backup og meta

JANGAN Perkenal Ubat Gigi Awal Sangat Untuk Gosok Gigi Bayi! Ini Apa Boleh Jadi Kalau Anak Tertelan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 17/01/2023

    JANGAN Perkenal Ubat Gigi Awal Sangat Untuk Gosok Gigi Bayi! Ini Apa Boleh Jadi Kalau Anak Tertelan

    Penjagaan oral kanak-kanak perlu bermula sejak mereka masih bayi lagi. Sungguhpun bayi masih belum tumbuh gigi pertama, namun ibu bapa perlu mula menjaga kebersihan mulut dan gusi bayi. Penjagaan oral kanak-kanak sinonim dengan penggunaan berus gigi bayi, kain lembut dan juga ubat gigi. Walau bagaimanapun, seawal usia berapakah bayi boleh diberikan ubat gigi dan bagaimana anda ingin membersihkan gusi dan gigi bayi yang kecil?

    Bagaimana menjaga gigi dan gusi bayi?

    Ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga anak tumbuh gigi untuk memulakan penjagaan oral mereka. Anda sudah boleh mula menjaga gusi bayi sebelum gigi pertamanya tumbuh lagi. Caranya adalah dengan:

    • Sebelum gigi bayi tumbuh, anda boleh mula bersihkan gusi dan mulutnya menggunakan kain basah lembut dan gosokkan pada sekitar mulut serta gusi bayi.
    • Jika bayi sudah tumbuh gigi, anda boleh mula perkenalkan berus gigi yang direka khas untuk bayi dengan berus lembut. Anda hanya perlu basahkan berus gigi dan kemudian gosokkan perlahan gigi bayi.

    Bila perlu mula perkenalkan bayi dengan ubat gigi?

    Bayi hanya boleh menggunakan ubat gigi jika sudah berusia 18 bulan dan ke atas. Sebelum mencapai usia yang dinyatakan, anda hanya boleh memperkenalkannya dengan ubat gigi jika disarankan oleh doktor gigi.

    Jika bayi anda sudah berusia 18 bulan, anda boleh letakkan ubat gigi rendah atau bebas fluorida sebesar saiz kacang pis pada berus giginya.

    Selamatkah ubat gigi fluorida untuk bayi?

    Fluorida biasanya diletakkan dalam ubat gigi bagi mencegah kaviti, menguatkan enamel gigi yang lemah, menterbalikkan kerosakan gigi awal, mengehadkan pertumbuhan bakteria oral, dan melambatkan kehilangan mineral daripada enamel gigi. Bagaimanapun, terdapat perdebatan mengenai keselamatan fluorida, termasuklah ubat gigi berfluorida kepada manusia.

    Namun, American Dental Association masih menyarankan penggunaan ubat gigi ini kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Cuma, ia perlu digunakan dengan betul.

    Bayi hanya memerlukan sedikit sahaja ubat gigi untuk diletakkan pada berus gigi, setiap kali sesi. Mengikut saranan American Academy of Pediatrics, bayi perlu diberikan ubat gigi bebas-fluorida sehingga usianya mencecah 2 tahun.

    Anda boleh menambah jumlah ubat gigi berfluorida jika usia kanak-kanak sekitar 3 tahun, kerana ketika ini mereka sudah pandai meludah semasa menggosok gigi.

    Bagaimana jika bayi saya tertelan ubat gigi?

    Sekiranya ibu bapa mematuhi jumlah pemberian ubat gigi yang disarankan, adalah tidak mengapa jika bayi tertelan sedikit daripada saiz kecil ubat gigi yang ada pada berus gigi. Bagaimanapun, jika anda meletakkan jumlah ubat gigi yang lebih banyak, dan anak anda tertelan sedikit daripadanya, terdapat kemungkinan bayi mengalami sakit perut. Ini tidak semestinya berbahaya, tetapi anda boleh membawa bayi berjumpa doktor jika bimbang dengan keadaan kesihatan si manja anda.

    Ubat gigi berfluorida adalah selamat untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Jika anda bimbang anak anda akan tertelan ubat gigi, sentiasa pantau anak kecil anda semasa memberus gigi, sehinggalah dia sudah boleh memberus giginya sendiri dan pandai meludah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan