backup og meta

Suka Biarkan Si Manja Tidur Dalam Car Seat Lama-lama? Bahaya! Ini Sebabnya...

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    Suka Biarkan Si Manja Tidur Dalam Car Seat Lama-lama? Bahaya! Ini Sebabnya...

    Jika anda keliru tentang keselamatan anak apabila dibiarkan tidur dalam kerusi bayi, percayalah, anda tidak keseorangan. Adakah ini perbuatan yang selamat untuk diamalkan atau berbahaya?

    Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), tindakan tersebut jika dilakukan untuk tempoh yang lama merupakan amalan tidur yang tidak selamat. Mengapa?

    Soal keselamatan anak pada kerusi bayi

    Apa yang menjadikan tempat kerusi bayi (car seat) sebagai tempat yang tidak selamat untuk anak tidur?

    Bertenang. Kerusi bayi umumnya selamat untuk digunakan. 

    Cuma ketika bayi tidur dalam keadaan duduk, kepala mereka cenderung untuk jatuh ke depan. Keadaan ini boleh menyekat saluran udara dan menyebabkan mereka berhenti bernafas.

    Situasi berbahaya ini dikenali sebagai positional asphyxiation atau sesak nafas kedudukan. 

    Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh The Journal of Pediatrics pada 2015, faktor ini dilihat menjadi penyebab 48% kematian di kerusi bayi melibatkan anak berusia sehingga 2 tahun.

    Baki 52% kematian pada kerusi bayi pula adalah kerana tercekik tali, disebabkan tidak dipakaikan tali pinggang keselamatan dengan baik. 

    Sebenarnya, bagi pemanduan tempoh yang singkat – dari titik A ke B – keselamatan anak yang tidur dalam kerusi bayi tidak mendatangkan sebarang masalah.  

    Pun begitu, anda tidak boleh membiarkan si manja terus tidur dalam kerusi bayi setibanya di destinasi.

    Tetapi kenapa?

    keselamatan anak

    Tidur dalam kerusi bayi untuk tempoh yang terlalu lama

    Dalam kebanyakan kes kematian melibatkan kerusi bayi, tempoh masa menjadi salah satu punca kepada penyebab kematian. 

    Dianggarkan lebih 30% kematian terjadi menunjukkan bayi dibiarkan tidur dalam kerusi bayi untuk tempoh yang lama tanpa pengawasan – sudah pasti boleh mengancam keselamatan anak.

    Sememangnya banyak kereta sorong kini ditawarkan dengan fungsi kerusi bayi yang boleh ditanggalkan. Daripada aspek mobiliti, ia amat memudahkan dan menyenangkan ibu bapa.

    Walau bagaimanapun, ia juga bermaksud, bayi akan menghabiskan banyak masa dalam posisi duduk. 

    Bahkan, terdapat juga kerusi bayi yang mana kedudukannya adalah lebih tegak berbanding di dalam kereta. 

    Keselesaan atau keselamatan anak?

    Ada juga ibu bapa, setelah mengeluarkan kerusi bayi daripada kereta akan membuka sebahagian atau sepenuhnya tali pinggang. 

    Pada sangkaan mereka, tali keselamatan itu tidak diperlukan lagi memandangkan sudah sampai ke destinasi. Ia juga disebabkan alasan untuk memberikan bayi keselesaan.

    Hakikatnya, perbuatan tersebut adalah berbahaya. Tahap keselamatan anak terancam di sini sebenarnya.

    Apabila anda tidak memasangkan tali pinggang keselamatan, si manja yang sedang nyenyak tidur dalam kerusi bayi boleh mengerekot, berpusing daripada 1 sisi ke sisi lain atau berada dalam kedudukan terbalik.

    Kesannya ia boleh menyebabkan mereka terperangkap dan menjejaskan pengudaraan mereka. 

    Sesetengah ibu bapa hanya memasangkan tali pinggang keselamatan pada bahagian dada sahaja. 

    Akibatnya, si manja mungkin boleh menggelongsor ke bawah dan tersekat pada bahagian leher dan akhirnya tercekik.

    Apa yang boleh dilakukan ibu bapa?

    Apabila bercakap soal keselamatan anak untuk tidur dalam kerusi bayi, tiada masalah untuk membiarkannya memejamkan mata dalam perjalanan menuju ke suatu destinasi. 

    Kerusi bayi sememangnya direka untuk memastikan tahap keselamatan si manja ketika berada di jalan raya dan membolehkannya tidur dengan selesa.

    Walau bagaimanapun, jika bayi anda baru lahir atau sangat kecil, jangan biarkan dia tidur di dalam kerusi bayinya lebih dari 90 minit tanpa rehat. 

    Ini kerana posisi duduknya boleh mempengaruhi pernafasan.

    car seat

    Seperkara yang perlu diingat, kerusi bayi bukanlah tempat untuk bayi tidur selain daripada di dalam kereta. 

    Ia mungkin nampak mudah untuk membiarkan si kecil tidur dalam kerusi bayi terutama apabila anda tidak mahu membangunkannya. Tetapi itu bukanlah keputusan yang bijak. 

    Jika si kecil tertidur apabila anda sudah sampai di rumah, angkat dan bawanya keluar secara perlahan-lahan daripada kerusi bayi. Baringkannya di atas katil atau tilam.

    Sekiranya berada di luar, alihkan bayi ke kereta sorong yang boleh dilaraskan untuk kedudukan baring secara rata (recline flat).

    Seandainya anda ingin mengalihkan si manja yang sedang nyenyak tidur daripada kereta ke rumah dengan mengangkat sekali kerusi bayinya, silakan. 

    Cuma pastikan tali pinggang keselamatan dipasang sepenuhnya untuk memastikan tahap keselamatan anak. 

    Sentiasa memeriksa keadaan anak

    Aspek keselamatan anak dalam penggunaan kerusi bayi tiada masalah. Cuma anda perlu sentiasa memastikan bayi anda tidak terlalu panas di tempat duduk keretanya.

    Anda boleh merasakan perutnya untuk melihat apakah dia terlalu panas atau terlalu sejuk.

    Pakaikan si manja pakaian yang bersesuaian dan elakkan daripada memakaikan pakaian yang terlalu besar atau tebal jika ingin meletakkan mereka dalam kerusi bayi.

    Sekiranya anda akan menempuh perjalanan jauh, cuba untuk berhenti seketika agar bayi anda dapat dibawa keluar dari tempat duduknya sebentar.

    Dapatkan udara segar seketika. Jangan lupa untuk menukarkan lampinnya apabila mereka terjaga. 

    Selamat memandu!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan