backup og meta

Bukan Orang Dewasa Sahaja, Kanak-kanak Turut Berisiko Menghidapi GOUT!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/06/2022

    Bukan Orang Dewasa Sahaja, Kanak-kanak Turut Berisiko Menghidapi GOUT!

    Penyakit gout adalah sejenis keradangan yang berlaku pada sendi dan selalunya akan menyerang bahagian kaki. Kebanyakan kes gout akan berlaku kepada orang dewasa namun golongan kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada kondisi ini. Jadi, ibu bapa sila jaga-jaga ya?

    Untuk mengelakkan si manja anda dari mengalaminya, pengetahuan yang mendalam mengenai penyakit ini dapat membantu melindungi anda dan anak anda daripadanya. Dengan ini juga, ia sudah tentu dapat membantu anda mengetahui bagaimana untuk merawatnya jika ia terjadi!

    Jadi, jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengenai penyakit gout dalam kalangan kanak-kanak.

    Petanda penyakit gout dalam kalangan kanak-kanak

    gout

    Untuk pengetahuan anda, kanak-kanak juga berisiko menghidapi gout meskipun risikonya tidak setinggi jika hendak dibandingkan dengan orang dewasa. Persoalannya, bagaimana untuk mengetahuinya? Adakah terdapat sebarang petanda yang jelas?

    Sekiranya anak anda diserang gout, berikut merupakan simptomnya:

  • Kesakitan yang teruk pada bahagian sendi yang terjejas
  • Mungkin satu atau lebih bahagian sendi akan terjejas seperti pergelangan tangan, ibu jari kaki atau pergelangan kaki
  • Anak anda mungkin tidak lagi mampu untuk melakukan aktiviti fizikal atau mengangkat beban yang berat
  • Kesakitan ini selalunya akan berlaku pada waktu pagi dan malam
  • Pembengkakan dan keradangan yang mungkin menyebabkan anak anda akan berasa sangat panas pada bahagian sendi yang terjejas
  • Jika anda sentuh sendi yang terjejas itu, ia akan mendatangkan rasa sakit
  • Kulit di sekeliling sendi yang terjejas akan berubah warna seakan kemerahan atau keunguan
  • Anak anda akan mengalami demam sehingga menggigil
  • Anak anda akan hilang selera makan sehingga tidak mahu langsung untuk makan
  • Bilakah anda perlu membawa anak anda berjumpa doktor?

    Anda perlu membawa anak anda berjumpa doktor jika anda mengesyaki anak anda diserang gout dan ia belum pernah didiagnosis sebelum ini. Selain itu, anda perlu membawa anak anda ke hospital sekiranya kesakitan yang dialami oleh anak anda bertambah teruk dan anak anda mengalami demam dengan suhu badan yang tinggi.

    Kondisi anak anda seharusnya didiagnosis dan dipastikan oleh pakar perubatan profesional kerana ada kondisi yang perlu dirawat dengan kadar segera.

    Jika anak anda pernah didiagnosis dengan gout dan masih tidak menunjukkan kemajuan setelah makan ubat yang dipreskripsi oleh doktor, mereka mungkin perlu ubat yang lain. Sebarang simptom yang abnormal perlukan pemerhatian lebih spesifik daripada doktor.

    Faktor risiko gout dalam kalangan kanak-kanak

    gout

    Anda mungkin pernah terdengar tentang asid urik yang datangnya daripada badan ataupun makanan. Apabila asid urik ini mula berkumpul dalam darah dan buah pinggang tidak lagi mampu untuk menapisnya, kristal akan mula terbentuk pada bahagian sendi yang terjejas lantas menyebabkan kesakitan dan pembengkakan.

    Punca kanak-kanak diserang gout sebenarnya masih tidak jelas. Kajian menunjukkan bahawa gout dalam kalangan kanak-kanak mungkin berpunca daripada:

    • Gangguan genetik hyperuricemia (kandungan asid urik yang tinggi dalam badan) yang diwarisi
    • Kecederaan atau pembedahan yang pernah berlaku
    • Jantina: kanak-kanak lelaki lebih berisiko diserang gout berbanding kanak-kanak perempuan
    • Keturunan: genetik daripada ibu bapa yang mempunyai gout
    • Obesiti: kanak-kanak yang obesiti lebih berisiko diserang gout
    • Ubat: ada sesetengah ubat yang mampu meningkatkan risiko gout dalam kalangan kanak-kanak seperti diuretik
    • Tumor dan kanser
    • Kekurangan enzim
    • Pendedahan kepada plumbum: anak anda turut berisiko diserang gout jika terdedah kepada plumbum dalam jangka masa yang lama

    Rawatan bagi kanak-kanak yang diserang penyakit gout

    Tujuan rawatan gout ini adalah meredakan simptom dan mengelak komplikasi kelak. Caranya, doktor akan menyarankan anak anda mengambil non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs).

    Paling penting, pastikan sendi yang terjejas sentiasa berada pada kedudukan yang tinggi seiring dengan dada bagi membantu mengurangkan keradangan.

    Bagi mengelak komplikasi dan serangan pada masa akan datang, anak anda perlu melakukan lebih banyak senaman, menukar diet dan mengambil ubat yang dapat membantu mengurangkan kandungan asid urik dalam darah.

    Dalam pada itu, sentiasa ingatkan mereka untuk melakukan senaman atau anda sendiri boleh menunjukkan contoh yang baik dan bersenam bersama mereka!

    Konklusi

    Kesimpulannya, jangan sangka penyakit gout hanya boleh terjadi kepada orang dewasa sahaja kerana golongan kanak-kanak juga mempunyai risiko yang agak tinggi. Jadi, ibu bapa sila jaga-jaga dan perhatikan si manja anda sekiranya ada tanda-tanda mereka mengalami kondisi ini ya!

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan