Terdapat beberapa perkara yang selalu dilakukan semua bayi sewaktu usia ini yang sering kali disalah tafsir sebagai tanda bersedia untuk makanan pejal. Oleh itu, jika bayi anda melakukan perkara yang berikut, anda tidak boleh terus segera memberikan makanan pejal, melainkan jika anda dapat mengenal pasti tanda-tanda kesediaan yang betul.
- Mengunyah tangan. Hampir semua bayi suka menyumbat mulut mereka dengan mainan, selimut mahupun buku lima mereka. Ini salah satu cara mereka belajar tentang dunia di sekeliling mereka. Oleh itu, mengunyah tangan sendiri bukanlah tanda keinginan untuk memakan makanan pejal.
- Bangun pada waktu malam. Walaupun bayi anda kebiasaannya tidur nyenyak dan baru sekarang mula bangun pada waktu malam, ini tidak bermakna sudah tiba masanya memperkenalkan makanan pejal. Tidak ada bukti bahawa pemberian makanan boleh membuat bayi anda kembali nyenyak tidur.
- Ingin menyusu badan lebih banyak. Adalah biasa bagi bayi anda untuk melalui tempoh pertumbuhan di mana mereka akan menjadi sangat lapar. Berikan mereka lebih banyak susu, bukannya memberikan makanan pejal.
Bagaimana untuk memperkenalkan makanan kepada bayi anda?
Seperti semua pengalaman baru yang akan anda lalui dengan bayi anda, sebaiknya mula secara perlahan-lahan dan mengikut rentak yang sesuai dengan anda. Ingat, ini bukan satu perlumbaan, jadi mula secara perlahan dengan satu makanan pejal sehari kemudian sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makanan ringan menjelang usia mereka setahun. Sesetengah bayi akan mengambil masa yang lama untuk melalui proses ini berbanding yang lain.
Anda tidak perlu membeli makanan khas untuk bayi anda. Terdapat banyak makanan harian yang sesuai. Ini termasuklah:
- Nasi dicampur dengan susu bayi anda
- Sayur-sayuran yang dimasak dan dilecek seperti kentang, keledek, lobak merah, atau kobis
- Pisang yang dikupas dan dilecek
- Buah yang dikupas, dimasak dan dilecek, seperti epal atau pir.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen