backup og meta

“Asyik Menyusukan Baby Je”, Tahu Tak Anda Sebenarnya Sudah Menguris Perasaan Ibu Itu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/07/2020

    “Asyik Menyusukan Baby Je”, Tahu Tak Anda Sebenarnya Sudah Menguris Perasaan Ibu Itu

    Bayinya merengek-rengek menangis kelaparan, dan Puan Siti terpaksa mencari lokasi atau bilik tertutup yang sesuai untuk menyusukan bayinya agar tidak lagi merengek-rengek.

    Berdasarkan situasi di atas, siapa kata bahawa penyusuan bayi adalah sesuatu yang mudah. Kami percaya bahawa ramai ibu yang mempunyai kesukaran untuk menyusukan bayi di tempat-tempat umum sama ada disebabkan oleh ketidaksesuaian lokasi atau faktor-faktor lain. Walau bagaimanapun, terdapat juga cabaran lain yang perlu dihadapi oleh ibu-ibu yang menyusukan bayi yang mungkin jauh lebih sukar, iaitu kata-kata individu. Berikut merupakan antara kata-kata yang tidak patut dikatakan kepada ibu yang menyusukan bayi mereka.

    “Bukan ke bayi baru menyusu ke?”

    Rakan-rakan atau ahli keluarga yang datang menziarahi ibu dan bayi mungkin akan bertanyakan soalan seperti ini sekiranya mereka melihat ibu tersebut menyusukan bayi dengan kerap. Mungkin bayi baru sahaja disusukan, tetapi kita perlu memahami bahawa bayi mahukan susu tanpa mengira masa, jika tidak, bayi akan sentiasa merengek kelaparan.

    “Tak risau ke kalau payudara jadi gelebeh?”

    Komen atau pertanyaan seperti ini amatlah memalukan untuk ditanya sekiranya anda bertandang menziarahi ibu yang sedang menyusukan bayinya. Mengapa? Ia adalah tidak sopan untuk mempersoalkan saiz atau rupa bentuk fizikal individu lain.

    “Susukan anak kat rumah je. Bukan dekat luar”

    Bagaimana mungkin untuk seseorang ibu hanya boleh menyusukan anak di rumah sekiranya bayi tersebut kelaparan sepanjang masa terutamanya jika seseorang ibu mempunyai urusan di luar. Selagi mana penyusuan ini dilakukan dengan cara yang sopan terutamanya di lokasi yang lebih tertutup, selagi itulah penyusuan ini boleh dilakukan dimana-mana sahaja.

    “Susukan anak ni memenatkan”

    Mungkin terdapat juga beberapa individu yang menyatakan seperti, “Kalau saya, saya mungkin tak boleh nak berikan komitmen sepenuhnya untuk menyusukan anak.” Sekiranya anda tidak mampu melakukannya, tidak perlu mengatakan hal yang sama kepada ibu-ibu yang lain. Mungkin mereka lebih berkemampuan dengan komitmen penyusuan anak tersebut.

    “Berapa lama nak susukan bayi?. Bila nak hentikan susu baby?”

    Soalan seperti ini biasanya ditanyakan oleh individu yang merasakan mereka lebih berpengetahuan atau percaya dengan dakwaan-dakwaan merepek. Pemberhentian penyusuan anak ini bergantung kepada keperluan ibu dan anaknya apabila mereka telah bersedia. Tidak ada tempoh masa yang spesifik untuk menghentikan penyusuan bayi.

    “Masih susukan anak ke?”

    Jangan bertanyakan soalan ini kerana ia juga seolah-olah mempertikaian tindakan ibu yang masih meneruskan penyusuan bayinya sendiri. Menyusukan bayi tidak mempunyai tempoh masa yang tetap dan tidak menjadi satu kesalahan untuk ibu menyusukan bayi dalam tempoh yang lebih lama.

    “Bagi susu botol je, nanti boleh rehat sikit”

    Pemberian susu botol terutamanya dalam minggu-minggu pertama kelahiran adalah tidak digalakkan. Pemberian susu botol juga akan mengganggu pengeluaran susu ibu dan mungkin menyebabkan pembengkakan susu pada payudara ibu tersebut. 

    Susu ibu memberikan banyak kebaikan pada bayi seperti manfaat kesihatan dan tumbesaran. Selagi mana bayi itu menyusu dengan ibunya, selagi itulah dia akan memperoleh kebaikan daripada susu ibu tersebut yang ternyata berbeza daripada susu formula. Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan UNICEF hanya menyarankan agar pemberhentian penyusuan bayi dilakukan sekurang-kurangnya setelah dua tahun atau lebih. Oleh itu, jangan memerli ibu-ibu yang sedang menyusukan anak dengan pertanyaan-pertanyaan yang kurang pertimbangan. Latihlah diri anda untuk menjadi lebih memahami dan prihatin terhadap individu lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan