membawa kematian. Prosedur ini merupakan cara yang paling mudah, selamat dan berkesan untuk membentuk imuniti dalam tubuh anak-anak sekali gus melindungi mereka daripada pelbagai jenis jangkitan penyakit berbahaya.

    Mengapa vaksin penting kepada bayi dan kanak-kanak?

    vaksin

    • Badan mereka tidak mampu untuk melawan penyakit

    Badan bayi dan kanak-kanak adalah sangat lemah dan masih belum mempunyai sebarang imuniti di dalam badan. Imuniti semula jadi dalam badan kanak-kanak hanya akan dibentuk sejurus anak anda mendapat sesuatu penyakit dan sembuh daripadanya. Proses ini sangat berisiko dan kadang-kadang boleh membawa maut. Oleh itu, suntikan imunisasi pada seawal usia anak anda merupakan cara terbaik bagi mengelakkan mereka menderita penyakit tersebut kelak.

    • Anak anda yang masih kecil sangat mudah dijangkiti penyakit

    Anak-anak yang masih kecil mempunyai sistem imun yang sangat lemah kerana sistem imun mereka belum lagi berkembang sepenuhnya. Oleh itu, vaksinasi sangat membantu dalam pengembangan sistem imun lantas menguatkannya. Program Imunisasi Kebangsaan (jadual imunisasi kanak-kanak) menyarankan kanak-kanak diberi suntikan vaksin seawal kelahiran lagi untuk memastikan mereka selamat dari segala kemungkinan penyakit.

    • Anak anda masih berisiko mendapat penyakit meskipun kelihatan sihat

    Anda tidak boleh menilai tahap kesihatan anak anda berdasarkan luaran sahaja. Meskipun kelihatan sihat dan kuat, penyakit-penyakit berbahaya boleh menyerang mereka bila-bila masa sahaja. Oleh itu sebagai tindakan berjaga-jaga, ibu bapa seharusnya memastikan anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi seawal usia lagi bagi menjamin kesihatan anak sepanjang mereka membesar kelak.

    • Perlindungan imuniti yang diperolehi daripada ibu tidak mencukupi

    Pada beberapa minggu terakhir kehamilan, ibu mampu memindahkan imuniti yang berbentuk antibodi-antibodi dalam badan mereka kepada anak dalam kandungan mereka. Namun begitu, proses ini hanya boleh berlaku sekiranya ibu tersebut pernah dijangkiti sesuatu penyakit dan sembuh daripadanya lantas menghasilkan imuniti. Imuniti ini juga boleh dipindahkan melalui susu ibu. Walau bagaimanapun imuniti ini hanya bersifat sementara kerana imuniti ini bukan dihasilkan oleh anak tersebut.

    • Merupakan cara paling efektif melindungi anak daripada serangan penyakit

    Suntikan imunisasi ini merupakan cara paling efektif kerana mencegah lebih baik daripada mengubati penyakit. Selain itu juga, vaksinasi turut berfungsi baik bersama dengan ubat-ubatan global lain contohnya antibiotik dan tidak mempunyai kesan sampingan yang lain.

    Disebabkan itu, anda sebagai seorang ibu bapa perlu memberikan perhatian yang khusus terhadap perkara ini dan memberi suntikan imunisasi yang sangat-sangat diperlukan oleh anak-anak demi menjamin kesihatan dan masa depan mereka.

    Namun begitu, telah timbul beberapa keraguan terhadap keberkesanan suntikan imunisasi ini. Masyarakat kini nampaknya mengambil mudah perihal vaksinasi terhadap anak-anak mereka mahupun diri sendiri. Ini mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan berkenaan vaksin ini dan sumbangannya di seantero dunia.

    Kini, vaksinasi menjadi topik perdebatan yang hangat sejak munculnya gerakan anti-vaksin. Dan kemudian, muncul pula cerita tentang vaksin yang dikatakan boleh menyebabkan autisme kepada bayi dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ini hanyalah sekadar mitos dan khabar angin yang dimulakan oleh golongan yang berfikiran sempit tanpa mengemukakan sebarang bukti saintifik.

    Fakta menarik mengenai vaksin yang ibu bapa perlu tahu

    vaksin

    Menurut World Health Organization (WHO), terdapat beberapa fakta berkenaan vaksin yang anda perlu tahu, iaitu:

    #1. Vaksinasi berjaya mencegah 2 hingga 3 juta kematian di dunia setiap tahun

    Hakikatnya, vaksinasi telah berjaya memainkan peranan penting dalam mencegah kematian disebabkan penyakit-penyakit seperti demam campak, batuk kokol, tetanus dan difteria. Sekiranya kesedaran terhadap kepentingan suntikan imunisasi ini terus meningkat di persada dunia, sebanyak 1.5 juta lagi kematian dijangka dapat dielakkan.

    #2. 19.5 juta kanak-kanak di bawah umur 1 tahun tidak menerima vaksin DTP3

    Sebanyak 60% daripada golongan kanak-kanak ini tinggal di 10 negara-negara berikut iaitu Afrika Selatan, Angola, Brazil, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Nigeria, Pakistan dan Republik Kongo.

    #3. Lebih ramai kanak-kanak di seantero dunia telah menerima vaksinasi

    Pada tahun 2016, anggaran sebanyak 116.5 juta atau 86% daripada kanak-kanak berumur bawah satu tahun telah menerima suntikan imunisasi diphtheria-tetanus-pertussis (DTP3). Penyakit-penyakit ini merupakan penyakit berbahaya yang boleh mendatangkan maut kepada mereka yang tidak mempunyai vaksin dalam badan.

    #4. Infeksi Meningitis A hampir dapat dihapuskan di Afrika menerusi vaksinasi

    Sejak pengenalan suntikan imunisasi Meningitis A di Afrika pada tahun 2010, penularan penyakit berbahaya ini telah dapat dikawal dan hampir dihapuskan di 26 buah negara Afrika yang merupakan kawasan panas virus ini tersebar. Kini, vaksinasi ini telah menjadi sebuah program rutin negara yang telah menyedari kepentingan vaksin.

    #5. Benua WHO Amerika telah diisytihar bebas daripada infeksi demam campak

    Pada tahun 2016, benua WHO Amerika telah menjadi kawasan pertama yang diisytihar sebagai bebas infeksi demam campak. Pencapaian ini merupakan hasil usaha 22 tahun yang melibatkan pengambilan vaksin measles-mumps-rubella (MMR) di kawasan tersebut.

    #6. Benua WHO Amerika dan Asia Tenggara berjaya menghapuskan tetanus neonatal

    Tetanus neonatal telah berjaya dihapuskan di benua WHO Asia Tenggara pada tahun 2016 serta di benua WHO Amerika pada tahun 2017. Namun begitu, tetanus neonatal ini tidak dapat dihapuskan sepenuhnya kerana bakteria yang menyebabkannya wujud di persekitaran manusia. Oleh itu, langkah terbaik bagi melawannya adalah suntikan imunisasi dan penjagaan kebersihan sepanjang proses melahirkan anak.

    #7. Kes demam campak telah berkurangan sebanyak 84% di seantero dunia

    Sepanjang tempoh tahun 2000 hingga 2016, kes kematian akibat demam campak di seluruh dunia telah menunjukkan pengurangan yang sangat drastik daripada 550,000 kepada 89,780 kes. Ini disebabkan oleh kesedaran masyarakat dunia terhadap kepentingan mengambil vaksinasi semakin meningkat.

    #8. Dunia semakin hampir untuk menghapuskan polio

    Pada tahun 2016, kes berkaitan polio telah berjaya dikurangkan dan hanya tiga negara sahaja kini yang masih dalam keadaan yang membimbangkan iaitu Afghanistan, Nigeria dan Pakistan. Sementara itu, India dan negara-negara di Asia Tenggara telah berjaya diisytiharkan sebagai bebas polio dan wabak yang menyerang kawasan Timur Tengah dan Tanduk Afrika pada tahun 2013 hingga 2014 telah berjaya dihapuskan.

    #9. Pelbagai progres penting dapat dilihat dalam kajian dan pembangunan vaksin

    Terdapat banyak progres penting yang berlaku dalam bidang ini. Di beberapa buah negara, vaksinasi baharu yang dapat melawan penyakit denggi telah berjaya dicipta dan dilesenkan. Selain itu, suntikan imunisasi pertama yang dapat melawan penyakit Malaria juga telah diterbangkan ke beberapa buah negara di Afrika pada tahun 2008.

    #10. Vaksin bertindak sebagai barisan hadapan melawan antimikrobial

    Penggunaan antibiotik yang berlebihan sebenarnya mampu mengundang bahaya kepada manusia. Vaksinasi pula merupakan alternatif yang lebih baik kepada antibiotik. Oleh itu, penggunaan suntikan imunisasi bagi menggantikan antibiotik pada masa akan datang merupakan idea yang terbaik untuk perubatan pada masa akan datang.

    Fakta-fakta berkenaan suntikan imunisasi di seluruh dunia di atas menunjukkan betapa keberkesanan vaksinasi terbukti di persada dunia. Akan tetapi, bagaimana pula penerimaan vaksin di Malaysia?

    Penerimaan vaksin di Malaysia

    vaksin

    Di Malaysia, penerimaan vaksin sebenarnya adalah disambut dan diterima dengan baik. Kebanyakan ibu bapa akan memberikan suntikan imunisasi kepada bayi mereka seawal usia mereka lagi. Pun begitu, masih ada lagi golongan yang tidak mempercayai vaksinasi. Malah lebih mendukacitakan lagi, mereka turut tidak membenarkan apa-apa vaksinasi kepada anak mereka.

    Seperti contoh yang kita tahu, selebriti tanah air iaitu Suhaimi Saad yang menegaskan bahawa dia tidak mempercayai vaksin kerana teguh dengan pendiriannya yang mengatakan individu yang hidup pada zaman Nabi dahulu sihat sahaja tanpa mengambil sebarang imunisasi. Ini adalah sama sekali pandangan peribadi beliau sahaja dan tidak wajar anda ikuti. Sila teruskan bacaan untuk mengetahui mengenai antivaksin di Malaysia.

    Apakah puncanya?

    vaksin

    Sebenarnya, pergerakan antivaksin di Malaysia sudah lama wujud di Malaysia. Disebabkan kita kini berada dalam era teknologi dan maklumat, pergerakan ini semakin berani menyebarkan ideologi mereka melalui laman sesawang terutamanya media sosial yang sangat mudah diakses oleh pelbagai golongan tidak kira tua atau muda.

    Menurut Datuk Dr. Musa Mohd Nordin yang merupakan Perunding Pediatrik dan Neonatologi di KPJ Damansara Specialist, kumpulan pergerakan antivaksin ini adalah satu gerakan oleh mereka yang tidak arif mengenai hal perubatan. Menurut beliau lagi, jika pencarian mengenai vaksin dibuat, 80 peratus laman sesawang berkenaan antivaksin akan timbul. Laman sesawang ini bukan sahaja akan memberi fahaman palsu malahan turut mengambil kesempatan untuk menjual produk.

    Pada hemat beliau, vaksinasi dari dahulu lagi telah banyak menimbulkan persoalan dan tentangan. Namun begitu, ia semakin teruk apabila seorang pelakon wanita Amerika, Jenny McCarthy mendakwa suntikan imunisasi merupakan punca anaknya menghidap autisme. Gara-gara kenyataan ini dan tanpa selidikan terperinci terlebih dahulu, fahaman antivaksin mula menular di segenap pelosok dunia melalui internet.

    Ini adalah sangat tidak wajar kerana ia merupakan satu kenyataan yang dibuat tanpa persetujuan mana-mana pakar perubatan. Walhal di Denmark, 2 juta kanak-kanak telahpun dikaji untuk melihat sama ada autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak yang divaksin ataupun tidak. Hasilnya, kajian ini menunjukkan vaksinasi bukanlah penyebabnya dan risiko autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak tanpa mengira mereka telah divaksin ataupun tidak.

    Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ada menyatakan bahawa gerakan kumpulan antivaksin ini adalah sesuatu yang serius serta perlu ditangani dengan bijaksana oleh ahli-ahli perubatan negara kita. Beliau juga bersetuju bahawa media sosial adalah medium utama yang digunakan untuk menyebarkan fahaman gerakan penolakan vaksin di negara kita.

    Menurut beliau lagi, isu ini sebenarnya tidak perlu ditimbulkan kerana sudah banyak kajian yang membuktikan vaksinasi digunakan untuk meningkatkan imunisasi dalam tubuh badan sejak dahulu lagi malahan telah terbukti berkesan secara klinikal.

    Beliau dan beberapa pakar perubatan lain termasuklah Dr. Nur Asyikin Mohd Yunus merupakan antara 30 ahli perubatan dan pakar dalam pelbagai bidang kesihatan seperti ortopedik, anaesthesiologi, oftalmologi dan farmasi yang membentuk komuniti Medical Mythbusters Malaysia (M3). Tujuan komuniti ini ditubuhkan tidak lain tidak bukan adalah menangkis maklumat perubatan palsu serta memperbetulkan mitos atau fitnah dalam bidang perubatan yang disebarkan menerusi media sosial. Paling penting, komuniti ini juga turut memperjuangkan isu pergerakan antivaksin yang kian membimbangkan di negara kita.

    Ternyatalah sebenarnya media sosial merupakan punca utama berlakunya penularan fahaman atau gerakan antivaksin di negara kita. Masyarakat sewajarnya mempunyai ilmu yang mencukupi tentang vaksinasi sebelum mula menyebarkan apa-apa maklumat berkenaan vaksin sebelum pengesahan terhadapnya dibuat oleh ahli perubatan.

    Apakah kesannya?

    vaksin

    Kesannya, masyarakat akan mulai takut dan bimbang akan kepentingan vaksinasi. Ada juga golongan ibu bapa terutamanya yang terpedaya dengan pergerakan antivaksin di negara kita lalu berkeras tidak mahu memberikan suntikan imunisasi kepada anak kecil mereka.

    Baru-baru ini, gempar satu Malaysia apabila bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Mohd Suhaimi Bin Saad mendedahkan bahawa beliau tidak percaya akan kepentingan vaksinasi menerusi laman media sosial beliau. Kenyataan ini mengundang pelbagai reaksi yang kebanyakannya negatif daripada netizen. Beliau merupakan antara selebriti terawal di Malaysia yang berani menyuarakan pendapat beliau berkenaan vaksinasi ini.

    Menurut Pakar Pediatrik terkemuka iaitu Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin akan membawa risiko bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada kanak-kanak lain yang belum divaksinasi ataupun yang tidak boleh divaksinasi. Antara golongan kanak-kanak yang tidak boleh divaksinasi adalah kanak-kanak yang mengalami leukemia dan barah, kanak-kanak yang berada di bawah pengambilan steroid dan ubat kanser serta kanak-kanak yang menghadapi HIV atau AIDS. Menurutnya lagi, tidak mengambil suntikan imunisasi akan menambahkan risiko kewujudan semula penyakit yang sudah hilang dalam tubuh badan seorang kanak-kanak.

    Disebabkan oleh pengaruh media sosial yang kuat dalam penularan pergerakan antivaksin di negara kita, ramai individu terutamanya ibu bapa telah terpengaruh dan cenderung ke arah fahaman antivaksin. Ini bakal mendatangkan kesan yang sangat teruk terhadap kesihatan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Masyarakat sewajarnya tidak mudah terpedaya dengan fahaman gerakan ini dengan menyiapkan diri dengan ilmu mengenai vaksinasi.

    Jadi, media sosial haruslah digunakan untuk tujuan yang baik seperti menyebarkan fakta atau maklumat yang telah diperakui. Media sosial bukanlah satu medium yang boleh digunakan untuk menyebarkan sesuatu fahaman yang bakal memberi implikasi buruk terhadap masyarakat kelak seperti fahaman antivaksin. Akhir sekali, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk memahami kepentingan vaksinasi terhadap anak agar hidup mereka lebih terjamin sihat dan sejahtera.

    Konklusi

    Konklusinya, vaksin adalah sangat penting buat setiap individu tanpa mengira usia, bangsa atau jantina. Disebabkan itu, ibu bapa perlu menjadi individu yang bertanggungjawab dengan memberi suntikan imunisasi ini kepada anak anda. Ini bertujuan untuk mengelakkan mereka terinfeksi dengan pelbagai penyakit berjangkit yang berbahaya buat nyawa mereka.

    Ketahuilah bahawa pergerakan antivaksin adalah suatu gerakan yang hanya berpegang kepada kepercayaan mereka sendiri tanpa merujuk kepada mana-mana pakar perubatan terlebih dahulu. Lagipun, keberkesanan vaksin sudah dapat dibuktikan di peringkat dunia lagi. Jadi, apa lagi yang anda tunggu?

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan