backup og meta

Parents, Usah Leka! Utamakan Keselamatan Anak Di Rumah Semasa PKPB, Awasi 5 Perkara Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/07/2021

    Parents, Usah Leka! Utamakan Keselamatan Anak Di Rumah Semasa PKPB, Awasi 5 Perkara Ini

    Perihal keselamatan anak adalah perkara yang tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi dalam situasi jangkitan COVID-19 ini. Jom ketahui cara penjagaan yang boleh ibu bapa lakukan. 

    Jangkitan COVID-19 merubah segalanya

    Penularan wabak jangkitan COVID-19 telah mewujudkan satu kehidupan baharu. Banyak perubahan yang berlaku seperti berkaitan jarak sosial, bekerja dari rumah, dan cuti sekolah yang panjang. 

    Kebanyakan ahli keluarga, kini lebih kerap berada di rumah. Ini sekali gus meningkatkan pelbagai risiko kecederaan kepada anak-anak

    Sempena Bulan Perlindungan Keselamatan Kanak-kanak yang disambut pada November setiap tahun, kami di Hello Doktor ada beberapa tip penjagaan keselamatan anak dan keluarga ketika berada di rumah. 

    Keselamatan anak: Penggunaan internet

    Mempunyai anak yang tergolong dalam kelompok remaja, pastinya anda sebagai ibu bapa menyedari betapa penggunaan internet menjadi perkara penting dalam kehidupan sosial mereka.

    Tiada salahnya. Cuma anda perlu pastikan mereka menggunakan internet dan sebarang media sosial dengan penuh tanggungjawab dan selamat.

    Ini terutamanya jika anda tidak dapat memantau aktiviti dalam talian mereka sepanjang hari.

    Anda juga boleh menetapkan kawalan ibu bapa untuk melindungi anak-anak daripada laman web tertentu di internet.

    penggunaan internet

    Keselamatan barang permainan

    Anda mungkin serabut memikirkan aktiviti yang menarik untuk anak-anak bermain, apatah lagi jika melibatkan barang permainan.

    Walaupun mainan dilihat seperti barang yang tidak mendatangkan bahaya di rumah, namun, ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian, khususnya yang melibatkan kesesuaian barang permainan mengikut usia anak

    Sesetengah barang permainan, ada yang menggunakan bateri. Jika tertelan, bateri akan mula melepaskan caj sebaik sahaja bersentuhan dengan lapisan lembap pada saluran pencernaan atau pernafasan.

    Ini sekali gus meningkatkan risiko potensi luka terbakar yang teruk. 

    Untuk penjagaan keselamatan anak, penting untuk memberikan mereka akses kepada mainan yang bersesuaian dengan usia.

    Lagi-lagi jika anda terpaksa menghadap kerja di rumah dan membiarkan anak bermain sendirian. 

    Keselamatan anak: Ubat-ubatan dan barang berbahaya lain

    Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, anak-anak akan lebih kerap berada di dalam rumah, jadi risiko mereka terambil ubat atau bahan pencuci dan memakannya secara tidak sengaja adalah tinggi. 

    Dalam usaha melawan penularan jangkitan COVID-19, pastinya ramai ibu bapa akan melakukan yang terbaik. Ini termasuklah dalam penggunaan bahan pembersih atau pembasmi kuman.

    Jika anda baru membeli produk pembersih atau pembasmi kuman, tentukan bahawa produk tersebut disimpan di tempat yang selamat.

    Untuk keselamatan anak, jauhkan sebarang ubat-ubatan dan barangan berbahaya daripada mudah dicapai anak-anak. 

    Sekiranya, ada ubat yang telah tamat tempoh, lupuskannya dengan cara yang betul. 

    Keselamatan di luar rumah

    Seharian berada di rumah sudah tentu akan mengundang kebosanan pada anak-anak. Jadi apa kata bawa mereka untuk melakukan aktiviti di luar rumah. Eh, boleh ke?

    Dalam tempoh PKPB ini, tiada halangan untuk keluarga melakukan aktiviti riadah di luar rumah.

    Bahkan, ia sangat digalakkan untuk membantu meningkatkan emosi dan menjadikan mereka aktif. 

    Cuma, jika ingin beriadah di taman, jauhkan daripada bermain di taman permainan buat masa ini.

    Keadaan ini adalah kerana virus jangkitan COVID-19 boleh bertahan untuk satu tempoh pada permukaan yang keras seperti buaian dan gelongsor. 

    Berdasarkan penyelidikan, virus ini boleh hidup di permukaan yang berlainan.

    Ia mampu bertahan sehingga tempoh 72 jam pada barangan plastik dan keluli tahan karat, hingga 4 jam pada barangan tembaga, dan hampir 24 jam pada permukaan kadbod.

    Keselamatan anak ketika melakukan aktiviti berbasikal

    aktiviti berbasikal

    Walau bagaimanapun, menunggang basikal adalah antara kegiatan terbaik untuk menikmati aktiviti luar terutamanya pada waktu petang.

    Tidak kira jika anda tinggal di kawasan persekitaran yang tenang atau sibuk, ingatkan anak tentang keselamatan lalu lintas.

    Semasa menunggang basikal atau skuter, pastikan anak dipakaikan topi keledar keselamatan untuk mengelakkan sebarang kecederaan.

    Berdasarkan data daripada Institut Insurans untuk Keselamatan Jalan Raya menunjukkan, pemakaian topi keledar semasa menunggang basikal dapat mengurangkan 50% risiko kecederaan di kepala. 

    Oleh itu, penting untuk memastikan anak memakai topi keledar yang bersesuaian ketika berbasikal.

    Tingkatkan tahap keselamatan di rumah untuk si manja

    Perihal keselamatan anak kecil di rumah juga tidak boleh diabaikan.

    Umumnya, kebanyakan barangan perabot di rumah bukanlah direka sebagai mesra kanak-kanak. Maka, sudah pasti risiko kecederaan adalah tinggi.

    Namun, usah risau, berikut 3 petua untuk membantu wujudkan tempat yang lebih selamat untuk si manja bermain di rumah.

    Kedudukan televisyen

    Bagi televisyen panel rata, sebaiknya dipasangkan pada dinding. Jika TV anda bersaiz besar, pastikan perabot yang digunakan rendah dan mampu menampung berat.

    Gunakan anti-tip brackets untuk melekatkan perabot berat ke dinding. 

    Dengan memastikan kedudukan TV dan perabot selamat, pastinya anda dapat mencegah daripada terjadinya sebarang risiko kecederaan pada anak.

    jangkitan COVID-19

    Balkoni dan tingkap

    Dalam keadaan cuaca yang panas, pastinya kita akan terdorong untuk membuka pintu balkoni dan tingkap untuk mendapatkan cuaca segar. 

    Jadi sentiasa pantau keadaan anak. Elakkan daripada membiarkan mereka sendirian berhampiran pintu balkoni atau tingkap. 

    Jika boleh, pasang pelindung keselamatan tingkap.

    Pagar keselamatan

    Sekiranya rumah anda mempunyai tangga, sebaiknya gunakan pintu/pagar keselamatan untuk menghalang si manja daripada mendekati bahagian tersebut. 

    Dalam proses pemasangan, pastikan anda membaca arahan dan label amaran pengeluaran untuk menentukan kaedah dan cara memasangnya yang betul.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan