backup og meta

Penyusuan Susu Ibu: Mampu Mencegah Malnutrisi Dalam Kalangan Bayi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 17/06/2020

    Penyusuan Susu Ibu: Mampu Mencegah Malnutrisi Dalam Kalangan Bayi

    Sesungguhnya, penyusuan susu ibu atau susu badan adalah sumber susu yang paling terbaik buat bayi. Ia mengandungi pelbagai nutrien dan khasiat yang akan mendatangkan seribu satu manfaat untuk tumbesaran bayi. Disebabkan itu, ia merupakan makanan atau minuman semula jadi atau utama bayi terutamanya yang baharu lahir ke dunia ini.

    Meskipun terdapat pelbagai alternatif kepada sumber susu seperti susu formula atau susu segar, ia adalah tidak sama dengan susu badan. Ia adalah satu anugerah tidak ternilai daripada pencipta kita yang diamanatkan untuk disampaikan kepada cahaya mata kita. Jadi, kebaikan penyusuan susu ibu sebenarnya tidak perlu diragukan lagi.

    Antara kebaikan yang seringkali diberitahu kepada kita ialah susu ibu mampu mencegah malnutrisi dalam kalangan bayi. Sejauh manakah kebenaran pernyataan ini? Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

    Apakah itu penyusuan susu ibu?

    Sebelum itu, anda sebagai ibu bapa perlu tahu terlebih dahulu apakah itu penyusuan susu ibu atau susu badan. Ia adalah susu daripada payudara si ibu yang akan diproses secara semula jadi selepas kehamilannya, bermula daripada sekitar 24 hingga 48 jam selepas melahirkan bayi. Susu badan merupakan sumber nutrisi yang paling utama buat bayi sebelum mereka mampu menghadam makanan atau minuman yang lain.

    susu ibu

    Jenis susu ibu

    Kebanyakan daripada kita tidak tahu bahawa susu badan juga mempunyai jenisnya. Secara umumnya, susu badan terbahagi kepada 3 jenis iaitu kolostrum, susu transisi dan juga susu matang. Persoalannya, apakah beza ketiga-tiga jenis susu ini?

    Kolostrum

    Kolostrum adalah peringkat pertama susu badan yang berwarna seakan kekuningan. Susu jenis ini juga dikenali dengan nama susu awal bayi. Ia dihasilkan sewaktu kehamilan dan akan berlangsung beberapa hari selepas kelahiran bayi. Kolostrum sebenarnya sangat kaya dengan pelbagai nutrisi dan juga antibodi, menjadikannya sumber makanan atau minuman yang sempurna untuk bayi yang baru lahir.

    Selain itu, kolostrum juga sangat tinggi dengan protein, vitamin larut lemak, dan immunoglobulin. Immunoglobulin adalah antibodi daripada ibu yang disalurkan kepada bayi dalam kandungan bertujuan memberikan imuniti pasif kepada bayi. Ia akan membantu melindungi bayi daripada pelbagai jenis penyakit bakteria dan virus. Dua hingga empat hari selepas kelahiran, kolostrum akan digantikan pula dengan susu transisi.

    Susu Transisi

    Susu transisi akan menggantikan kolostrum dalam masa empat hari selepas kelahiran dan akan berterusan selama dua minggu. Ia mengandungi laktosa, vitamin larut air, dan juga kandungan lemak yang sangat tinggi. Dalam pada itu, susu transisi sebenarnya mengandungi lebih banyak kalori berbanding kolostrum.

    Susu Matang

    Susu matang pula akan mula muncul pada penghujung minggu kedua selepas kelahiran bayi. Ia adalah lebih ringan, dan mempunyai lebih banyak air berbanding susu transisi. Air merupakan 90% daripada komponen susu matang ini, yang akan membantu bayi kekal terhidrat. 10% lagi terdiri daripada karbohidrat, protein dan lemak yang sangat diperlukan untuk tumbesaran bayi.

    Terdapat dua jenis susu matang:  susu permulaan (foremilk) dan susu penghujung (hindmilk).

    • Foremilk atau susu permulaan akan diperolehi pada permulaan penyusuan dan mengandungi vitamin, air dan protein.
    • Hindmilk atau susu penghujung akan diperolehi pada penghujung penyusuan dan tinggi kandungan lemak, yang sangat diperlukan untuk membantu pertambahan berat badan bayi.

    Hakikatnya, kedua-duanya diperlukan untuk memastikan bayi terus menerima nutrisi yang mencukupi untuk membesar dengan sihat. Tanpa mengira jenis-jenis susu badan ini, ia adalah tetap susu ibu. Bayi yang disusukan dengan susu badan sebenarnya akan menerima pelbagai manfaat yang kadangkala kita sendiri belum tahu.

    Berikut merupakan beberapa manfaat susu ibu buat bayi:

    susu ibu

    #1. Bayi lebih sihat

    Menurut Ruth A. Lawrence yang merupakan seorang pakar nutrisi kanak-kanak, bayi yang menyusu badan mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami radang paru-paru, selesema dan jangkitan pelbagai jenis virus.

    Beliau berkata walaupun mengalami cirit-birit yang merupakan masalah serius bagi bayi, bayi yang menyusu badan akan kurang teruk simptomnya. Diabetes jenis 1, penyakit seliak atau penyakit Crohn juga adalah beberapa senarai penyakit yang tidak akan dialami bayi yang menyusu badan.

    #2. Vaksin semula jadi buat bayi anda

    Kajian menunjukkan bahawa bayi yang menyusu susu badan mempunyai tindak balas antibodi yang lebih hebat berbanding kebanyakan vaksin yang diambil bayi.

    #3. Mengurangkan risiko kanser

    Penyusuan badan mampu menurunkan risiko kanser tertentu buat bayi anda. Bagi si ibu pula, ia mampu mengurangkan risiko kanser ovari dan kanser payudara sebelum menopaus.

    #4. Mengurangkan risiko SIDS

    SIDS adalah sindrom kematian bayi mengejut. Penyusuan susu badan boleh mengurangkan risikonya sebanyak 50%.

    #5. Si ibu akan mempunyai tulang lebih kuat

    Lawrence juga menyatakan bahawa para ibu yang menyusukan bayi dengan susu badan akan kurang kecenderungan untuk mengalami osteoporosis selepas menopaus kelak.

    #6. Mengurangkan masalah berat badan

    Kedua-dua ibu dan bayi boleh mendapat manfaat daripada aspek ini. Kedua-duanya akan kurang berisiko mendapat obesiti. Ini kerana menyusu badan membantu para ibu membakar lebih kurang 500 kalori pada setiap hari. Dalam pada itu, susu ibu adalah lebih sihat daripada mana-mana susu pasaran lain dari segi nilai nutrisi dan khasiatnya.

    #7. Proses penyembuhan lebih baik selepas melahirkan bayi

    Apabila seorang ibu menyusukan anaknya dengan susu badan, hormon yang dipanggil sebagai oksitosin akan dirembeskan. Bahan ini dapat membantu pengecutan rahim serta mengurangkan kehilangan darah selepas melahirkan bayi. Penyusuan susu ibu juga dapat mempercepatkan proses rahim kembali semula ke saiz asalnya.

    Jika anda menyusukan bayi dengan susu badan, tempohnya hanya mengambil masa 6 minggu, berbanding 10 minggu bagi mereka yang tidak melakukannya.

    #8. Melewatkan haid

    Apabila anda menyusukan bayi anda dengan susu badan, ia boleh melambatkan proses ovulasi dan juga haid. Dengan prolaktin yang dikeluarkan semasa penyusuan, estrogen dan progesteron akan berada pada paras yang rendah sekali gus tidak mengaktifkan ovulasi.

    #9. Penyelesaian mesra bajet

    Susu badan sentiasa ada pada jumlah dan suhu yang betul untuk bayi anda. Selain itu, ia boleh bertukar secara semula jadi untuk memenuhi permintaan bayi anda. Apabila bayi anda baru dilahirkan, kolostrum – susu awal berada dalam tekstur berair dengan penuh antibodi untuk memuaskan kelaparan bayi yang baru lahir.

    Kemudian, apabila bayi memerlukan lebih banyak kalori untuk berkembang, susu badan akan menjadi kaya dengan gula dan lebih tinggi jumlah kalorinya. Untuk semua perubahan ini, ibu yang menyusukan tidak perlu mencari maklumat mengenai jenama atau fakta pemakanan seperti seorang ibu yang memberi anaknya menyusu susu formula atau susu segar.

    #10. Ikatan ibu dan anak lebih kuat

    Paling penting, menyusukan bayi anda dengan susu badan sambil melihat mereka membesar hari demi hari dapat menguatkan ikatan antara anda dan bayi anda.

    Demikian merupakan beberapa manfaat susu ibu terhadap bayi dan juga anda. Mungkin terdapat beberapa lagi manfaat yang kita sendiri tidak pasti. Jadi, adakah anda masih tidak mahu menyusukan bayi dengan susu badan? Fikirkannya semula.

    Selain daripada manfaat-manfaat di atas, terdapat satu manfaat susu ibu buat bayi yang akan dihuraikan. Ia adalah berkenaan masalah malnutrisi dalam kalangan bayi. Ada pendapat yang mengatakan susu ibu merupakan jawapan kepada masalah ini. Sejauh manakah kebenarannya?

    susu ibu

    Susu ibu & malnutrisi dalam kalangan bayi

    Penyusuan susu ibu diketahui dan dikenali dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan dan kematian dalam kalangan bayi yang baharu lahir. Mengikut kajian, bayi yang disusukan dengan susu badan sejak lahir lagi akan kurang menghidap penyakit pada tahun pertama hayat mereka.

    Malahan itu, bayi yang menyusu badan juga kurang berisiko mendapat penyakit seperti cirit-birit, pneumonia, bronchitis, sembelit, jangkitan saluran kencing, ekzema dan masalah utama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak iaitu malnutrisi.

    Malnutrisi atau kekurangan zat makanan adalah masalah yang lazim dialami oleh bayi dan kanak-kanak. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa kurang sedar akan bahaya malnutrisi dalam kalangan anak-anak mereka.

    Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan nutrisi dianggarkan berkait rapat dengan 2.7 juta kematian bayi dan kanak-kanak setahun atau 45 peratus daripada semua penyebab kematian kanak-kanak.

    Melihat kepada angka ini, tentunya ibu bapa perlu membuka mata dan mencari jalan bagi menangani masalah malnutrisi yang semakin pincang berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

    Bagaimana penyusuan susu ibu boleh membendung malnutrisi?

    WHO dan Tabung Kanak-kanak Negara (UNICEF) menganggarkan lebih 800 ribu nyawa bayi dan kanak-kanak di bawah usia lima tahun dapat diselamatkan pada setiap tahun sekiranya penyusuan susu ibu diberikan secara optimal.

    Usaha ini perlu dilakukan kerana pemberian pemakanan yang optimal amat penting semasa dua tahun pertama hayat mereka bagi mengurangkan morbiditi dan kematian, mengurangkan risiko penyakit kronik, serta menggalakkan perkembangan dan tumbesaran yang sihat.

    Konsultasi Pakar WHO telah mempertimbangkan bukti-bukti saintifik dan membuat kesimpulan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi bayi sejak lahir sehingga mencapai usia 6 bulan akan memberi pelbagai faedah kepada bayi dan juga si ibu.

    Selain itu, pertubuhan ini juga menyarankan supaya penyusuan pertama dijalankan dalam tempoh satu jam pertama selepas bayi dilahirkan. Pengenalan kepada makanan pejal pula sepatutnya bermula semasa usia bayi enam bulan. Namun begitu, amat disarankan supaya ibu meneruskan pemberian susu badan kepada si comel sehingga mereka berusia dua tahun.  

    Apa yang ada dalam susu ibu sehingga malnutrisi boleh dibendung?

    Bermula sejak lahir sehingga usia bayi enam bulan, para ibu perlu menyusukan bayi secara eksklusif kerana susu ibu sudah cukup lengkap dan menepati keperluan nutrisi bayi. Eksklusif di sini bermaksud bayi hanya diberikan susu badan sahaja dan tidak diberikan makanan atau minuman lain termasuklah air putih. Penyusuan eksklusif ini memberi banyak manfaat kepada bayi dan ibu dengan menjamin perlindungan kepada jangkitan gastrousus.

    Ibu yang baharu bersalin pula disarankan untuk mula menyusukan bayi dalam tempoh satu jam selepas kelahiran bayi. Ini kerana susu pertama yang keluar dari payudara ibu adalah yang terbaik untuk si comel. Susu yang dikenali sebagai kolostrum ini telah mula dihasilkan pada hujung tempoh kehamilan dan merupakan makanan yang sempurna untuk bayi kerana mempunyai 400 jenis nutrien, hormon dan kuasa untuk melawan pelbagai jenis penyakit.

    Malahan itu, susu semula jadi ini juga mempunyai pelbagai ramuan penting untuk kesihatan bayi yang tidak boleh diperolehi dari mana-mana susu formula yang terdapat di pasaran. Penyusuan awal ini membantu melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan dan mengurangkan risiko kematian bayi baru lahir. Risiko kematian ini boleh terjadi disebabkan cirit-birit dan jangkitan lain yang boleh berlaku kepada bayi yang tidak diberikan susu badan sepenuhnya ataupun yang tidak diberikan susu ibu langsung.

    Susu ibu juga merupakan sumber penting tenaga dan nutrien bagi bayi yang berusia 6-23 bulan. Susu ibu menawarkan separuh atau lebih tenaga yang diperlukan oleh bayi berusia 6-12 bulan, dan satu pertiga keperluan tenaga untuk bayi 12-24 bulan. Susu badan ini juga menjadi sumber kritikal tenaga dan nutrien semasa sakit, dan mengurangkan kadar kematian di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.   

    Justeru, pemberian susu ibu yang optimum merupakan pencegahan awal kepada masalah malnutrisi bayi dan kanak-kanak, selain memberikan kesan positif sepanjang hayat terhadap bayi dan juga ibu.

    susu ibu

    Penyusuan susu ibu mampu mempengaruhi tabiat pemakanan bayi dan kanak-kanak

    Selain dapat mengurangkan masalah malnutrisi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, penyusuan susu ibu sebenarnya mampu memberi pengaruh yang baik terhadap bayi apabila si comel anda menjangkau usia kanak-kanak kelak.

    Kajian menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu akan memainkan peranan yang hebat dalam membentuk tabiat pemakanan kanak-kanak untuk jangka masa yang panjang. Kanak-kanak yang tidak lagi menyusu badan masih akan mendapat manfaat daripada penyusuan susu ibu ketika mereka masih bayi. Penyusuan badan dianggap sebagai kaedah pemberian makanan yang optimum semasa 6 bulan terawal kehidupan bayi. Ini disebabkan kesan positifnya terhadap perkembangan tingkah laku pemakanan kanak-kanak semasa mereka membesar.

    Bagaimana penyusuan susu ibu mempengaruhi tabiat pemakanan bayi dan kanak-kanak?

    • Pelbagai rasa

    Penyusuan susu ibu adalah sangat penting terhadap perkembangan reaksi kanak-kanak kepada petanda kelaparan dan kekenyangan dalaman mereka. Ia juga dipercayai dapat merangsang perkembangan keupayaan makan sendiri semasa pemberian makanan. Perubahan dalam komponen susu ibu semasa pemberian susu tunggal, dan perubahan komposisi susu ketika bulan pertama kehidupan, dapat menggalakkan peningkatan kepekaan untuk pengambilan tenaga.

    Pakar juga mempercayai bahawa sesi penyusuan susu ibu meninggalkan kesan yang kuat kepada metabolisma seseorang kanak-kanak, yang mungkin menjelaskan kelakuan pemakanan yang berbeza. Penyusuan susu ibu juga memberikan kesan positif kepada kelakuan pemakanan semasa peringkat kanak-kanak kerana ia membantu anak anda menerima pelbagai rasa daripada diet yang diambil oleh ibu melalui susu badan. Pendedahan ini memberikan impak yang besar kepada peralihan susu ke makanan pejal.

    • Pendedahan awal

    Secara semula jadinya, kanak-kanak menggemari rasa manis dan masin. Oleh itu, makanan yang manis dan masin berkemungkinan tinggi mudah diterima oleh kanak-kanak, berbanding dengan makanan yang mempunyai rasa pahit seperti sayuran tertentu. Bayi dan anak kecil boleh belajar bagaimana untuk menerima makanan dan rasa makanan yang tidak biasa dimakan melalui pendedahan yang berulang kali.

    Disebabkan itu, dari satu segi, penyusuan susu ibu memberikan bayi pendedahan awal dan berulang terhadap rasa daripada diet yang diambil oleh ibunya. Hal ini sekali gus menawarkan hubungan rasa kepada bayi, menjadikan rasa makanan tersebut lebih ‘mesra’ pada lidah mereka semasa diberikan makanan pejal. Maka, bayi yang dahulunya menyusu badan akan lebih mudah terbuka untuk menerima pelbagai jenis makanan yang baharu.

    Konklusi

    Konklusinya, susu ibu merupakan sumber susu yang paling terbaik buat bayi dan kanak-kanak. Selain mengandungi pelbagai jenis nutrisi dan khasiat penting untuk tumbesaran anak anda, susu badan juga mempunyai satu kebolehannya yang tersendiri iaitu, mampu mencegah malnutrisi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, ia juga mampu memberi pengaruh yang positif buat tabiat pemakanan bayi apabila mereka mencecah usia kanak-kanak kelak.

    Jadi, apa lagi yang anda tunggu? Jika anda tidak menyusukan anak anda dengan susu badan, segera lakukannya!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 17/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan