backup og meta

Anak Asyik Nak Mengunyah Saja Padahal Baru Lepas Makan? Ini Sebabnya, Mak Ayah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/05/2021

    Anak Asyik Nak Mengunyah Saja Padahal Baru Lepas Makan? Ini Sebabnya, Mak Ayah!

    “Mama, nak makan”, pinta si manja. Eh…tak sampai 15 minit makan tadi dah lapar balik? Pernah berdepan situasi anak sering lapar? Adakah keinginan untuk makan itu berbahaya?

    Kanak-kanak (dan juga individu dewasa) sering mengambil makanan walaupun bukan pada ketika lapar.

    Selalunya anak akan mempunyai keinginan untuk makan sebagai tindak balas terhadap emosi dan perasaan mereka. 

    Jika si manja sentiasa kelihatan lapar, mungkin mereka bukanlah benar-benar lapar secara fizikal. Diharapkan penjelasan berikut dapat membantu anda memahami keadaan si manja.

    Mengapa anak sering lapar?

    Sekiranya anak sudah makan 3 hidangan makanan seimbang bersama hidangan snek sehari tetapi masih mengadu lapar, mungkin ada faktor lain yang menjadi punca keinginan untuk makan itu. 

    Perhatikan keadaan anak dan tanyakan soalan berikut kepada diri anda sendiri:

    1. Adakah anak mempunyai keinginan untuk makan apabila berdepan dengan situasi berikut:

    sering lapar

    2. Adakah si manja makan pada waktu lain selain waktu hidangan makanan dan snek yang ditetapkan? Selalukah anak mengunyah makanan setiap masa?

    3. Adakah anda kerap memberi ganjaran makanan kepada anak? Sebagai contoh, jika si manja mendapat A dapat ujian, maka anda akan belanja aiskrim kepada mereka.

    Situasi ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada masalah obesiti anak.

    4. Adakah anda memberitahu semasa si kecil melakukan perkara yang betul? Kata sokongan yang diberikan boleh meningkatkan harga diri anak.

    Ia juga menjadikan mereka lebih bermotivasi untuk membuat keputusan tepat berkaitan kesihatan dan berat badan.

    5. Bagaimana cara anda berbual dengan anak? Adakah cenderung ke arah yang negatif dan kritikal?

    Percayalah, jika ini berlaku, ia situasi yang sukar tidak kira bagi sesiapa juga untuk melakukan perubahan dalam keadaan seperti itu.

    Sering lapar kerana bosan

    Jika mengesyaki anak mempunyai keinginan untuk makan kerana rasa bosan, anda mungkin perlu mengubah kecenderungan itu dengan melakukan aktiviti lain sebagai gangguan (distraction).

    Galakkan si manja untuk melakukan perkara lain selain daripada makan, seperti:

    • Berjalan di taman
    • Bermain basikal, badminton atau bola sepak
    • Melukis atau mewarna gambar
    • Melakukan aktiviti riadah seperti bermain kasut roda
    • Menari
    • Bermain dengan binatang peliharaan

    Sekiranya anda mahu memberikan snek, tawarkan snek sihat seperti sayuran mentah (lobak merak atau salad), buah-buahan, bertih jagung tanpa garam, atau sup sayuran.

    Elakkan daripada memberikan snek seperti kerepek kentang atau gula-gula. Makanan sebegitu biasanya tidak mempunyai kalori yang mengenyangkan. 

    Tabiat pemakanan sihat

    Berlainan pula keadaannya jika si manja sering lapar kerana rasa kelaparan yang sebenarnya. Pun begitu, terdapat 2 jenis rasa lapar yang utama: emosi dan fizikal.

    Rasa lapar disebabkan emosi bermakna pemakanan yang dilakukan adalah berkaitan dengan emosi.

    Makanan kelaparan fizikal melibatkan isyarat badan yang berasa lapar dan memerlukan tenaga dan nutrien.  

    Walau bagaimanapun, anda tidak perlu berasa takut atau bimbang untuk membiarkan si kecil berasa lapar sekali sekala, sama ada dari segi emosi atau fizikal.

    Perubahan hormon dan proses tumbesaran kanak-kanak juga boleh menjadi punca anak sering lapar dengan lebih kerap. Jadi penting untuk anak mendengar isyarat lapar daripada badan mereka. 

    Tetapi bagaimana untuk menentukan keinginan untuk makan anak itu kerana rasa lapar yang sebenar?

    Jangan bimbang, gunakan skala kelaparan di bawah untuk mengetahui perbezaan antara kelaparan fizikal atau makan kerana emosi.

    Penggunaan skala kelaparan

    Sebelum waktu hidangan makan, tentukan kadar kelaparan anak daripada skala 1 hingga 10:

    • 1 bermakna benar-benar lapar
    • 5 bermaksud berada di tengah antara lapar dan kenyang
    • 10 membawa erti sudah terlebih kenyang

    Ia mungkin memerlukan masa untuk menentukan bagaimana rasanya skala kelaparan 2 atau 7. Anda juga boleh bertanyakan si manja untuk menentukan tahap kelaparannya. 

    Secara asasnya, waktu ideal untuk makan apabila lapar ketika berada pada skala 2 atau 3. Pada saat ini, keinginan untuk makan anak dipengaruhi oleh keadaan lapar fizikal. 

    Pada saat kelaparan fizikal menyerang, ia akan menggalakkan si manja untuk makan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, kekacang atau yogurt. 

    keinginan untuk makan

    Minta anak berhenti makan apabila berada pada skala 7.

    Elakkan daripada membiarkan rasa lapar itu jatuh sehingga skala 1. Jika tidak, wujud risiko untuk makan berlebihan.

    Jika seorang itu mula makan pada skala melebihi 5, biasanya rasa sering lapar itu adalah dipengaruhi oleh emosi. 

    Makan kerana emosi bukanlah sesuatu yang tidak baik, cuma ia boleh menjadi satu kecenderungan untuk makan bagi mengatasi keadaan melibatkan emosi.

    Elakkan tabiat makan mengikut emosi

    Tidak salah untuk anak mengadu sering lapar jika keinginan untuk makan itu tidak dipengaruhi emosi.

    Namun jika kehendak untuk mengunyah atau makan itu dirasakan keterlaluan sehingga berisiko menyebabkan masalah kesihatan seperti obesiti, dapatkan rundingan doktor untuk mengetahui cara terbaik mengatasinya.  

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan