backup og meta

Kenali Apa Itu Lambert-Eaton Myasthenic Syndrome

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 03/04/2021

    Kenali Apa Itu Lambert-Eaton Myasthenic Syndrome

    Sindrom myasthenic Lambert-Eaton (LEMS) adalah keadaan lemah otot yang lazim dijumpai pada pesakit yang menghidap kanser paru-paru.

    Ia sangat jarang berlaku dan proses patologinya terjadi akibat isyarat yang dihantar daripada saraf ke otot terjejas.

    Ini bermakna otot tidak dapat mengecut dengan betul, mengakibatkan kelemahan otot dan pelbagai simptom lain.

    Kira-kira separuh daripada kes LEMS berlaku pada pesakit kanser paru-paru yang perada di pertengahan usia atau lebih tua.

    Kes yang selebihnya tidak dikaitkan dengan kanser dan boleh bermula bila-bila sahaja.

    LEMS turut dikenali sebagai sindrom myasthenic atau sindrom Eaton-Lambert.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Paru-Paru, sila dapatkannya di sini.

    Lemah otot, simptom utama LEMS

    Simptom LEMS berkembang secara beransur-ansur selama beberapa minggu atau bulan.

    Gejala utama adalah kelemahan pada kaki, lengan, leher dan muka, serta masalah dengan fungsi automatik tubuh, seperti kawalan tekanan darah.

    Simptom yang biasa berlaku termasuklah:

    • Sakit otot
    • Kesukaran berjalan dan naik tangga
    • Kesukaran mengangkat objek atau mengangkat tangan
    • Kelopak mata jatuh, mata kering dan penglihatan kabur
    • Masalah menelan
    • Pening apabila berdiri
    • Mulut kering
    • Sembelit
    • Disfungsi erektil (mati pucuk) pada lelaki
    • Daya otot yang bertambah baik sewaktu bersenam, tetapi merosot apabila senaman berlanjutan

    Punca LEMS sehingga menyebabkan lemah otot

    lemah otot

    LEMS berlaku disebabkan oleh sistem pertahanan badan (sistem imun) yang tersilap menyerang dan merosakkan saraf.

    Biasanya, isyarat saraf bergerak ke bawah saraf dan merangsang hujung saraf untuk melepaskan bahan kimia yang dipanggil acetylcholine. Bahan kimia ini kemudiannya membantu mengaktifkan otot.

    Jika hujung saraf rosak, jumlah acetylcholine yang dihasilkan berkurangan.

    Situasi ini boleh menyebabkan isyarat saraf tidak sampai kepada otot dengan betul. Akibatnya, otot tidak boleh mengalami kontraksi seperti biasa.

    Punca sistem imun menyerang saraf masih lagi tidak diketahui. Walaupun sering dikaitkan dengan kanser paru-paru, ia boleh berlaku pada orang tanpa kanser.

    LEMS juga merupakan satu keadaan kesihatan yang tidak boleh diwarisi.

    Ujian bagi mengesan masalah LEMS

    Pada mulanya, doktor akan memeriksa sejarah perubatan anda, bertanya tentang simptom, menjalankan pemeriksaan fizikal dan menguji refleks pesakit.

    Jika mereka fikir anda mempunyai masalah dengan saraf, mereka mungkin merujuk anda pakar neurologi untuk ujian lanjut bagi menentukan puncanya.

    Ujian yang mungkin anda jalani termasuklah:

    • Ujian darah – ujian darah dapat mengesan bahan-bahan dalam darah (antibodi) yang disebabkan oleh sistem imun yang menyerang saraf
    • Ujian saraf – jarum mungkin dimasukkan ke dalam kulit anda untuk memeriksa sejauh mana isyarat sampai daripada saraf ke otot
    • Imbasan – anda mungkin perlu menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) atau tomografi pelepasan positron (PET) untuk memeriksa jika terdapat kanser paru-paru

    Sekiranya imbasan awal tidak menemui kanser, anda mungkin dinasihatkan untuk menjalani imbasan setiap bulan dalam tempoh beberapa tahun untuk memastikan ia tidak berkembang di kemudian hari.

    Rawatan untuk atasi masalah LEMS

    lemah otot

    Tidak ada ubat untuk LEMS yang boleh memberikan kesembuhan buat masa ini. Namun, beberapa rawatan dapat membantu mengurangkan simptom iaitu:

    • Rawatan kanser paru-paru: Jika anda mempunyai kanser paru-paru, rawatan terhadapnya  boleh melegakan simptom LEMS
    • Ubat yang membantu isyarat saraf mencapai otot: Ubat yang biasa digunakan termasuk 3,4-diaminopyridine dan pyridostigmine
    • Ubat untuk mengurangkan aktiviti sistem imun (imunosuppressants): Ubat yang biasa digunakan termasuklah tablet steroid (prednisolone), azathioprine dan methotrexate
    • Terapi imunoglobulin: Suntikan antibodi daripada darah penyumbang dapat menghentikan serangan sistem imun pada saraf buat sementara waktu
    • Plasmapheresis – Prosedur untuk menapis darah melalui mesin yang menyaring antibodi yang menyerang saraf pesakit.

    Pemberian ubat-ubatan adalah rawatan utama yang dapat membantu pesakit LEMS.

    Walau bagaimanapun, terapi imunoglobulin dan plasmapheresis mungkin dipreskripsikan oleh doktor dalam jangka masa pendek.

    Masa depan pesakit LEMS

    Sesetengah orang bertindak balas dengan baik terhadap rawatan sehingga mereka tidak lagi bergantung kepada ubat. Namun, ia mungkin mengambil masa beberapa tahun.

    Terdapat juga pesakit yang tidak memberikan tindak balas yang baik sehinggakan LEMS mempengaruhi aktiviti harian serta kualiti hidup mereka.

    LEMS tidak menjejaskan jangka hayat pesakit jika bukan disebabkan kanser.

    Walaubagaimanapun, pesakit kanser paru-paru yang mengalami LEMS cenderung mempunyai jangka hayat yang lebih pendek kerana ia sering tidak didiagnosis tatkala kanser telah merebak (metastasis) dan sangat sukar untuk dirawat pada masa tersebut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 03/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan