backup og meta

Kesedihan: Bantu Anak-anak Memahami

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/09/2023

    Kesedihan: Bantu Anak-anak Memahami

    Apabila kehilangan insan yang tersayang, bantu anak-anak memahami erti kehilangan tersebut. Sebagai ibu bapa, kita semua mahu mengelakkan kesakitan, ketakutan, dan kesedihan kepada anak-anak kita. Tetapi menyembunyikan perkara sebenar tentang kematian akan mendatangkan kesan yang tidak baik. Sekiranya ibu bapa tidak selesa untuk bercakap mengenai kematian individu yang disayangi dan cuba untuk meyembunyikan apa yang dirasai, anak-anak mungkin akan memikirkan bahawa ia adalah satu perkara yang pantang untuk dibualkan dan dipersoalkan.

    Sebenarnya, ia adalah satu perkara yang penting untuk menggalakkan anak-anak meluahkan kesakitan yang dirasai dan tunjukkan kepada mereka bahawa anda sebagai individu dewasa juga turut melakukan perkara yang sama. Jujur dalam apa yang dikatakan dan fokus tentang ketakutan yang dialami.

    Berlaku jujur

    Jika anda cuba untuk meringankan kesakitan dengan berkata, “Usah bersedih. Jangan menangis…”, ini hanya akan membuatkan anak-anak merasakan bahawa emosi mereka tidak dihargai. Mereka akan takut untuk meluahkannya, dan akan memendamnya sehingga dewasa.

    Anak-anak mungkin akan takut melihat ibu bapa mereka menangis. Anda sebagai ibu bapa tidak perlu berlagak bahawa anda kuat, biarkan anak-anak melihat anda menangis. Ia adalah sebagai isyarat kepada mereka bahawa menangis itu bukan satu kesalahan. Katakan kepada mereka, “Saya menangis kerana sedih akan kehilangan ini. Tetapi kita semua pasti akan dapat melaluinya.”

    Jika anak anda tidak kelihatan sedih, itu tidak bermakna dia tidak peduli tentang kehilangan dalam keluarga. Atau jika anak anda terlalu bersedih dan menangis, itu juga tidak bermakna bahawa dia berpura-pura sedih di hadapan khalayak.

    Anak-anak dibawah usia 6 tahun mungkin tidak dapat memahami kesedihan yang dialami oleh individu dewasa, bahawa kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, jika ada masanya mereka inginkan individu yang telah pergi itu kembali, anda perlu menerangkannya dengan sabar bahawa ia tidak mungkin akan terjadi.

    Fokus kepada ketakutan

    Anak-anak berusia antara 3 dan 5 tahun biasanya percaya tentang sesuatu yang luar biasa, jadi mereka mungkin terfikir bahawa mereka yang menyebabkan kematian individu yang disayangi. Sebagai contoh, anak yang kematian salah seorang adiknya akibat kemalangan, mungkin akan menyalahkan dirinya kerana memarahi adiknya. Anda boleh mengelakkan anak anda dari terus berfikiran sebegitu dengan mengatakan, “Ada masanya kanak-kanak seperti awak merasakan awak telah membuatkan individu yang awak sayang pergi, tetapi ia bukan seperti itu. Adik awak pergi kerana kemalangan dan tiada siapa dapat melakukan apa-apa.”

    Antara ketakutan yang paling besar buat kanak-kanak adalah kehilangan ibu bapa. Ketakutan ini adalah semakin ketara jika kanak-kanak ini pernah alami kehilangan ahli keluarga yang lain. Anak anda mungkin akan berfikir: “Jika atuk meninggal, mungkin nanti ayah juga akan meninggal.” Anak anda mungkin akan bertanyakan kepada ayahnya tentang perkara ini, atau jika dia tidak bertanya, anda masih boleh terangkan kepadanya. Katakan “Apabila atuk dan nenek meninggal, kanak-kanak selalu akan merasakan ibu bapa juga akan meninggal. Saya nak awak tahu bahawa saya akan terus hidup bersama keluarga sehinggalah awak dewasa.”

    Terangkan ‘kematian’

    Jangan beritahu kepada anak anda bahawa kematian adalah: ‘tidur dan tidak akan bangun’. Mengatakan sedemikian hanya akan membuatkan anak anda menghadapi masalah untuk tidur. Sebaliknya, katakan: “Tubuh anda telah berhenti berfungsi dan tidak akan berfungsi lagi.”

    Pakar psikologi di negara membangun menyarankan bahawa kita seharusnya mengelakkan dari menyebut terlalu banyak perkataan ‘Syurga’ kerana ia akan membuatkan kanak-kanak terdedah kepada dua situasi ekstrem: anak akan menjadi tidak mahu untuk pergi ke syurga atau anak anda mempunyai keinginan yang melampau untuk ke syurga.

    Sebaiknya, kita jelaskan kepada mereka bahawa “Apabila seseorang individu itu meninggal, mayat mereka akan dikebumikan. Tetapi jiwa, bahagian yang diciptakan oleh Tuhan sebagai sesuatu yang istimewa, berbanding makhluk lain, akan pergi ke syurga. Dan ia juga akan sentiasa kekal dalam ingatan kita.”

    Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan