backup og meta

Pakaian 'Compression' Bersenam, Sekadar Gaya Atau Benar-benar Boleh Turunkan Berat Badan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 02/04/2021

    Pakaian 'Compression' Bersenam, Sekadar Gaya Atau Benar-benar Boleh Turunkan Berat Badan?

    Banyak orang memakai pakaian compression ketika berlari atau bersenam di gim, tetapi adakah ia benar-benar bermanfaat untuk anda atau hanya sekadar untuk bergaya?

    Bagi menjawab persoalan tersebut, mari kita baca artikel ini dengan lebih lanjut!

    Apa itu pakaian compression?

    Pakaian ketat ini boleh diklasifikasikan sebagai ‘aksesori’ penurunan berat badan, serta mereka yang sering bersenam dan pergi ke gim percaya bahawa ia adalah penting dalam senaman harian.

    Namun, sebelum anda memutuskan untuk melaburkan duit, adalah wajar untuk kalian faham dengan lebih mendalam mengenai pakaian ketat ini, fungsi dan manfaatnya.

    Namanya mungkin kedengaran ‘sesuatu’ tetapi hakikatnya, ia sama sahaja dengan pakaian sukan yang lain.

    Anda dapat melihatnya dipakai di sekitar gimnasium, kedai barangan sukan, di laman web berkaitan sukan dan lain-lain.

    Tapi apa pula bezanya dengan legging atau yang seangkatan dengannya?

    Perbezaan yang ketara adalah pakaian compression ini dicipta untuk ‘memegang’ anggota badan dengan ketat (secara selesa) terutamanya saat bersenam.

    Usah risau, ia tidak akan menyekat pergerakan, sebaliknya pakaian ketat ini adalah untuk menyokong aktiviti senaman anda.

    Pakaian compression, apa manfaatnya?

    Ya, pakaian ketat ini mempunyai manfaat-manfaat tersendiri kepada si pemakai terutamanya ketika berolahraga.

    Namun, sebelum itu fahami dahulu mitos atau salah faham yang sering kedengaran mengenainya.

    Harus kalian tahu bahawa pemakaian pakaian ketat ini TIDAK akan:

    • Menguruskan badan
    • Merawat masalah saraf
    • Merawat gout
    • Meningkatkan prestasi sukan
    • Merawat masalah tulang (scoliosis/slip disk)
    • Penawar kencing manis atau darah tinggi
    • Menyembuhkan strok

    Seperti yang telah dinyatakan, pakaian compression tidak akan membuatkan anda kurus, walaupun ia sering dipasarkan sebagai alat menguruskan badan yang kononnya berkesan.

    Maka, jangan tertipu dengan kata-kata palsu jurujual yang menjanjikan bulan bintang!

    Berat badan kita hanya dapat dikurangkan melalui pengamalan diet seimbang dan aktiviti senaman secara berkala.

    Jadi, sangat mustahil untuk lemak anda hilang dengan hanya memakai pakaian ketat ini.

    Sekarang, mari kita kenali antara faedah pemakaian baju compression terhadap kesihatan!

    • Mengurangkan penampilan selulit

    selulit

    Ramai orang bersenam dengan harapan dapat mengurangkan penampilan selulit. Hakikatnya, selulit adalah sangat sukar untuk dihilangkan.

    Tetapi, pakaian ini dikatakan dapat bertindak sebagai urutan mikro yang memecahkan selulit dan melicinkan kawasan yang bermasalah.

  • Meningkatkan aliran darah

  • Semasa bersenam, pemampatan yang disediakan oleh pakaian ini meningkatkan aliran darah dan penghantaran oksigen ke tisu.

    Ini menjadikan senaman anda lebih cekap dan kurang memenatkan.

    Apabila, rasa penat setelah bersukan boleh dikurangkan, secara psikologinya anda cenderung merasa lebih bersemangat untuk bersenam keesokan harinya.

    Bersenam secara konsisten pula adalah salah satu cara berkesan untuk menurunkan berat badan!

    • Mencegah sakit otot

    Ramai atlet profesional biasanya mendapatkan urutan selepas latihan atau permainan bagi mengelakkan masalah sakit otot.

    Namun, bagi orang biasa yang ingin menurunkan berat badan, mendapatkan urutan profesional selepas setiap sesi senaman adalah agak mustahil bukan?

    Justeru, pakaian ini dapat bantu mengurangkan kesakitan otot dengan memberi tekanan kepada otot yang bertindak seakan urutan ‘kecil.’

    • Boleh membantu cegah kecederaan

    Individu yang baru mula bersenam biasanya sangat bersemangat untuk menolak diri mereka lebih daripada limit, dengan harapan dapat mengurangkan berat badan.

    Walaupun sikap ini boleh menjadi perkara positif kerana membuatkan mereka lebih bermotivasi, kadangkala kecederaan lebih cenderung berlaku apabila terlalu memaksa diri.

    Justeru, pakaian ketat ini akan memberi pemampatan terhadap otot badan lantas mengurangkan potensi risiko micro muscle tears disebabkan getaran otot dan pergerakan.

    • Meningkatkan keyakinan diri

    Pakaian ini dapat membantu membentuk badan ke bentuk yang lebih menarik, lantas meningkatkan keyakinan diri.

    Walaupun ini kelihatan seperti perkara kecil, peningkatan keyakinan diri dapat memotivasikan seseorang individu untuk bangun dan melakukan senaman, menurunkan berat badan, serta mencapai kesan yang diidam-idamkan.

    Apa yang dapat disimpulkan?

    senaman

    Walaupun pakaian ini tidak membuatkan anda kurus, tidak salah untuk memakainya ketika bersenam.

    Di samping membantu kalian berasa lebih yakin, anda juga dapat mencegah kecederaan malah meningkatkan aliran darah.

    Apa yang penting, jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang mempromosikan produk ini sebagai penawar dan penyembuh pelbagai masalah kesihatan termasuklah untuk melangsingkan tubuh ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 02/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan