backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Jangkitan Payudara

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 06/07/2022

    Jangkitan Payudara

    Jangkitan payudara, juga dikenali sebagai mastitis, adalah jangkitan yang berlaku di dalam tisu payudara. Jangkitan payudara paling biasa berlaku dalam kalangan ibu menyusu apabila puting merekah dan sakit, memudahkan bagi bakteria dari mulut bayi untuk masukkan ke dalam payudara. Ini juga dikenali sebagai bengkak susu. Mastitis juga berlaku dalam kalangan wanita yang tidak menyusukan anak, tetapi agak jarang berlaku.

    Jangkitan biasanya mengubah tisu lemak pada payudara yang menyebabkan bengkak, ketulan, dan rasa sakit. Walaupun kebanyakan jangkitan adalah disebabkan oleh menyusu atau saluran susu tersumbat, peratusan kecil jangkitan payudara dikaitkan dengan jenis kanser payudara yang jarang berlaku.

    Apakah Yang Menyebabkan Jangkitan Payudara?

    Punca paling kerap adalah bakteria Staphylococcus aureus. Bakteria jenis ini menyebabkan apa yang disebut sebagai jangkitan Staph. Streptococcus agalactia adalah punca kedua paling kerap.

    Bagi wanita menyusu, salur susu tersumbat boleh menyebabkan susu terkumpul dan jangkitan berlaku. Menyusu boleh menyebabkan puting dan bukaan saluran susu merekah. Jika ini berlaku, bakteria dari mulut bayi boleh masuk ke dalam payudara dan menyebabkan jangkitan. Bakteria yang menyebabkan jangkitan biasanya ditemui pada kulit, walaupun tiada jangkitan yang berlaku. Jika bakteria masuk ke dalam tisu payudara, ia boleh membiak dengan cepat dan menyebabkan simptom yang tidak menyenangkan.

    Anda masih boleh menyusukan bayi walaupun mendapat jangkitan mastitis kerana bakteria tersebut tidak berbahaya kepada bayi anda. Keadaan ini biasanya berlaku dalam beberapa minggu pertama menyusu.

    Mastitis yang tidak disebabkan oleh menyusu berlaku dalam kalangan wanita yang mempunyai sistem imun lemah, termasuk daripada wanita yang menjalani pembedahan payudara dengan terapi radiasi dan mereka yang menghidapi diabetes. Beberapa simptom seperti jangkitan adalah petanda kepada radang kanser payudara, tetapi ia sangat jarang berlaku.

    Abses puting berlaku apabila kelenjar di bawah puting tersumbat dan jangkitan berlaku di bawah kulit. Jangkitan ini boleh menghasilkan ketulan keras bernanah yang mungkin perlu dialirkan. Abses jenis ini biasanya hanya berlaku pada wanita yang tidak menyusu, dan tidak ada risiko yang dikenal pasti.

    Apakah Ubat Yang Ada Bagi Jangkitan Payudara?

    Rawatan antibiotik selama 10 hingga 14 hari biasanya rawatan yang paling berkesan untuk jangkitan payudara, dan kebanyakan wanita berasa lebih baik dalam masa 48 hingga 72 jam. Semua rawatan perlu diambil untuk mengelakkan jangkitan berlaku semula. Anda boleh terus menyusu semasa mengambil kebanyakan antibiotik, tetapi jika ia menyakitkan, anda boleh menggunakan pam payudara untuk mengurangkan bengkak dan mengurangkan hilang bekalan susu.

    Jika anda mengalami abses disebabkan jangkitan yang teruk, ia mungkin perlu dipotong dan disalir dengan baik. Anda mungkin perlu menghentikan penyusuan secara sementara  jika anda mengalami abses.

    Jika doktor anda mengatakan bahawa radang kanser payudara adalah punca kepada simptom anda, mereka akan memulakan rawatan berdasarkan peringkat (tahap) kanser anda. Rawatan biasanya terdiri daripada kemoterapi, terapi radiasi, atau pembedahan membuang payudara dan nod limfa di sekitarnya.

    Penjagaan Sendiri

    Semasa menjalani rawatan, anda juga boleh mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan simptom di rumah:

    • Gunakan kompres panas. Kompres panas boleh mengurangkan kesakitan dan membantu pengeluaran susu. Cuba letakkan tuala panas dan basah pada kawasan yang terbabit selama 15 minit, empat kali sehari.
    • Ubat-ubatan anti-radang, seperti ibuprofen, boleh membantu melegakan kesakitan.
    • Guna posisi yang berbeza-beza untuk menyusukan bayi.
    • Jika boleh, elakkan bengkak berpanjangan sebelum penyusuan.

    Berjumpa dengan perunding penyusuan ibu untuk mengubah teknik atau kedudukan penyusuan boleh membantu mencegah jangkitan daripada kembali.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 06/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan