backup og meta

Hidung Tersumbat Buat Bayi Tidak Mahu Menyusu? Ini Cara Rawatan Di Rumah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    Hidung Tersumbat Buat Bayi Tidak Mahu Menyusu? Ini Cara Rawatan Di Rumah

    Ketidakselesaan yang disebabkan oleh masalah hidung bayi tersumbat adakalanya membuatkan anak tidak mahu menyusu dan sukar tidur. Ada ke kaedah rawatan untuk mengatasi masalah ini?

    Masalah hidung bayi tersumbat

    Situasi hidung tersumbat  atau nasal congestion adalah perkara biasa untuk berlaku kepada bayi. Keadaan ini umumnya tidak mendatangkan risiko bahaya, cuma ia akan menyebabkan bayi berasa tidak selesa.

    Keadaan hidung bayi tersumbat ini berlaku apabila saluran darah dan tisu di rongga hidung berisi terlalu banyak cecair. Ia boleh menyukarkan bayi untuk tidur dan menimbulkan masalah seperti jangkitan sinus (sinusitis).

    Bayi yang berdepan masalah ini mungkin akan mengalami kesukaran untuk menyusu

    Simptom dan punca hidung bayi tersumbat

    Bayi yang mengalami hidung tersumbat mungkin akan mengalami gejala seperti: 

    hidung bayi tersumbat

    Faktor yang mungkin menjadi punca kepada masalah hidung bayi tersumbat termasuklah: 

    • Alahan
    • Virus, termasuk selesema
    • Udara kering
    • Kualiti udara yang buruk
    • Deviated septumketidaksejajaran dinding nipis (septum hidung) yang memisahkan kedua-dua lubang hidung, menjadikan satu saluran hidung lebih kecil

    Kaedah rawatan untuk hidung bayi tersumbat

    Oleh sebab anda tidak boleh memberi bayi dan kanak-kanak sebarang ubat selesema, pastinya kaedah rawatan di rumah yang mudah boleh membantu memberikan kelegaan kepada mereka daripada keadaan hidung tersumbat dan berair ini.

    Ubat titis hidung dan alat penyedut

    Salah satu kaedah rawatan yang selamat dan berkesan untuk membantu mengatasi masalah hidung tersumbat yang dialami anak adalah dengan menggunakan semburan air garam atau ubat titisan hidung.

    Produk ini boleh dibeli di farmasi atau kedai ubat tanpa memerlukan preskripsi. 

    Jika anda menggunakan ubat titisan hidung, letakkan dua titisan ubat pada setiap lubang hidung untuk melonggarkan hingus di dalamnya. Kemudian gunakan alat sedutan dengan segera untuk menyedut air garam dan hingus.

    Anda juga boleh meletakkan tuala gulung di bawah bahagian bahu bayi untuk memudahkan anda memegang kepala mereka. Ini bagi memastikan titisan air dapat masuk ke hidung.

    hidung bayi tersumbat

    Picit alat penyedut sebelum anda meletakkannya pada hidung bayi. Dengan cara ini, apabila anda melepaskannya, ia akan menyedut keluar hingus atau lendir daripada dalam hidung.

    Tetapi jika anda menekan alat penyedut ketika sudah berada dalam lubang hidung, ia akan mengeluarkan angin yang hanya akan mendorong hingus dan lendir untuk masuk lebih jauh ke dalam rongga hidung.

    Picit keluar lendir yang berada di dalam alat penyedut ke atas tisu.

    Lakukan kaedah rawatan ini dalam tempoh 15 minit sebelum menyusukan si manja dan sebelum waktu tidur. Ini akan membantu mereka untuk bernafas dengan lebih mudah ketika penyusuan badan atau menyusu botol, mahupun semasa tidur. 

    Ketika memilih larutan air garam, perhatikan dengan betul. Ini kerana terdapat beberapa larutan air garam yang mungkin mengandungi ubat. Anda disarankan untuk tidak memilih larutan air garam dengan ubat.

    Titisan air garam biasa sudah berfungsi dengan baik untuk si manja. Cuma pastikan anda mencuci dan mengeringkan alat penyedut setiap kali selepas penggunaannya.

    Alat pelembap udara

    Kaedah rawatan lain dalam mengatasi hidung bayi tersumbat adalah dengan menambahkan kelembapan ke udara. Ia dapat mengelakkan lendir mengering di dalam hidung bayi anda. 

    Cara mudah menambahkan kelembapan adalah dengan menggunakan alat pelembap udara (humidifier).

    Penggunaan alat pelembap yang akan melepaskan wap sejuk ke dalam bilik biasanya adalah selamat, selagi anda menjauhkannya daripada capaian si manja. 

    Tetapi ketika anda berada bersama bayi, seperti saat bermain atau semasa menidurkan mereka, letakkan alat tersebut dalam jarak yang cukup dekat agar wap tersebut sampai kepada si manja. 

    Untuk mengelakkan pertumbuhan kulat atau bakteria, tukar air di dalam alat pelembap udara ini setiap hari. Cuci dan keringkan penyejatnya mengikut arahan pengeluar. 

    hidung bayi tersumbat

    Penggunaan ubat dan vapor rub

    Kebanyakan ubat selesema adalah tidak selamat untuk digunakan kepada bayi dan kanak-kanak di bawah usia 4 tahun.

    Manakala vapor rub pula selalunya akan mengandungi menthol, eucalyptus atau kapur barus yang berisiko mendatangkan bahaya kepada anak di bawah usia 2 tahun. 

    Malah, American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan untuk ibu bapa berbincang dengan pakar pediatrik sebelum memberikan sebarang ubat selesema kepada kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun.

    Ini kerana masih tiada bukti penggunaan ubat tersebut akan dapat mengurangkan simptom selesema pada anak, bahkan, ia berpotensi mendatangkan bahaya. 

    Langkah pencegahan

    Malangnya, masalah hidung bayi tersumbat atau berair adalah sebahagian daripada proses tumbesaran mereka dan tiada apa yang boleh anda lakukan untuk mencegahnya.

    Namun, anda boleh meminimumkan risiko dengan kerap mencuci tangan anda dan si manja. Serta pastikan individu lain yang ingin bersentuhan dengan bayi anda turut melakukan perkara sama. 

    Tindakan ini sekurang-kurangnya boleh memastikan si kecil terhindar daripada jangkitan.

    Pemeriksaan doktor

    Hidung tersumbat adalah masalah biasa untuk berlaku kepada bayi dan kanak-kanak. Adakalanya ia disebabkan persekitaran dan faktor genetik. Kaedah rawatan di rumah adalah cukup untuk mengatasi keadaan ini.

    Pun begitu, jika keadaan anak tampak semakin teruk sehingga mereka tidak mahu menyusu atau wujud sebarang perkara yang membimbangkan, segera bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan