backup og meta

Menghidap Kanser Paru-Paru Ketika Hamil, Ketahui Risiko Yang Ibu Dan Bayi Boleh Dapat

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 31/10/2020

    Menghidap Kanser Paru-Paru Ketika Hamil, Ketahui Risiko Yang Ibu Dan Bayi Boleh Dapat

    Kanser paru-paru merupakan sejenis kanser yang biasa dalam kalangan lelaki. Walau bagaimanapun, kebelakangan ini, kanser paru-paru telah menjadi lebih lazim dalam kalangan wanita lebih-lebih lagi ibu yang sedang hamil hingga menyebabkan kehamilan bermasalah. 

    Apabila seorang wanita itu sudah berusia, mereka lebih berisiko untuk menghidap kanser semasa mengandung.

    Diagnosis kanser boleh mendatangkan masalah kehamilan yang serius. Walau bagaimanapun, kanser ketika wanita sedang mengandung merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku.

    Dalam 1000 kehamilan, selalunya hanya akan ada satu kes yang melibatkan wanita yang mempunyai kanser.

    Tambah lagi, disebabkan perubahan dalam sosio ekonomi dan budaya lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita di negara barat, semakin ramai wanita yang berkahwin dan mengandung ketika mereka menginjak ke umur 30 tahun ke atas.

    Kehamilan bermasalah- Kanser paru-paru dalam kalangan wanita mengandung

    ibu hamil

    Kanser merupakan punca kedua kematian wanita yang berumur antara 25 ke 39 tahun. Untuk pengetahuan anda, kanser sebagai masalah kehamilan merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku.

    Walau bagaimanapun, disebabkan semakin ramai wanita yang merokok, kejadian yang jarang berlaku ini kini semakin meningkat.

    Menurut Journal of Advanced Research, mereka telah meneliti kes kanser paru-paru yang berlaku dalam kalangan wanita mengandung. Di dalam jurnal tersebut, mereka menyimpulkan:

  • Purata umur wanita semasa didiagnosis ialah 36 tahun.
  • Diagnosis selalunya dilakukan ketika kehamilan menghampiri trimester ketiga.
  • Pesakit selalunya menghidap kanser paru-paru bukan sel kecil (non-small cell lung cancer)
  • 97% daripada pesakit sudahpun menginjak ke kanser tahap 3 atau tahap 4 ketika didiagnosis.
  •  82% daripada wanita ini melahirkan anak yang sihat.
  • Hanya 40 sahaja kes kehamilan ketika menghidap kanser paru-paru yang pernah dicatatkan. 77% daripadanya ialah kanser paru-paru bukan sel kecil, manakala selebihnya ialah adenocarcinoma.

    Diagnosis kanser paru-paru dalam kalangan wanita mengandung boleh mencetuskan masalah jika tidak dikesan awal.

    Tambah lagi, simptom seperti sesak nafas dan kahak  yang berdarah selalunya dianggap sebagai jangkitan semasa mengandung.

    Sakit tulang pula sering dianggap sebagai salah satu simptom biasa yang kerap dialami oleh wanita hamil.

    Disebabkan doktor tidak akan melakukan ujian imbasan kerana bimbang akan keselamatan bayi dalam kandungan, selalunya simptom kanser akan disalah anggap sebagai simptom wanita mengandung yang biasa terjadi. 

    Rawatan sukar untuk dijalankan

    ibu hamil

    Rawatan untuk wanita yang menghidap kanser paru-paru sukar untuk dijalankan kerana ada banyak cabaran dari segi emosi dan juga etika.

    Keputusan lebih sukar untuk dilakukan jika kanser telahpun mencapai tahap yang serius. Pada ketika ini, tidak ada lagi rawatan yang efektif boleh diberikan kepada pesakit.

    Diagnosis kanser ketika kehamilan akan membuatkan pakar berada di satu persimpangan yang sukar. Pilihan yang ada ialah untuk memulakan rawatan secepat mungkin semasa diagnosis atau gugurkan kehamilan ketika masih awal. 

    Apa yang menjadi masalah ialah rawatan untuk kanser paru-paru ketika kehamilan amat sukar dilakukan. Hingga hari ini, masih belum ada lagi rawatan yang  standard untuk pesakit kanser ketika hamil. 

    Menurut laporan, 51.4% pesakit menerima rawatan selepas bersalin, manakala 24% menerima rawatan semasa kehamilan.

    Pesakit yang berada dalam tahap 1 dan 2 boleh melakukan thoracotomy, manakala pesakit yang mempunyai kanser pada tahap 3 dan 4 pula akan dirawat dengan kemoterapi. Terapi radio pula selalunya akan dilakukan kepada pesakit setelah bersalin.

    Terapi radio tidak digalakkan untuk dilakukan ke atas wanita mengandung  kerana boleh menyebabkan kecacatan pada fetus lebih-lebih lagi jika ia dilakukan pada trimester pertama.

    Prognosis kanser paru-paru dalam kalangan ibu hamil

    ibu hamil

    Pesakit kanser paru-paru yang mengandung perlu tahu mengenai prognosis masing-masing.

    Prognosis ialah satu perkara yang mungkin terjadi kepada pesakit mengenai penyakit yang mereka alami pada masa hadapan. Mereka perlu tahu peratusan kesembuhan dan kemungkinan kanser tersebut kembali pada masa hadapan.

    Prognosis keseluruhan kanser paru-paru ketika kehamilan amatlah mengecewakan. 12% daripada ibu yang hamil akan meninggal dunia 1 bulan selepas melahirkan anak.

    70% ibu hamil hanya mampu bertahan selama beberapa bulan. Hanya 12% sahaja yang boleh hidup melebihi 12 bulan.

    Walau bagaimanapun, pesakit yang didiagnosis ketika kanser masih lagi berada di tahap yang awal mempunyai prognosis yang lebih baik. Kebanyakkannya dapat menjalani hidup dengan sihat walaupun 19 bulan selepas bersalin.

    Kesimpulan

    Kanser paru-paru ketika mengandung merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku.

    Walaubagaimanapun, bilangan pesakit mungkin akan meningkat jika semakin ramai wanita berkahwin lanjut usia dan mengamalkan tabiat kurang sihat seperti merokok.

    Jika anda mempunyai faktor risiko untuk mendapat kanser paru-paru, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu bagi mendapatkan khidmat nasihat jika merancang untuk mengandung.

    Pastikan doktor tahu berapa lama anda merokok kerana ujian saringan boleh dilakukan bagi memastikan kesihatan ibu sihat sebelum hamil dan tiada kehamilan bermasalah akan muncul.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 31/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan